SASTERAWAN Negara A. Samad Said semalam menyuarakan kekecewaannya
terhadap orang Melayu yang "tidak melihat kebenaran sebagai kebenaran",
sambil menambah sikap bangsanya ini membimbangkannya.
Penulis novel, penyair dan ahli DAP yang berusia 83 tahun itu
berkata, beliau tidak bimbang dengan orang Cina dan India yang dengan
pantas dapat melihat apa yang palsu dan benar, tetapi ia tidak sama
dengan orang Melayu.
"Saya tidak bimbang tentang orang Cina dan India, mereka boleh tahu apa yang baik dan buruk, dan benar dan salah, dengan cepat.
"Tetapi dengan orang Melayu, saya sangat prihatin. Orang Melayu tidak
melihat kebenaran sebagai kebenaran, mereka melihat kebenaran sebagai
apa yang mereka peroleh.
"Jangan biarkan beberapa ringgit menyebabkan kita melupakan apa yang
diambil daripada poket kita sendiri. Kita tidak perlu hanya mengingati
apa yang diberikan dan melupakan apa yang diambil daripada kita.
"Ini adalah kesilapan kita, sikap ini sukar untuk diperbetulkan, jika
kita tidak sedar dari situ, kita tak akan ke mana dan menjadi hamba
kepada orang Melayu (lain)," katanya dalam ucapan di Rumah Terbuka DAP
Pulau Pinang, di Nibong Tebal semalam.
Kenyataan Samad itu tepat pada masanya ketika skandal melibatkan
1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan saman sivil yang difailkan
Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) untuk merampas aset yang
dibeli menggunakan wang yang didakwa dicuri daripada firma pelaburan
negara itu, kembali menjadi tajuk utama.
Pemimpin Umno dan PAS cepat menolak skandal itu dengan alasan pihak
berkuasa Malaysia tidak menemui sebarang kesalahan. Mereka juga menolak
saman DoJ, mendakwa ia adalah percubaan untuk "masuk campur" ke dalam
hal ehwal Malaysia.
Saman sivil terbaru DoJ adalah untuk merampas aset bernilai AS$540 juta (RM2.3 bilion) yang dipercayai disedut daripada 1MDB.
Bagaimanapun, pembangkang berpendapat rakyat Malaysia akan terpaksa menanggung kos daripada skandal ini.
Samad yang juga dikenali sebagai Pak Samad, kemudian merujuk kepada
kerajaan Selangor dan Pulau Pinang yang diperintah pembangkang.
"Jika orang meneliti kedua-dua pentadbiran, mereka akan melihat
kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjaga kebajikan rakyat," katanya.
"Tidak ada defisit yang dicatatkan di negeri ini, mereka berbelanja
mengikut cara mereka dan mengembalikannya semula kepada rakyat.
"Saya fikir ini tidak dapat dirasai orang Melayu, kami percaya kepada
pemimpin yang tidak sepatutnya kami percayai, dan kami tertarik dengan
wang yang sebenarnya dicuri."
Beliau juga berkata walaupun betul DAP adalah parti berasaskan Cina,
lebih banyak orang Melayu menerima parti itu, sambil menambah parti itu
cuba menjadikan Malaysia lebih baik untuk semua.
"Pada masa lalu, ia dilihat sebagai parti Cina yang tidak dapat
mendapat sokongan orang Melayu, tetapi keadaan sedang berubah," kata Pak
Samad.
Beliau juga menyatakan kekecewaannya di mana pemimpin Melayu masih menggunakan isu perkauman apabila mereka terdesak.
"Selepas 60 tahun merdeka, kita harus melupakannya sekarang," katanya
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan