Oleh DR MUHAIMIN SULAM
Perutusan
ini dibuat kepada saudara Rafizi Ramli selepas saya menonton video
iklan program ‘Membina Semula Negara’ yang dianjurkannya dan Invoke ke
seluruh negara.
Saya tiada masalah tentang tiga perkara yang
saudara hendak bawa dalam siri jelajah tersebut. Bahkan saya sangat
mengalu-alukan hasrat tersebut.
Saya yakin siri jelajah itu akan memberikan kesedaran kepada masyarakat terhadap persoalan yang ada disekitar kehidupan mereka.
Sebagai
ahli Dewan Rakyat yang merupakan tempat penggubalan undang-undang
negara, saya kira saudara memiliki tanggungjawab sosial yang sangat
besar.
Tidak perlu saya mensyarahkan hal tersebut kerana saudara lebih maklum daripada saya.
Selepas
pemimpin masa lalu mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, ia terus dirundung malang tak sudah. Betul, kita harus
berhenti merintih dan mengeluh.
Saya kira, pemilihan tema Jom
Bina Semula Negara Kita sudah cukup menyentuh sanubari masyarakat
Malaysia. Sudah cukup kuat untuk rakyat faham.
Sebaliknya saya tidak faham mengapa saudara harus memakai baju yang tertulis Rebuilding Our Nation? Mengapa tidak menggunakan bahasa kebangsaan?
Negara ada sejak kurun keempat
Ya, saya nampak poster dan lori untuk program ini menggunakan bahasa kebangsaan.
Pada
saya memakai baju berbahasa Inggeris dalam kempen ini adalah satu
tindakan bawah sedar yang memberi gambaran ketidakprihatinan saudara
terhadap kepentingan bahasa kebangsaan.
Perlu diingatkan bahawa
nama saudara disebut-sebut akan menjadi orang terpenting dalam kabinet
jika Pakatan Harapan menguasai Putrajaya.
Oleh itu perutusan yang saya hantar ini sangat penting sebagaimana pentingnya kedudukan saudara.
Slogan
‘Jom Bina Semula Negara Kita’ bukanlah sesuatu yang asing dalam
pemikiran masyarakat Malaysia. Contohnya istilah ‘negara’ sudah wujud
sejak kurun keempat dan kelima Masehi dengan kewujudan kerajaan bernama
Tarumanegara di Jawa Barat.
Karya Mpu Prapanca yang bertajuk Nagara Kertagama
ditulis pada 1367 adalah suatu gambaran bahawa istilah ‘negara’ wujud
lebih awal dan sebati dalam pemikiran masyarakat di sini. Konsep negara
sudah tertanam dalam pemikiran masyarakat kita.
Mungkin pada
saudara hal yang saya ungkitkan ini adalah remeh atau kecil. Jika
anggapan ini benar, maka bahasa kebangsaan sekali lagi diperkecilkan
oleh pemimpin masa kini yang berhajat mahu menjadi pemimpin negara pada
masa depan.
Bahasa kebangsaan hanya bersuara pada lembaran
perundangan yang digubal di parlimen. Akta 152 ibarat tugu bangsa yang
tiada makna.
Ini kerana para penggubalnya sendiri tidak merasai roh dan makna bahasa kebangsaan.
Jangan datang ke negeri kami
Ingatlah
pesanan pejuang kemerdekaan yang ada antara mereka menjadi tokoh
terlibat dalam Jawatan Lembaga Bahasa Melayu pada 1950, iaitu Dr
Burhanuddin al-Helmy.
Katanya:
Di atas robohan Kota Melaka
Kita dirikan jiwa merdeka
Bersatu-padulah segenap baka
Membela hak keadilan pusaka
Apakah
maksud ‘bina semula negara kita’ yang saudara ingin laung-laungkan
seluruh negara itu? Apakah hanya dengan dasar ekonomi semata-mata,
sedangkan membina semula negara adalah persoalan yang sangat mendasar
sifatnya.
Puisi
warisan Dr Burhanuddin itu sendiri memberi jawapan yang sangat tepat.
Membina negara adalah suatu budi, tanggungjawab bangsa dan satu
keadilan buat segenap baka.
Saya bersetuju negara kita hampir
musnah dan rosak sepenuhnya. Saya juga sangat bersetuju dengan usaha
membina semula sesuatu yang sudah roboh.
Negara tidak dibina
dengan kesedaran politik dan ekonomi semata-mata. Negara ibarat jasad
yang memerlukan roh. Negara tanpa roh ibarat jasad tanpa nyawa. Bagai
tugu dan monumen kosong.
Kesedaran berbahasa dan berbangsa adalah
tunggak kekuatan negara. Bahasa Jiwa Bangsa. Inilah kata-kata keramat
tinggalan para pujangga lama. Saudara jangan lupa.
Dasar
sesebuah negara ialah kebudayaannya yang bertamadun. Antara teras
budaya adalah bahasa. Bahasa ini menghubungkan makna dalam akal dalam
sesuatu masyarakat.
Saya kira, masa untuk bertolak ansur dalam
soal bahasa kebangsaan sudah sampai ke penghujungnya. Saya seru agar
seluruh warga bangsa Malaysia bangkit menolak sebarang usaha yang
meminggirkan bahasa kebangsaan.
Dengan itu bersegeralah saudara
Rafizi dan Invoke melucutkan baju tersebut dan gantikan dengan bahasa
kebangsaan. Atau jika enggan, berhentilah untuk datang ke negeri kami!
Sarungkan
jasad kita dengan budaya bangsa. Kita bina semula negara dengan budaya
kita. Cara yang sebagaimana guru-guru kita ajarkan sewaktu di sekolah
rendah dengan pantun berikut:
Yang kurik itu kendi,
Yang merah itu saga;
Yang baik itu budi,
Yang indah itu bahasa.
Salam perjuangan penuh hormat dari saya.
DR MUHAIMIN SULAM
seorang aktivis politik, pensyarah di Universiti Teknologi Petronas,
naib pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Perak dan penulis buku
serta esei.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan