PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan dibenarkan menjadi
perdana menteri oleh pimpinan Pakatan Harapan (PH) sekiranya memenangi
pilihan raya umum ke-14, tetapi hanya diperalatkan untuk menyerang UMNO,
kata ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menteri kemajuan luar bandar dan wilayah itu berkata Datuk Seri Anwar
Ibrahim dan Lim Kit Siang tentunya tidak akan membiarkan perkara itu
menjadi kenyataan atas sejarah hitam atau “dosa silam” Dr Mahathir ke
atas mereka dan keluarga mereka semasa bergelar perdana menteri.
“Dosa Dr Mahathir pada mereka terlalu besar. Macam Lim Kit Siang,
anaknya, Lim Guan Eng pernah dipenjara dan ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh Dr Mahathir dan begitu juga dengan
Anwar, beliau sendiri dituduh dengan dengan pelbagai tuduhan dan
keburukan moral yang tentunya turut memalukan seluruh anggota
keluarganya.
“Sebab itu, saya tidak fikir Anwar atau Kit Siang atau keluarga
mereka boleh memaafkan dosa besar Dr Mahathir itu,” katanya mengulas
kemungkinan Dr Mahathir menjadi perdana menteri sementara jika PH
memenangi pilihan raya umum akan datang.
Ismail tidak menolak kemungkinan Dr Mahathir dipergunakan Anwar dan
Kit Siang untuk menyerang Umno dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak selepas menyedari wujud “isu peribadi” antara beliau dan Umno,
selepas usaha menempatkan anaknya Datuk Seri Mukhriz di kerusi naib
presiden Umno pada pemilihan parti 2013 gagal.
Dalam konteks sama, katanya, DAP menggunakan peluang itu untuk
menyerang Melayu dan Umno melalui Dr Mahathir sehingga parti yang
ditunjangi orang Melayu terus berpecah sedangkan DAP kekal seperti yang
mereka mahukan.
Katanya, parti diwakili orang Melayu berpecah kepada 5 iaitu Umno,
PAS, PKR, Amanah dan PPBM dan dalam skala PH, DAP kekal parti dominan.
“Budi bicara atau ikhsan mereka (DAP) amat ditagih dalam memilih atau
melantik seorang perdana menteri jika memenangi pilihan raya umum,”
katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan