PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak menggesa setiap anggota Umno
menggunakan semangat juang atlet negara untuk mempertahankan rekod undi
majoriti paling tinggi untuk kawasan Parlimen Pekan iaitu 35,613 undi
yang diperolehnya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Ahli Parlimen Pekan ini berkata tragedi 1999 yang menyaksikan beliau hampir kalah dengan majoriti 241 perlu dijadikan iktibar.
Najib menyifatkan perkara itu yang dilalui semasa PRU 1999 sebagai pengalaman yang paling sukar untuk dilupakan sehingga kini.
“Mimpi ngeri 1999 adalah kerana peristiwa mata lebam sehingga kita
yang menjadi mangsa. Orang lain yang buat hal, orang lain pula yang
terasa kesannya,” katanya merujuk kepada kejadian bekas timbalan perdana
menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhadapan kejadian dipukul semasa
ditahan di Bukit Aman.
Peristiwa itu berlaku beberapa minggu selepas Anwar dipecat sebagai
timbalan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, yang merupakan
pengkritik lantang terhadap kepimpinan Najib sekarang.
Ekoran kejadian itu undi kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) menurun dengan ketara.
Selepas penurunan mendadak undi pada tahun 1999 Najib meningkatkan
semula majoriti dalam 3 pilihan raya umum selepas itu iaitu 2004, 2008
dan 2013.
Dipetik Bernama, Najib sambil membuat perbandingan dengan kejohanan
Sukan SEA Ke-29 yang sedang berlangsung kini berkata, anggota Umno perlu
mencontohi semangat perjuangan yang dibawa atlet Malaysia dalam
merealisasikan sasaran 111 pingat emas untuk muncul juara keseluruhan.
Najib turut berkongsi pengalaman yang diperolehnya semasa menonton
perlawanan bola sepak antara Malaysia menentang Myanmar pada 21 Ogos
lalu di televisyen, yang berkesudahan dengan pasukan kendalian Datuk Ong
Kim Swee menang 3-1.
“… yang sumbat dua bagi Malaysia adalah MIC, yang tukang sampaikan
bola adalah UMNO dan dalam kes ini saya anggap seperti BN yang menang,
tidak kiralah siapa yang skor asalkan bola masuk gol.
“Ini bermaksud bila ada muafakat, kemenangan pasti dalam tangan. Satu
lagi iktibar ialah kita sepatutnya menang 3-0, tapi pada saat akhir,
defender buat silap walaupun dia tak sengaja.
“Apatah lagi dalam politik, jika kita sengaja buat silap, sabotaj
atau jadi cah keting.. ini yang menyebabkan parti lawan boleh mengatasi
parti kita. Saya sebut ini sebagai peringatan walaupun kita berada dalam
keadaan yakin dan optimis,” katanya.
Najib yang juga presiden Umno berkata demikian ketika berucap
merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan
Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan hari ini.
Beliau juga berkata, Umno dan Barisan Nasional (BN) masih mempunyai
ruang untuk memperkemaskan jentera mereka dalam fasa-fasa terakhir
sebelum ‘wisel’ dan ‘beduk’ PRU14 dibunyikan.
Najib berkata hasil pemantauan menerusi persidangan perwakilan Umno
di seluruh negara, beliau secara keseluruhannya berpuas hati dengan
tahap kesiapsiagaan jentera parti, namun menurutnya masih ada ruang
untuk ia diperbaiki bagi memastikan BN menang besar dan terus kekal
memegang tampuk pemerintahan negara.
“Keadaan kita dari segi kesiapsiagaan berada di tahap baik dalam erti
kata kalau saya sebagai perdana menteri, nak pukul beduk ataupun atau
tiup wiselnya, tahap kesiapsiagaan sudah baik. Namun kalau kita bersifat
perfectionist (mementingkan kesempurnaan), kita tak akan berpuas hati
sehingga segalanya sempurna.
“Saya masih anggap ada ruang untuk terus tingkatkan kesiapsiagaan,
tingkatkan komitmen, termasuk dalam aspek penugasan masing-masing.
Walaupun sudah dilakukan dengan baik, namun saya kira masih ada lagi
ruang untuk tingkatkan apa yang patut kita lakukan untuk jamin kejayaan
cemerlang dalam PRU14 nanti,” katanya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan