Penyandang Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mempertahankan kerusinya dengan meneruskan tradisi memperhambakan diri, menyantuni dan membela rakyat.
Beliau yang diamanahkan pucuk pimpinan Parti Amanah Negara untuk mempertahankan kerusinya itu setelah Umno BN mempertaruhkan Tengku Zafrul Aziz.
“AlhamdulilLah, akhirnya munajat saya memohon diberi petunjuk terbaik oleh AlLah Azza Wajalla, terjawab.
“Dengan pencalonan Tengku Zafrul (Umno-BN), saya terpanggil memenuhi permintaan sebahagian pengundi Kuala Selangor serentak mentaati arahan pimpinan tertinggi parti dan Pakatan Harapan (PH), untuk pertahankan kerusi P096, Kuala Selangor.
“Lantas, saya berikrar untuk meneruskan tradisi ‘memperhambakan’ diri, menyantuni dan membela rakyat, tanpa prejudis atau diskriminasi, untuk warga Kuala Selangor serta mempastikan pembangunan Parlimen Kuala Selangor khasnya, dijayakan,” kata beliau.
Dzulkefly berkata, mustahak difahami, ‘Pertarungan’ PRU-15 ini akhirnya adalah ‘penentuan’, sama ada Malaysia akan ‘Mara Ke Hadapan’ atau ‘Mundur Kebelakang’.
“‘Mara Kehadapan’ bermaksud Kerajaan kompeten yang benteras amalan rasuah dan salah-guna kuasa bagi membangun ekonomi mapan serta berdaya-saing dan mengeratkan hubungan antara kaum, agama- budaya, buat menstabilkan politik negara.
‘Mundur Kebelakang’ bererti mengizinkan ‘gerombolan’ yang sarat dengan pelbagai tabiat rasuah dan salah-guna kuasa, kembali memerintah secara dominan.
“Menjadi harapan saya, majoriti rakyat sudah bersedia untuk ‘Maju Ke Hadapan’.
“Semoga AlLah membimbing kita untuk bersama-sama melaksanakan Agenda Perubahan ke arah Malaysia yang lebih Bersih dan Cemerlang.
“Ya AlLah, Kau bimbinglah kami dan jangan Kau izinkan kami dipandu dengan hawa-nafsu serakah kami sendiri, walaupun untuk seketika atau lebih singkat dari itu…”ujar beliau.
Sebelum ini Dzulkefy menyatakan hasratnya untuk tidak dicalonkan pada PRU15 bagi memberi laluan kepada calon-calon muda, namun pucuk pimpinan AMANAH meminta beliau pertahankan kerusi Kuala Selangor selepas Umno mempertaruhkan Menteri Kewangan.
0 comments:
Catat Ulasan