PRU14: Amanah mungkin guna pengaruh Aishah berkempen

SHAH ALAM: Amanah tidak menolak kemungkinan menggunakan pengaruh penyanyi Aishah yang menjuarai Gegar Vaganza (GV) musim ke-4 malam tadi, untuk kempen pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin bukan liabiliti kepada parti itu kerana mendakwa reputasinya lebih baik daripada perdana menteri.

“Kita harap begitu (aura Aisyah dapat tarik pengundi muda dan atas pagar) dan insya Allah sejauh mana Aisyah sendiri sanggup menyumbang bersama dalam kempen, kita akan bantu dia sekali. Semua orang, saya rasa ada niat melakukan kebaikan.

“Jangan kita letak halangan, sedangkan niat dia nak buat kebaikan. Jadi, kita bantu dan kalau dia sanggup untuk bantu dan manfaat imej dia sebagai juara GV untuk kempen Pakatan Harapan dan Amanah.

“Bagi saya dia bukan seorang yang jahat, yang menjadi satu liabiliti hanya kerana dia menyanyi sahaja,” katanya pada sidang media di pejabat ahli Parlimen Shah Alam, hari ini.

Khalid yang juga ahli Parlimen Shah Alam menepis dakwaan keterbukaan Amanah membenarkan ahli parti itu berhibur yang disifatkan sesetengah pihak sebagai liberal.

Sebaliknya, beliau berkata, usaha itu untuk menunjukkan Islam adalah agama sederhana serta rahmat kepada semua.

“Kita di Amanah membawa satu pendekatan (Islam) yang tidak keras, bila kita cakap macam itu, orang cakap kita liberal.

“Dia bukan liberal, tapi pendekatan berhemah dan berhikmah. Di mana kita nak orang terima dan cuba hayati Islam. Kita ada sedikit kelonggaran yang mana kita cuba menentukan ia tidak terlalu keras sehingga membebankan umat Islam itu sendiri.

“Sikap inilah dizahirkan dan atas sikap itu, Aishah melibatkan diri dalam GV dan kita harap dengan itu orang tak akan rasa Islam ini mencengkam, semua tak boleh, haram sampai nak bernafas pun tak boleh.”

Malah, beliau memuji Aishah yang berjaya menonjolkan keindahan Islam sepanjang menyertai GV.
“Dan Aishah bila dia minta izin, kita kata biar keterampilan yang wajar, jangan mengada-ngada atas pentas, gelek-gelek semua. Tunjuk satu imej yang boleh dihormati dan dia pun minimum cara dia (di pentas).”

Setiausaha Agung Amanah, Mohd Anuar Tahir mengalu-alukan Aishah yang pernah menyertai PAS sebelum ke Amanah susulan perpecahan parti Islam itu, membuat persembahan dalam program anjuran partu itu.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan