BN takkan mampu jelaskan isu 1MDB, kata MB Selangor

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional takkan mampu menjelaskan isu 1MDB kepada rakyat Selangor yang semakin matang politik, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali.

Azmin berkata rakyat Selangor bukan sahaja mahukan program kerajaan negeri yang boleh meyakinkan, tetapi juga pentadbiran yang bersih, dan tahu membezakan perkara benar dan batil.
Beliau berkata demikian selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mahu BN membetulkan persepsi rakyat Selangor terhadap 1MDB.

Tengku Adnan juga mengkritik rakyat Selangor kerana menyerahkan negeri itu dan “rizab berbilion-bilion” kepada pembangkang selepas semua “pembangunan” yang BN berikan.

“Saya kira, Tengku Adnan akui isu 1MDB ini amat penting untuk kembalikan keyakinan rakyat. Saya juga bukan seperti Tengku Adnan dan Umno yang menyalahkan rakyat Selangor,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini selepas memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, meminta mahkamah memerintahkan polis menyiasat ahli perniagaan yang dikaitkan dengan 1MDB, Low Taek Jho atau Jho Low.

“Mereka (BN) bertanggungjawab jelaskan skandal 1MDB bukan untuk menang Selangor tetapi pertahankan Putrajaya. Sekiranya gagal bukan sahaja Selangor tetapi Putrajaya juga akan terlepas.

“Saya tidak yakin mereka (BN) mampu yakinkan rakyat dalam tempoh terdekat. Sebab itu kita ambil semua langkah termasuk tindakan saman terhadap Ketua Polis Negara,” kata Azmin.

Tengku Adnan dalam kenyataan semalam sedih dengan sokongan rakyat Selangor kepada pakatan pembangkang. PKR menerajui kerajaan Selangor bersama-sama DAP, Amanah dan PAS. Gabungan tersebut mentadbir Selangor sejak pilihan raya umum 2008.

“Saya amat sedih dengan Selangor ni. Lepas kita (BN) beri pembangunan, senang-senang rakyat beri kepada pembangkang termasuk dengan rizab berbilion-bilion (ringgit), diberi kepada pembangkang.

“Saya hendak merayu kepada Cina, India, Melayu, Kadazan, Iban (termasuk) segala etnik yang ada dalam negara ini, tolong sedarlah. Bangun, fikir dan renung balik siapa kita dahulu dan bagaimana kita dapat capai ini semua?” kata Tengku Adnan.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan