PETALING
JAYA: Kenyataan setiausaha akhbar kepada Datuk Seri Najib Razak, Datuk
Seri Tengku Sariffuddin yang membayangkan pengharaman DAP menjelang
pilihan raya umum ke-14 adalah satu bentuk penghinaan kepada Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi, kata Amanah.
“Taktik terdesak yang diumumkan Sariffuddin jelas menunjukkan pelan
tersembunyi Najib untuk PRU14, tetapi sebagai setiausaha akhbar kepada
perdana menteri, beliau secara terbuka telah menunjukkan penghinaan
terhadap Menteri Dalam Negeri,” kata Pengarah Pilihan Raya Amanah, Dr
Hatta Ramli.
Hatta berkata soal pendaftaran pertubuhan adalah bidang kuasa Jabatan
Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) yang diletakkan di bawah
Kementerian Dalam Negeri yang diketuai Zahid.
“Ini menunjukkan penghinaan kakitangan Najib kepada timbalan perdana menteri sebagai orang nombor 2 dalam kerajaan,” katanya.
Hatta berkata demikian selepas Sariffuddin mencetuskan isu status DAP
menjelang PRU akan datang, dengan berkata calonnya mungkin terpaksa
bertanding tanpa menggunakan logo roketnya.
Sariffuddin berkata ia kerana JPPM masih tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP sekarang yang dipilih 4 tahun lalu.
Bagaimanapun, Zahid semalam menolak spekulasi mengenainya, dan berkata beliau masih menunggu jawapan JPPM.
“Perkara ini dikaji secara terperinci oleh JPPM dan mereka bukan
sahaja mengkaji dari segi aspek perundangan tetapi JPPM juga berperanan
untuk menjaga kepentingan mana–mana pertubuhan yang berdaftar
dengannya,” katanya dipetik Bernama.
Ia bagaimanapun disusuli dengan satu lagi kenyataan Sariffuddin, yang
berkata DAP perlu menyalahkan ahlinya sendiri yang membuat aduan kepada
JPPM.
“Anggota DAP sendiri yang membuat aduan kepada Pendaftar Pertubuhan
(RoS) berhubung ketidakteraturan yang serius dan layanan tidak adil
dalam pemilihan parti,” katanya.
Pada 2012, beberapa ahli DAP mengadu mengenai ketelusan dalam
pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP berikutan wujud
perubahan mendadak dalam keputusan pemilihan kononnya disebabkan
kesilapan pengiraan, selain dakwaan lebih 700 perwakilan dinafikan hak
mengundi.
Susulan itu, DAP menganjurkan pemilihan semula pada September 2013.
Barisan kepimpinan baharu itu bagaimanapun belum disahkan JPPM.
Hatta berkata kenyataan Sariffuddin yang menyentuh bidang kuasa JPPM
“membayangkan kekusutan dan kekecohan dalam pentadbiran Najib”.
“Kenyataan Sariffuddin adalah tanda kuat bahawa lingkaran dalaman
Najib serius mempertimbangkan pembatalan pendaftaran DAP dan pengharaman
penggunaan logo roket pada PRU ke-14, walaupun ini dikatakan masih
tertakluk kepada beberapa faktor termasuk perletakan jawatan Setiausaha
Agung DAP Lim Guan Eng sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan persaraan
YB Lim Kit Siang dari politik Malaysia,” katanya.
Kit Siang dalam kenyataan hari ini menyatakan kesediaannya bersara sekiranya ia dapat menyelamatkan DAP daripada diharamkan.
“Katakan saja sekiranya persaraan saya adalah syarat untuk menamatkan
konspirasi Umno/BN mengharamkan DAP, saya akan mempertimbangkannya,”
kata ahli Parlimen Gelang Patah itu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan