Oleh A Kadir Jasin
Dalam tampalan 4 Ogos bertajuk “Kecuaian Jenayah 1MDB” saya, antara
lain, menulis: “Tapi kalau bon RM2.5 bilion itu adalah untuk bayar
hutang 1MDB, ia bukan perkara biasa malah boleh dianggap kecuaian
jenayah (criminal negligence) dalam pengurusan kewangan negara.”
Saya merujuk kepada kes bekas Perdana Menteri Thai, Yingluck
Shinawatra, yang dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan “criminal
negligence” kerana menyebabkan kerugian kira-kira AS$1 bilion (lebih
kurang RM4.3 bilion) dalam pelaksanaan subsidi padi.
Jumlah ini amatlah kecil berbanding duit 1MDB yang lesap dan kesalahan Yingluck ringan berbanding jenayah kewangan 1MDB.
Yingluck (foto, kiri) dituduh buat salah dalam pemberian
subsidi kepada penanam padi. Duit 1MDB masuk akaun Najib dan untuk anak
bini serta Jho Low berfoya-foya.
Kita tahu bahawa tindakan macam yang berlaku di Thailand itu tidak
akan berlaku di Malaysia – setidak-tidaknya selagi kerajaan Umno/BN
pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkuasa. Insya Allah
selepas itu lain cerita.
Tidak ada sesiapa pun di muka bumi ini menongkat langit. Kuasa akan
hilang dan nafas akan terhenti.
Hatta Firaun yang mengaku Tuhan dan mahu
hidup selama-lamanya itu pun akhirnya mati dan kering dibakar padang
pasir.
Secara kebetulan, pada 11 Ogos agensi berita ekonomi Bloomberg
melaporkan yang pihak berkuasa Amerika sedang menaikkan taraf siasatan
skandal 1MDB daripada sivil kepada jenayah.
Bagi kita mungkin kebetulan tetapi ialah adalah kehendak dan
perancangan Allah. Doa rakyat jelata yang teraniaya lambat laun akan
dimakbulkan.
Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat dilaporkan meminta mahkamah
di Los Angeles menangguhkan kes sivil terhadap 1MDB, khususnya ke atas
Jho Low dan konco-konconya - termasuklah anak tiri Najib, Riza Shahriz
Abdul Aziz - agar tidak mengganggu siasatan jenayah.
Maksudnya,
pihak berkuasa Amerika telah menaikkan taraf tindakan ke atas pencurian
duit 1MDB dan penggunaan duit haram itu di bumi Amerika daripada kes
sivil kepada jenayah.
Ini adalah proses biasa di Amerika.
Mereka mulakan dengan penyiasatan dan tuduhan sivil (civil indictment)
kemudian apabila tindakan sivil itu berjaya atau menghasilkan bukti
yang kukuh, mereka naikkan tarafnya kepada tuduhan jenayah (criminal indictment).
Itulah antara kaedah yang digunakan oleh Rudolph Giuliani ketika
beliau menjadi Peguam Negara Amerika bagi Daerah New York Selatan pada
tahun 1980-an bagi memusnahkan rangkaian jenayah Mafia di bandar raya
itu. Giuliani kemudiannya menjadi Datuk Bandar New York.
Ironinya, tidak banyak beza di antara jenayah ganas Mafia seperti
yang didramatisasikan dalam siri filem “The Godfather” dengan jenayah
korporat yang diabadikan oleh Riza dalam filem terbitan bersamanya “The
Wolf of New York”.
Penyiasatan jenayah 1MDB di Amerika itu melibatkan wang yang dicuri
daripada 1MDB yang didakwa digunakan untuk membeli hartanah, lukisan,
emas pertama, jet eksekutif, kapal layar dan menerbitkan filem.
Nilai harta curi itu dianggarkan kira-kira AS$1.7 bilion atau lebih
kurang RM7.3 bilion dan melibatkan kegiatan jenayah yang dilakukan di
bumi Amerika sahaja.
Siasatan
jenayah di Amerika itu menyusuli tindakan jenayah yang sudah pun
diambil oleh Pihak Berkuasa Mata Wang Singapura (MAS) yang menyebabkan
beberapa orang eksekutif yang terlibat mengubah wang haram 1MDB didenda
dan dipenjarakan, dan dua buah bank ditutup.
Inilah ironinya. Negara-negara yang orang kita hina sebagai negara
kafir telah atau sedang bertindak terhadap “jenayah abad” (crime of the
century) ini tetapi negara kita yang kononnya Islam menyapunya ke bawah
permaidani.
Tetapi kita semua tahu bahawa bangkai gajah mustahil boleh
disembunyikan selama-lamanya apatah lagi apabila baunya semakin hari
semakin meloyakan.
Dalam usaha menimbus bangkai itu, imej Malaysia menjadi amat buruk,
ringgit terus lemah, hutang negara melambung dan kebolehpercayaan
kerajaan jatuh merudum.
Semakin hari kita semakin terjajah kerana mengemis hutang, khususnya
daripada regim komunis di Beijing, untuk membayar hutang 1MDB yang telah
mencapai RM50 bilion pada awal tahun 2016.
DATUK A KADIR JASIN adalah bekas ketua pengarang
Kumpulan New Straits Times Press. Beliau kini bergiat dalam BERSATU
sebagai pimpinan pusat parti itu.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan