PEMUDA Pakatan Harapan (PH) dinasihat agar
meninggalkan budaya politik Machiavelli yang mengamalkan putar belit,
adu domba, manipulasi, kontroversi, sensasi, fitnah dan segala rekaan
bersifat matlamat menghalalkan cara. Ianya adalah wajah politik golongan
berkepentingan, rakus, terdesak, hipokrit, bongkak serta bankrap
idealisme.
Sedangkan anak muda seharusnya dan sebagaimana juga sejarah terukir
pada seluruh tamadun, adalah golongan yang teguh berpegang kepada
prinsip dan semangat perjuangannya. Anak muda adalah peneraju dan
penggerak kebangkitan massa paling gigih serta ‘tiang’ kepada negaranya
hingga menjadi rebutan atau sasaran banyak pihak.
Kenyataan bersama Pemuda PH mempertikai tulisan Presiden PAS bertajuk
“Politik Islam dan Perkauman” jelas menunjukkan ia telah dibaca secara
emosi dan melulu hingga menerbitkan salah faham. Mereka menyanggah
dengan tuduhan kononnya artikel itu berbaur perkauman, sedangkan ia
menginterpretasikan suatu perspektif.
Kita terbuka untuk sesiapa jua mahu mengkritik atau mewacanakannya,
tetapi mestilah dengan paksi dan kaedah perbicaraan yang benar lagi
sihat. Bukannya menghambur unsur-unsur tipikal yang tidak matang, tidak
berfokus dan dilihat bebal. Kawal keghairahan dalam berhujah dan tidak
perlu melalut untuk mencetuskan ketegangan lain.
Terpulang kepada Pemuda PH untuk menyatakan sudut pandang mereka,
tetapi tidak perlu rosakkan perbicaraan dilontarkan Presiden PAS melalui
tulisan itu dengan naratif yang sengaja disalahertikan.
Juga tidak
perlu membuat tuduhan fitnah dan mengheret kepada unsur untuk
membibitkan ketidakharmonian dan ancaman kepada mana-mana pihak.
Walhal artikel itu menyingkap fitrah dan kecenderungan berkait
kepimpinan, tanggungjawab teras dan jaminan keadilan, serta peranannya
dalam kemajmukan kaum. Selain mengemukakan realiti Malaysia dan cabaran
sedang berlaku untuk dipertimbangkan agar tidak menuju kepada situasi
yang menggugat kewajaran dan asasnya.
Sebenarnya, Pemuda PH yang bersentimen dan menjadikan kenyataan
bersama itu sebagai satu bentuk serangan dangkal dengan menafi atau
menutup segala konsistensi PAS dalam menentang korupsi. Malah,
menganggap pendekatan dibawa PAS sekadar slogan retorik yang dijadikan
permainan politik dan perangkap tertentu.
Jelas ada skeptikal dan paranoid hingga dipalit pula PAS seperti
membela Umno serta memperburukkan pentadbiran PAS Kelantan. Jika begitu
ada baiknya kalian melihat dan membandingkan dulu rekod integriti 9
tahun pentadbiran Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dibanggakan itu sebelum
sibuk menuding jari dan perasan suci diri.
“Sejahtera Bersama Islam”
“Mara Menuju Cita”
KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan