Oleh LIM KIT SIANG
Keadaan panik di kem pemimpin, penyokong dan laskar siber Umno/BN sejak tiga hari lalu.
Mereka tidak percaya bahawa pemimpin Pakatan Harapan mampu
menyelesaikan perbezaan mereka dan untuk majlis presiden Pakatan Harapan
menyimpulkan perbincangan mereka pada malam Khamis dengan begitu
produktif.
Sejurus selepas tengah malam satu sidang media diadakan bagi
mengumumkan struktur baru Pakatan Harapan dengan logo baru serta senarai
barisan kepimpinan.
Pemimpin,
penyokong dan laskar siber Umno/BN langsung tidak mempercayai bahawa
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu bersatu dan
bekerjasama.
Atas sebab itu, dalam keadaan panik, pemimpin dan penyokong Umno/BN
terlupa dengan kempen penipuan dan berita palsu yang menggambarkan DAP
sebagai kuasa jahat yang mendalangi Pakatan Harapan,
Saya pula dilabel sebagai "diktator segala diktator" yang menjadikan
pemimpin PKR, Amanah dan BERSATU seperti Mohamad Sabu, Datuk Seri Azmin
Ali, Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail, Anwar, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Mahathir sebagai macai dan
boneka. Mereka ini didakwa patuh kepada setiap arahan dan keinginan
saya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak
cukup terkejut besar apabila beliau segera membuat kenyataan menuntut
penjelasan kerana ketiadaan pemimpin DAP dalam tiga jawatan tertinggi
Pakatan Harapan dan menyoal sama ada DAP telah diketepikan.
Bagaimana DAP boleh diketepikan apabila, menurut kempen propaganda
"ops hitam" pemimpin, penyokong dan laskar siber Umno/BN sejak beberapa
tahun kebelakangan, bahawa DAP adalah dalang setiap tindakan dan langkah
yang diambil oleh parti pembangkang - termasuk setiap tindakan yang
diambil oleh pemimpin PAS apabila parti itu bersama Pakatan Rakyat
sebelum presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkebumikan Pakatan
Rakyat pada Muktamar PAS Jun 2015?
Ia
langsung tidak terlintas kepada pemimpin Umno/BN bahawa Pakatan Harapan
adalah berbeza daripada Barisan Nasional, kerana ia gabungan parti yang
tulen berdasarkan kesepakatan di antara mereka manakala BN pula adalah
gabungan palsu, dengan Umno menikmati hegemoni politik dan membuat
keputusan satu pihak mengenai dasar dan hala tuju BN.
Struktur, logo dan kepimpinan Pakatan Harapan yang baru menyebabkan
ada pemimpin Umno/BN menjadi tidak waras dan tidak kurang pula yang
mengalami histeria.
Sebagai contoh, Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk
Seri Ismail Sabri Yaakob (gambar) menimbulkan spektra tentang
kemungkinan seorang bukan Melayu dari DAP bakal menjadi perdana menteri,
dengan kata-kata seperti berikut:
"Akhirnya kita Melayu akan berpecah kepada tiga. Kalau ini berlaku
dan mereka membentuk kerajaan, DAP yang akan mempunyai kerusi terbanyak
serta berdasarkan Perlembagaan tadi, berhak menentukan bakal perdana
menteri.
"Kalau Lim Guan Eng hendak jadi perdana menteri, beliaulah yang akan
jadi perdana menteri. Kalau mereka tidak berani letak Guan Eng, boleh
letak orang Melayu tapi jadilah orang Melayu seperti beberapa menteri
besar Selangor yang tidak boleh membuat keputusan kerana semua dikuasai
Teresa Kok dan Hannah Yeoh dan sebagainya," katanya.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pula memberi amaran kepada
penyokong BN bahawa mereka berdepan balas dendam jika pembangkang
membentuk kerajaan akan datang.
Cuba
untuk menyelamatkan keadaan, pemimpin Pemuda Umno dan Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin mencipta propaganda "ops hitam" baru dengan
mendakwa bahawa DAP, sebagai "parti yang memegang kerusi parlimen paling
banyak di Dewan Rakyat, akan memutuskan dasar dan manifesto Pakatan
Harapan."
Biar saya memberi jaminan kepada mereka bahawa DAP tidak diketepikan
dalam Pakatan Harapan.
Tidak ada satu parti politik yang boleh
memutuskan dan menetapkan dasar dan manifesto HARAPAN, serta tidak akan
ada membalas dendam oleh HARAPAN apabila ia membentuk kerajaan
persekutuan di Putrajaya.
Reaksi atau kejutan awal Umno/BN semakin lesu dan kini kita dapat
melihat satu strategi propaganda baru yang dibuat dengan cermat - untuk
mengagalkan perdamaian Mahathir-Anwar dan meramalkan bahawa Pakatan
Harapan akan gagal - sedangkan sebenarnya ia cabaran terbesar rakyat
Malaysia untuk memilih kerajaan persekutuan baru di Putrajaya untuk
menetapkan semula dasar dan hala tuju negara.
LIM KIT SIANG adalah ahli parlimen Gelang Patah dan pemimpin veteran DAP.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan