Oleh
JANGAN tersilap. Pilihan raya umum akan datang ialah pertembungan
antara Najib Razak dan susuk yang bertanggungjawab mengangkat Najib, Dr
Mahathir Mohamad.
Dalam kenyataan paling lantang pernah dikeluarkan setakat ini,
perdana menteri itu akhirnya menamakan Dr Mahathir dan menuduhnya
memaksa penggantinya meletakkan jawatan dan tidak akan berhenti selagi
mana anaknya, Mukhriz Mahathir tidak dipilih menduduki jawatan perdana
menteri.
Dr Mahathir mungkin akan berkuasa kembali sebagai perdana menteri,
mungkin juga tidak. Malah dia mungkin tidak akan bertanding pun dalam
pilihan raya umum akan datang. Tetapi susulan pertelingkahan terbaru
antara Najib dan negarawan berusia 91 tahun itu, pengundi akan dipaksa memilih ideologi siapa yang menarik perhatian mereka antara dua susuk utama negara ini.
Ia akan menjadi pertempuran antara bekas perdana menteri yang sewaktu
pentadbirannya kehilangan berbilion ringgit kerana idea dan angan-angan
yang terlalu tinggi dan kerajaan sedia ada yang juga kehilangan
berbilion ringgit kerana salah urus kewangan.
Bagi pengundi dalam pilihan raya umum akan datang, pilihan yang wujud
ialah antara Dr Mahathir yang mengetuai kerajaan Barisan Nasional (BN)
semasa skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM), kejatuhan industri
perlombongan, kemelut Perwaja Steel, krisis perlembagaan, pengharaman
Umno, Operasi Lalang dan pemecatan Anwar Ibrahim.
Tetapi, sebagai balasan, pemerintahan Dr Mahathir juga memberikan
Malaysia kereta nasional pertama negara, program yang mengubah ekonomi
pertanian kepada ekonomi perindustrian, Putrajaya, Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur, penswastaan Malaysia Airlines, dan menjadikan
Petronas dalam senarai syarikat 500 paling berjaya dunia.
Dia juga memberikan Malaysia menara berkembar tertinggi dunia, Lebuh
raya Utara-Selatan, Jambatan Pulau Pinang, usahawan berjaya terkemuka
seperti Syed Mokhtar Al Bukhary, Ananda Krishnan, Vincent Tan dan arwah
Syed Nasimuddin Amin dan mengawal ketat ketegangan kaum dan agama.
Di peringkat antarabangsa, pemerintahan Dr Mahathir menyaksikan
Malaysia melonjak naik di mata dunia ketika dia menentang British dengan
“Buy British Last” pada 1981, berterusan mempertahankan pendirian
berkecuali Malaysia dan menentang Barat dengan mengkritik rekod
pencapaian mereka sendiri.
Sebaliknya, kerajaan pimpinan Najib meluaskan jaringan pengangkutan
awam di Lembah Klang, meliberalisasikan sektor swasta tertentu,
melaksanakan Program Transformasi Negara yang berjaya mengurangkan
defisit fiskal negara, mempelbagaikan pendapatan kerajaan dan
mengurangkan kebergantungan kepada dividen Petronas dan mengangkat
kumpulan B40 dengan memberikan mereka wang tunai supaya mereka boleh
melangkah keluar daripada perangkap kemiskinan tegar.
Tetapi harga yang perlu dibayar ialah cukai kepenggunaan yang hampir
dikenakan ke atas barangan makanan dan cukai tidak secara langsung
seperti cukai pelancongan.
Kerajaan Najib juga menyaksikan pemenjaraan Anwar untuk kali kedua,
masalah perlembagaan dalam isu pengambilalihan kerajaan Perak,
menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat
dengan undang-undang yang lebih menekan seperti Akta Kesalahan
Keselamatan (Langkah-langkah Khas), Akta Pencegahan Keganasan dan Akta
Majlis Keselamatan Negara, kemelut Felda Global Ventures, ketegangan
kaum dan agama yang semakin memuncak, dan paling utama ialah skandal
1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Dasar luar Najib pula menyaksikan pentadbirannya mewujudkan hubungan
yang lebih rapat dan mesra dengan Amerika Syarikat, China dan Timur
Tengah, mengakhiri pendirian berkecuali Malaysia dan peningkatan projek
pembangunan yang dianugerahkan kepada entiti luar.
Ketika zaman Dr Mahathir, Malaysia dikenali sebagai harimau ekonomi
Asia, tetapi kini negara dicemari dengan khabar kes pendakwaan merentas
tiga benua berkaitan skandal 1MDB.
Jabatan Kehakiman AS tanpa berselindung mengatakan yang hampir AS$4.5
juta yang dirompak daripada 1MDB masuk ke dalam kocek pegawai tertentu.
Walaupun sudah banyak tindakan undang-undang diambil di seluruh
dunia, di Malaysia masih sunyi sepi. Selain daripada denda BNM kepada
1MDB, tiada tindakan yang diambil kepada bekas CEO syarikat, ahli
lembaga pengarah atau pengerusi lembaga penasihat.
Ketika kemuncak skandal 1MDB, seorang peguam negara dan dua pegawai
atasan agensi pencegahan rasuah bersara sebelum tempoh jawatan mereka
tamat, sementara itu siasatan Parlimen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Audit Negara dan BNK
dihentikan tanpa tindakan lanjut dan hasil siasatan diletakkan di bawah
Akta Rahsia Rasmi.
Jangan tersilap.
Pilihan raya umum akan datang bukan soal bagaimana Pakatan Harapan
bergerak ke hadapan walaupun dicengkam kelemahan mereka. Ia juga bukan
soal diam seribu bahasa BN dalam skandal 1MDB.
Dan pastinya ia bukan soal adakah PAS masih boleh kekal relevan tanpa sekutu utamanya- PKR dan DAP.
Ia adalah pertempuran antara tok guru dan anak didiknya. Ia pertempuran antara bakti dan khilaf mereka.
Ia adalah satu pilihan antara BN sekarang dan dahulu, walaupun yang
memisahkan keduanya sejak zaman berzaman di tampuk kuasa hanyalah
senggang waktu yang sangat singkat.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan