Amanah isi kubu tersendiri hadapi PRU14

Oleh ZAKARIA MUSA 

Kewujudan Parti Amanah Negara berbeda dengan kelahiran parti-parti baru lain. Misalnya, Parti Semangat 46 lahir daripada konflik dalaman Umno selepas proses pemilihan parti April 1987 mencetuskan pertikaian berpanjangan. Aktor utamanya Tengku Razaleigh Hamzah dan Dr Mahathir Mohamad. Kedua-duanya dikenali umum dan popular; seorang bekas menteri kewangan dan seorang lagi perdana menteri.

Parti Keadilan Nasional muncul selepas Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan Timbalan Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri. Anwar dilihat sebagai pewaris terdekat takhta Dr Mahathir.

Gagasan Reformasi yang dipimpin Anwar mudah difahami rakyat. Isu mata lebam Anwar mendapat perhatian segera masyarakat.

Semangat 46 mula bertanding dalam Pilihan Raya Umum 1990, menjadikan pertembungan pembangkang dengan Umno-BN tambah tajam, yang sebelumnya hanya menyaksikan Pas sebagai pencabar terkuat di kalangan pengundi Melayu di lokasi tertentu sahaja. Laluan untuk Semangat 46 memperolehi kerusi agak mudah, terutama apabila mendapat restu Pas yang sama-sama membentuk Angkatan Perpaduan Ummah.

Begitu juga dengan Keadilan, yang turut didukung Pas, dalam Barisan Alternatif, dalam PRU1999. Ketika itu tidak wujud lagi Semangat 46 yang berkubur selepas PRU1995 apabila diserap masuk semula secarfa en blocke dalam Umno. Persaingan sesama parti pembangkang tidak begitu ketara.
Krisis dalaman

Keadaan agak berbeda dengan Amanah, yang lahir ekoran krisis dalaman Pas yang tidak berjaya diuruskan dengan baik dan bijaksana. Umum tidak begitu mengetahui punca perbalahan, malah sebahagian ahli-ahli Pas sendiri jahil mengenainya. Lagi pun masyarakat luar tidak peduli dengan segala pertikaian dalaman sebuah parti pembangkang.

Orang ramai beranggapan pergeseran di antara pemimpin mana-mana pertubuhan politik adalah perkara biasa. Justeru, pemilihan kepemimpinan Pas pada 2015 walaupun digambarkan media sebagai pertarungan yang sengit di antara kumpulan ulamak dan profesional, masyarakat luar tidak memberi perhatian kepadanya.

Malah, ketika itu, kumpulan yang dianggap profesional dalam Pas, tidak mengisytiharkan secara terbuka penentangan terhadap Presiden, Ustaz Abdul Hadi Awang. Jadi apabila mereka kalah secara berkelompok dalam pemilihan itu, maka ditohmah pembentukan parti baru Amanah hanya kerana rasa kecewa tidak dapat menerima keputusan muktamar.

Kelahiran Semangat 46 dan Keadilan tentu lebih mendapat perhatian masyarakat disebabkan ia tumbuh dan membesar di atas konflik parti pemerintah. Justifikasi kewujudannya mudah difahami, apatah lagi tokoh kepemimpinannya adalah figura popular nasional yang mempunyai daya karismatik tersendiri. Titik pertembungan mereka adalah dengan perdana menteri, yang melibatkan polisi dan isu-isu kepentingan awam.

Jadi, tidak pelik jika masyarakat umum kurang mengenali kewujudan Parti Amanah Negara berbanding parti-parti serpihan Umno, termasuk yang terbaru Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang dipimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Muhyiddin Yassin. Bersatu yang lebih muda usianya berbanding Amanah, mudah dikenali kerana faktor negarawan ulung Dr Mahathir dan isu besar yang dibawanya iaitu skandal mega 1MDB.

Wadah alternatif

Amanah walaupun menampilkan bekas pemimpin kanan dalam Pas dahulu, misalnya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan Husam Musa, tetapi mereka tidak pernah memegang jawatan awam yang strategik. Mereka mungkin popular tetapi hanya dalam kalangan aktivis dan penyokong pembangkang, manakala Husam sebagai pembantu rapat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih dikenali di negeri Kelantan. Apa pun tokoh-tokoh Amanah ini mengisi keunikan tersendiri bagi "menyempurnakan" satu kebangkiran rakyat yang menyeluruh.

Amanah juga lahir sebagai parti Islam yang progresif dan inklusif; bertindak untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas dalam pakatan pembangkang. Ia mengamalkan pendekatan lebih sederhana dan bersikap terbuka, terutama untuk menangani realiti kemajmukan di Malaysia.

Amanah turut memegang kukuh ikatan dan persefahaman di antara rakan-rakan parti pembangkang, serta bersikap tegas menolak politik perkauman dan tidak berkompromi dengan elit penguasa yang zalim dan korup.

Ketika pemimpin utama Pas, terutama Ustaz Abdul Hadi dan barisan ulamaknya dilihat condong dan bermesra dengan kleptokrat Najib Razak, Amanah muncul menawarkan wadah alternatif. Kekal berpaksikan Islam tetapi dengan konsep meratakan Islam sebagai rahmatan lil alamin; Islam yang indah dan ramah. Bagaimana mungkin pencinta Islam boleh bertolak-ansur dengan amalan rasuah, salahguna kuasa dan kecurian wang negara yang maha dahsyat itu? Bukankah ia memberi imej negatif buat Islam sendiri?

Ramai pemerhati politik percaya, jika Amanah tidak ditubuhkan, kemungkinan besar Pas nekad mengambil pendekatan politik untuk berbaik-baik dengan Umno-BN. Dengan kewujudan Amanah, hasrat itu tertunda kerana dibimbangi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi akan berduyun-duyun menyertai parti Islam progresif itu jika Pas mengadakan tahaluf siyasi dengan Umno.

Malah permusuhan tajam Pas dengan DAP juga dilihat satu strategi untuk memudahkan pembentukan koalisi baru bersama Umno. Semua menyedari, termasuk strategis Pas bahawa tidak mungkin satu parti secara solo dapat membentuk kerajaan tanpa kerjasama dengan parti-parti lain.

Pas juga mungkin kehilangan sebahagian besar kerusi, apatah lagi di negeri-negeri Johor dan Selangor jika ia tidak mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan ataupun Barisan Nasional.

Laluan sukar

Dalam situasi seperti ini, ketika Pas dilihat belum terserlah hasratnya untuk bersama Umno -- walaupun lenggok badannya ditafsirkan ke arah itu -- maka pengaruh Amanah seakan-akan tersekat. Upayanya untuk menarik sokongan majoriti ahli-ahli Pas memerlukan lebih masa, termasuk kempen penerangan yang intensif dan penjelasan terperinci.

Tambah sukar apabila rakan-rakan kerjasama, seperti Keadilan, dikatakan masih mengintai peluang untuk mengadakan pakatan pilihan raya dengan Pas. Berpakat dengan Pas, apatah lagi dengan berunding tanpa restu Pakatan Harapan, hanya akan mengetepikan Amanah.

Namun, diteliti respons melulu pemimpin Pas, tampak agak mustahil untuk membentuk semula jalinan kerjasama dengan Pas. Malah Pas seperti berasa besar diri dan beranggapan dirinya terlalu penting sehingga diperlukan oleh semua pihak.

Mendekati beberapa personaliti utama Amanah, yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi dan komitmen tidak berbelah-bahagi, parti itu mempunyai masa depan yang cerah.

Justeru, tanggapan negatif bahawa pengaruh Amanah hanya sekitar 1 peratus pasti tidak meninggalkan impak negatif, malah mampu menjadi pendorong untuk bekerja lebih gigih, menyampaikan risalah ke seluruh pelosok negara, berganding bahu dengan rakan-rakan Pakatan Harapan bagi menyelamatkan tanahair tercinta ini.

Ada pihak beranggapan kewujudan parti baru Bersatu pimpinan Dr Mahathir adalah satu anugerah tidak ternilai kepada gabungan pembangkang. Benar sekali, tetapi kelahiran Amanah juga adalah pelengkap kepadanya kerana tanpa Amanah nescaya akan wujud ketempangan sokongan pencinta Islam di negara ini kepada Pakatan Harapan.

Moga keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan ini, yang mengisi posisi tersendiri dan kubu masing-masing, mampu menggembleng dukungan rakyat untuk menyelamatkan negara ini dalam PRU14.

Kesempatan terbaik ini tidak datang selalu dan ia sama sekali tidak boleh dibiarkan berlalu hanya disebabkan perbedaan titik-bengik ataupun sedikit ketamakan yang tidak terurus.
























Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan