Oleh Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali
ALHAMDULILLAH. Solawat dan Salam ke atas Rasulillah, keluarga dan
Sahabat baginda dan sesiapa yang mengikut dan membantu baginda sehingga
ke Hari Pembalasan.
Allah berfirman:
ادْعُ إِلَىٰ سَبِيلِ رَبِّكَ بِالْحِكْمَةِ وَالْمَوْعِظَةِ الْحَسَنَةِ ۖ وَجَادِلْهُم بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ
"Hendaklah kamu berdakwah menyeru ke jalan Rabb kamu dengan Hikmah dan
nasihat yang baik dan hendaklah kamu berbahas dengan mereka menggunakan
perbahasan yang terbaik." (Surah al-Nahl ayat 125)
1. Dakwah lebih kepada penerangan, penjelasan dan ajakan. Mengajak dan
menyuruh manusia melakukan yang makruf dan mencegah manusia melakukan
kemungkaran. Menjelaskan kekeliruan, merungkaikan kekusutan, meluruskan
kefahaman dan membongkar kesesatan adalah sebahagian tugasan dakwah.
2. PAS sebagai Gerakan Politik, Dakwah dan Tarbiyah tidak hanya
berpolitik untuk mendapatkan kuasa semata-mata tetapi berpolitik
mengajak manusia menerima penyelesaian Islam dalam kehidupan dan
mengajak manusia memberikan kuasa kepada Islam supaya keadilan untuk
semua dapat ditegakkan.
3. Sangat menarik apabila Tuan Guru Presiden menegaskan dalam sesi
taujihat sebelum mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat tadi bahawa para
Anbiya' membanyakkan penjelasan berbanding menyerang dan menjawab
tuduhan. Justeru, beliau menasihatkan semua petugas parti untuk
membanyakkan penjelasan bagi menarik masyarakat pelbagai peringkat
bersama penyelesaian Islam.
Budaya Politik Matang Sejahtera (BPMS) yang telah dijadikan sebagai
sebahagian pendekatan terkini PAS perlu dihayati dan diamalkan di semua
peringkat dalam melaksanakan tugasan ini.
4. Menurut Tuan Guru Presiden, apa yang utama perlu dijelaskan kepada
masyarakat ialah asas Akidah, Syariat dan Akhlak Islam. Topik-topik ini
tidak digemari oleh orang ramai. Mereka lebih suka mendengar isu semasa
sahaja. Namun itulah tugasan pendakwah yang tidak perlu berbicara
menurut tajuk yang manusia suka sahaja.
5. Isu-isu rakyat tidak hanya ditampilkan permasalahannya sahaja tanpa
cadangan penyelesaian Islam. Dalam isu cukai GST sebagai sumber kewangan
negara, PAS menampilkan alternatif penyelesaian Islam menerusi cukai
simpanan korporat dan cukai keuntungan saham yang didokumentasikan dalam
Dokumen Hijau.
6. Kenaikan kos hidup rakyat perlu ditangani dengan sistem ekonomi Islam
yang adil menolak monopoli ekonomi, menolak Riba, menolak cukai yang
dikenakan berasaskan perbelanjaan rakyat, menolak cukai yang menekan
pendapatan rakyat dan cukai melampau yang dikenakan ke atas barangan
keperluan rakyat.
7. Pengurusan ekonomi perlu dibina di atas asas dan kesedaran bahawa
harta yang dimiliki oleh manusia adalah milik Allah yang diberi amanah
untuk diguna dan diuruskan yang semuanya akan disoal di akhirat.
8. Skandal kewangan 1MDB dan skandal-skandal kewangan seumpamanya
sepanjang sejarah bernegara hanya akan dapat ditangani jika ia ditadbir
oleh tangan yang amanah.
9. Memperjuangkan kedaulatan Islam dalam perlembagaan Malaysia,
memperkasakan Mahkamah Syariah dan membuka ruang pelaksanaan Syariat
menerusi RUU 355, menegaskan sikap terhadap pindaan Akta 164,
memperingatkan umat terhadap ancaman Evangelis, ancaman pemikiran
liberal yang ingin merungkai hukum hakam Islam dan pemikiran serta
amalan songsang seperti LGBT, semuanya menjadi sebahagian agenda dakwah
yang mesti sentiasa meniti dibibir ahli dan pimpinan PAS.
Dato' Dr Mohd Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri
Ahli Parlimen Kuala Nerus
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan