KETIKA pucuk pimpinan PAS sedia bekerjasama dengan Barisan Nasional
(BN) atau bersendirian, PAS di Selangor, Kedah dan Kelantan dikatakan
sedang menimbang untuk mendapatkan autonomi bagi membolehkan mereka
bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya umum (PRU)
akan datang.
Menurut sumber, pemimpin PAS dari ketiga-tiga
negeri itu sedang berunding dengan PAS Pusat untuk membenarkan mereka
kerjasama dengan PH bagi membolehkan parti Islam itu bertanding satu
lawan satu dengan BN pada PRU14.
Ahli Parlimen PAS dari Pokok Sena, Mahfuz Omar dan penganalisis Ilham
Centre, Hisomuddin Bakar turut mendapat maklumat sama tentang cadangan
kuasa autonomi untuk mengadakan tahaluf di ketiga-tiga negeri itu.
"Bagi saya ia satu pendekatan yang positif dan praktikal untuk
mengalahkan BN dalam pilihan raya umum akan datang ini," kata Mahfuz
yang juga bekas naib presiden PAS
Mahfuz berkata seorang pemimpin kanan PAS Kedah pernah berbincang dengannya tentang cadangan autonomi itu.
Hisomuddin pula berkata beliau mendapat maklumat, ketiga-tiga negeri
itu memang merancang untuk “keluar” daripada strategi PAS peringkat
nasional yang mahu bekerjasama dengan Umno atau bertanding sendiri.
"Ya, saya difahamkan Adun Bangi Shafei Ngah bertemu dengan Presiden
PAS Abdul Hadi Awang di Sepang dan membawa idea ini tetapi Hadi hanya
senyap saja ketika itu," kata Hisomuddin.
Menurut maklumat yang diberikan , PAS
Kelantan tidak boleh bekerjasama dengan Umno atau bertanding
bersendirian jika mahu mempertahankan negeri itu.
"PAS tidak boleh bekerjasama dengan Umno di Kelantan kerana kajian
Pusat Kajian Strategik (PKS) mendapati 60% penyokong PAS akan lari jika
ia bekerjasama dengan Umno," kata sumber itu.
PKS ialah sebuah badan yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri Kelantan
pada 1991 dengan tugas mengutip dan menyalurkan penemuan dari akar umbi
kepada pimpinan kerajaan negeri.
Dapatan kajian PKS itu turut disahkan Menteri Besar Ahmad Yakub dalam
pembentangan kajian politik Kelantan oleh Timbalan Pengerusi Institut
Darul Ehsan (IDE) Dr Mohamad Redzuan Othman di Kota Bharu bulan lalu.
Menurut kajian IDE, PAS boleh kalah kalau bertanding tiga penjuru
dengan BN dan PH kerana maksimum kerusi yang akan diperoleh hanyalah 15
daripada 45 kerusi dalam DUN Kelantan saja.
Dalam pembentangan IDE itu, Redzuan mencadangkan agar PAS hanya
bertanding 23 daripada 45 kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Kelantan
manakala selebihnya diserahkan kepada PH.
Ia bagi mengelak berlakunya pertandingan tiga penjuru antara PAS, PH
dan BN yang dijangka boleh merugikan PAS termasuk kemungkinan hilang
kuasa di Kelantan, negeri yang ditadbir sejak 1991.
Pas dijadual melancarkan pakatan baharu, Gagasan Sejahtera Rakyat
pada September ini, yang dijangka akan disertai oleh Parti Cinta
Malaysia (PCM), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).
PH pula dianggotai oleh PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Di Selangor, PKR yang dipimpin oleh Mohamed Azmin Ali pula sentiasa
berunding dengan PAS dan tiga pemimpin PAS Selangor masih kekal dalam
exco kerajaan negeri pimpinannya.
Dalam satu kenyataannya, Azmin mengesahkan PKR akan terus berunding
dengan PAS bagi memastikan kerjasama antara PAS dengan pembangkang yang
lain.
Sumber lain juga memaklumkan , PKR membincangkan
kemungkinan kerjasama dengan PAS dalam mesyuarat biro politiknya yang
terakhir walaupun parti Islam itu sudah memutuskan kerjasama politik
dengan parti itu dalam muktamarnya dan disahkan oleh Majlis Syura Ulama
selepas itu.
Dalam mesyuarat itu, PKR turut membincangkan jumlah kerusi yang boleh
ditandingi oleh PAS dan parti pecahannya Amanah, di Selangor.
Di Kedah pula, hubungan baik antara PAS dengan pemimpin PH sangat
ketara dan mereka sekali-kali tidak sedia untuk bekerjasama dengan Umno.
Ketua Bersatu Kedah Mukriz Mahathir dalam wawancara dengan mengakui beliau mempunyai hubungan yang baik dengan
pemimpin PAS khasnya wakil rakyatnya dan pintu masih dibuka untuk
bekerjasama dengan PAS.
"Saya cenderung dari dulu untuk sentiasa buka pintu, biarkan pintu
sentiasa terbuka dan ada ruang untuk kita sentiasa berbincang.
"Saya faham ia satu perkara yang sangat rumit, maklumlah dalam PH ini
ada Amanah, DAP jadi mereka rasa tak berapa selesa. Saya harap
keputusan yang kita buat nanti untuk kebaikan kita bersama.
"Apa juga strategi yang membawa kepada kemenangan kita perlu halusi
dan pertimbangkan termasuklah bagaimana nak uruskan hubungan kita dengan
PAS," kata Mukhriz dalam wawancara itu, baru-baru ini.-TMI
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan