Oleh Rehan Ahmad
Bagi kebanyakan kita
rakyat Malaysia, bulan Ogos merupakan bulan yang sangat bermakna.
Tanggal 31 Ogos 1957 menandakan hari kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah
Melayu. Namun begitu, di negara lain mungkin suasananya jauh berbeza.
Kegembiraan yang kita rasakan mungkin digantikan dengan kemurungan,
seluruh negara berkabung, kejayaan pula mungkin digantikan dengan
kebinasaan.
Hakikatnya, pada bulan inilah, dua buah bom atom digugurkan di Hiroshima
yakni pada 6hb Ogos. Tidak cukup dengan itu, ianya disusuli dengan
pengeboman bandar Nagasaki pada 9hb Ogos. Belum sempat rakyat Jepun
meratapi dan berusaha bangun daripada kemusnahan bandar Hiroshima yang
jatuh rata menjadi “padang jarak, padang tekukur”, satu lagi bandar
mereka musnah akibat bom atom Amerika Syarikat, atas nama tentera
bersekutu yang kononnya datang membawa mesej keamanan.
Timbul persoalan sama ada pengeboman tersebut perlu untuk menundukkan
Jepun yang ketika itu pertahanan udaranya sudah hampir lumpuh. Tentera
Udara Amerika Syarikat sebenarnya tidak perlu menghantar kapal pejuang
untuk mengiringi kapal pengebom. Cukup sekadar menghantar kapal pengebom
B-29 bersendirian tanpa ditemani walau satu kapal terbang lain.
Terdapat juga persoalan, mengapa bom atom hanya digugurkan di Jepun,
sebuah negara Asia dan bukan ke atas negara Jerman yang terletak di
Eropah? Apakah barangkali kedudukan Jerman yang terlalu dekat dengan
negara-negara bersekutu seperti Perancis, United Kingdom, dan Rusia akan
mengakibatkan penyebaran sisa-sisa radioaktif ke negara-negara jiran
dan seterusnya mengancam ratusan ribu lagi nyawa penduduk benua Eropah
menjadi pertimbangan? Persetankan Asia dan penduduknya.
Nyawa rakyat Jepun seolah-olah tidak mempunyai nilai. Hampir 100,000
menjadi mangsa korban serta merta akibat daripada letupan bom nuklear
secara langsung dan ratusan ribu lain pula mengalami kematian secara
perlahan-lahan akibat pendedahan kepada bahan radioaktif yang terhasil
daripada letupan tersebut. Sehingga puluhan tahun, mereka yang terdedah
masih menderita bahana bahan radioaktif bom atom ‘hadiah’ daripada
Amerika Syarikat.
Dalam kes ini, kemungkinan perbezaan ideologi dan bangsa antara Jepun
dan Eropah menjadi penentu negara mana yang akan menjadi mangsa
eksperimen bom nuklear. Kita mungkin bersetuju bahawa pengeboman ke atas
penduduk awam dan sesiapa saja yang tidak bersenjata adalah tidak
beretika dan dayus. Namun, mungkinkah ada dalam kalangan ketenteraan
yang mempunyai pandangan yang sama?
Menarik untuk diperhatikan, sebenarnya, jeneral-jeneral tentera Amerika
Syarikat sendiri seperti Douglas McArthur, Chester Nimitz, Dwight D.
Eisenhower, William Leahy dan bekas presiden Amerika, Herbert Hoover
tidak bersetuju dengan tindakan tersebut. Bahkan Dwight Eisenhower
berpendapat Jepun telah pun dikalahkan sewaktu bom atom dijatuhkan.
Menurut sejarawan Tsuyoshi Hasegawa, Jepun menyerah kalah akibat
penyertaan Rusia ke dalam konflik tersebut dan bukan kerana pengeboman
Hiroshima dan Nagasaki.
Tidak terhenti di Jepun, Amerika Syarikat kemudiannya mara ke
Semenanjung Korea yang pada waktu ini wujud sebagai satu wilayah dengan
ideologi komunis. Dalam usaha untuk mengekang penyebaran komunisme,
Amerika Syarikat telah menggunakan pelbagai kaedah yang wujud, daripada
senjata kimia kepada senjata biologi dan lain-lain senjata yang sangat
kejam hanya untuk menidakkan satu ideologi. Lebih dua juta warga Korea
mati dibunuh akibat pergolakan ini.
Seterusnya, Amerika Syarikat singgah pula di Vietnam dan ‘menghadiahkan’
‘Agent Orange’, yang mana sehingga kini masih mengakibatkan kelahiran
cacat dalam kalangan mereka yang terkesan dengannya.
Hakikatnya, jutaan nyawa manusia telah menjadi korban dalam kempen
hegemoni Amerika Syarikat. Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara
yang berjaya membuat untung daripada peperangan. Sehingga kini, Military
Industrial Complex didakwa menjadi pencatur kepada negara mana yang
akan diserang Amerika Syarikat dan konco-konconya kelak.
Campur tangan Amerika Syarikat di negara-negara Amerika Selatan pula
telah membinasakan banyak negara. Alasan yang dijaja di seluruh dunia
adalah ingin menjatuhkan komunisme dan membangkitkan ideologi
liberalisme atau kapitalisme. Asal ada pemimpin yang menunjukkan jari
tengah kepada Amerika Syarikat maka, Uncle Sam akan melanggar negara
tersebut untuk ‘regime change’.
Iraq, Libya, Syria dan lain-lain negara diserang kerana perbezaan
ideologi semata-mata. Negara-negara ini mengamalkan sistem pentadbiran
sosialis yang berbeza dengan kapitalisme yang diamalkan di Amerika
Syarikat. Alasan ini sudah cukup kuat demi melaksanakan serangan tentera
besar-besaran ataupun campur tangan lain melalui gerakan-gerakan bawah
tanah yang wujud di negara-negara ini. Masakan kita lupa alasan ‘Weapon
of Mass Destruction’ yang direkayasa untuk membunuh jutaan nyawa di
Iraq.
Namun demikian, peperangan secara bersenjata tidak diamalkan di semua
tempat. Amerika Syarikat juga pandai menggunakan ‘soft powers’ untuk
negara-negara terpilih.
Di Malaysia, gerakan-gerakan anti-kerajaan banyak disokong oleh
pertubuhan yang dinaungi agensi kerajaan dari Amerika Syarikat dan
sekutunya. Sebagai contoh, National Endowment for Democracy (NED),
International Republican Institute (IRI), National Democratic Institute
(NDI) dan banyak lagi sentiasa memberi sokongan padu kepada pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) yang “memperjuangkan” hak asasi manusia di negara
ini. Label “musang berbulu ayam” yang diberikan Timbalan Perdana Menteri
ke atas sekumpulan pejuang hak asasi manusia tempatan baru-baru ini
adalah tepat sekali.
Sungguhpun campur tangan ini adalah secara tidak langsung akan tetapi,
terdapat perkaitan rapat antara NGO-NGO ini dengan agenda seperti LGBT,
liberalisme, sekularisme, pluralisme agama dan lain-lain lagi yang
bernaung di bawah nama hak asasi manusia.
Hakikatnya, banyak negara telah dihancurkan dari dalam oleh gerakan yang
dibiayai oleh agensi-agensi dari Amerika Syarikat dan negara sekutunya
atas alasan kemanusiaan. Benteng pertahanan utama untuk mendepani
gejala-gejala ini antaranya adalah melalui pendidikan. Pendidikan boleh
mewujudkan kematangan pemikiran yang membolehkan seseorang itu bertindak
secara rasional dan bukan atas hawa nafsu kebodohan semata-mata.
Amerika Syarikat hari ini sibuk ‘berwacana’ di mana-mana. Di negara
kita, agen-agen sosial mereka sibuk berforum dan mengadakan bengkel
untuk kononnya cuba memahami dan pada masa yang sama membawa agenda
‘terbuka’ mereka. Mereka sibuk mendidik rakyat kita mengubah pola
pemikiran dan budaya kendiri setiap seorang daripada kita.
Oleh itu, sekiranya sistem pendidikan terkini, formal dan informal,
gagal membentuk generasi masa depan yang celik isu, dikhuatiri masa
depan negara kita akan jatuh ke tangan mereka-mereka yang tidak
menghiraukan kewujudan budaya dan ketamadunan asing yang jelas janggal
dengan akar budaya rakyat negara ini yang bertunjang rapat dengan agama
iaitu benteng terakhir kompas moral kita.
Persoalannya juga, adakah kita hari ini mampu untuk mendidik generasi
akan datang supaya mementingkan kebajikan agama dan negara mengatasi
keindahan materi duniawi? Sudah semestinya dunia ini adalah sementara,
dan yang kekal itu adalah akhirat jua. Bagaimanakah kita, Muslim di
Malaysia, mampu mengimbangi kedua-duanya kelak?
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan