Oleh Mahdzir Ibrahim
UMNO
hari ini adalah versi kleptokrasi. Najib Razak merampas "Umno baru"
yang dicipta Dr Mahathir Mohamad ketika krisis kepimpinan Umno pada
1988-1989 dahulu.
Maka itu saya melihat Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (Bersatu) kini seakan-akan jelmaan kembali Umno 1989
(Umno 89), bukan Umno 46 yang bersifat nasionalis.
Umno 89
mempunyai kelebihan pada masa itu apabila mereka memiliki tokoh
penting. Begitu juga dengan Bersatu yang memiliki ketokohan dalam
barisan kepimpinan kanannya.
Pemimpin kanan Bersatu yang
kebanyakannya berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan terdahulu
mencadangkan kepimpinannya dalam Harapan.
Saya ambil cadangan
ini sebagai suatu hal yang positif. Namun, saya bermasalah sedikit
dengan cadangan ini kerana ia hanya datang dengan tiket untuk
menumbangkan Najib, tiada pakej lain.
Amanah, PKR dan DAP
masing-masing sudah menjelaskan pakejnya. Selain mahu menjadikan
Umno-Barisan Nasional (BN) pembangkang, parti ini sudah siap dengan
agenda membangunkan kembali negara, baik dalam aspek keadilan, ekonomi,
sosial, pendidikan, kebajikan malah kebudayaan.
Idea daripada
naskhah Buku Jingga sekurang-kurangnya menjadi model asas pakej
tersebut. Apapun, ia pastinya perlu disusun kembali sesuai dengan
keperluan dan kehendak zaman ini.
Tetapi bagaimana dengan pakej tawaran daripada rakan baru Harapan iaitu Bersatu?
Tawaran
menumbangkan Umno Najib dengan mengetuai jentera Harapan, bagi saya
tidak memadai. Tiada apa yang baru dengan tawaran ini.
Masih
belum dapat dilihat tawaran Bersatu yang lebih menggiurkan buat rakyat,
khususnya orang Melayu yang menjadi tunjang dan sasaran parti itu.
Ya, barangkali benar Bersatu mampu tembus ke kawasan yang gagal ditembusi Pakatan Harapan(dulunya Pakatan Rakyat).
Bersatu juga mampu menarik sejumlah besar pendengar untuk datang mendengar ceramahnya.
Tetapi apa tawarannya?
Berkempen
dengan hujah untuk menumbangkan Najib tidak akan sama dengan kempen
dan hujah untuk membina kembali negara yang sudah rosak ini.
Hujah
menumbangkan Najib akan tertumpu mencari kelemahan dan memperlekehkan
Najib. Mengkritik Najib ini saya kira satu kerja yang sangat mudah
ketika ini.
Bagi PKR, DAP atau Amanah, mengkritik Najib adalah "kacang", skripnya sudah ada.
Apatah
lagi hari ini skandal Najib terkenal seantero dunia, hinggakan anak
muda yang tidak kenal Umno pun tahu nak "troll" Najib.
Adakah hujah untuk menumbangkan Najib akan menjadi kekuatan penting kepada Bersatu atau Harapan?
Diakui yang para tokoh kanan pimpinan Bersatu mempunyai pengalaman cukup luas dalam kerajaan.
Turut diyakini jika mereka bersama tokoh dalam Harapan, pasti boleh menyusun kembali pentadbiran negara ini.
Tetapi
apakah model pentadbiran yang akan diajukan Bersatu? Hingga kini, saya
belum dapat melihat model itu. Adakah Bersatu akan mencadangkan model
yang sama dengan kerajaan Umno 89?
Berpolitik bukan sahaja mengenai perkara hendak menang, tetapi membina imaginasi untuk mencapai kemenangan.
Jika ia filem, mana naskhah skripnya? Jika ia kereta, mana lukisan teknikalnya? Jika ia perniagaan, mana model perniagaannya?
Di
samping itu, saya juga tertanya-tanya dimanakah Deklarasi Rakyat yang
dirumus dan dibacakan dahulu? Adakah ia sudah tidak relevan?
Adakah
Deklarasi Rakyat itu boleh dicanai oleh Bersata dalam bentuk polisi
ekonomi, sosial, kebajikan dan kebudayaan dalam konteks sebuah naskhah
untuk membina kembali negara ini?
Dr Mahathir mengatakan, siapa
calon perdana menteri tidak penting, yang penting menang dahulu.
Saya
faham dan bersetuju, tetapi bagaimana mahu menang jika agenda
membangunkan negara itu pun belum Bersatu kemukakan.
Bagi saya,
selain hujah menumbangkan Najib, tawaran untuk membina kembali negara
yang rosak ini, lebih penting. Ia akan menjadi faktor penarik kepada
rakyat untuk yakin dan memangkah Harapan.
Mungkin ada
beranggapan, ini soalan remeh atau terlalu idealistik. Malah, bagi
sesetengah rakan berasa persoalan mengenai rangka untuk membina kembali
negara ini sangat mudah dibuat, boleh siap dalam tempoh satu malam,
tak payah fikir sangatlah. Janji boleh jual dan menang dulu.
Agenda reformasi adalah agenda mengembalikan negara ini kepada rakyatnya. Ini agenda nasional untuk nasionalis.
Nasionalis
adalah mereka yang sayangkan negara, yang menumpahkan kesetiaan hati
dan keringat buat negara ini. Tidak kira sama ada ahli parti Melayu,
India, Cina, Sarawak atau Sabah, parti jalan tengah, Islam progresif
dan golongan reformis, yang tidak termasuk dalam agenda ini hanya
mereka yang wala’ makan dedak sahaja.
Apakah kita tidak ada ghairah untuk membina Negara Bangsa?
* Mahdzir Ibrahim adalah pengarah Biro Pendidikan Politik DAP Johor.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan