Nothing to Hide: Dakwaan suspek dibayar RM50 hanya laporan media, kata polis

PETALING JAYA: Polis berkata laporan yang mendakwa 3 remaja yang disyaki terlibat dalam kekecohan di forum “Nothing to Hide 2.0” Ahad lepas menerima bayaran RM50 hanyalah laporan media.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmad berkata masih terlalu awal untuk mengesahkan laporan media itu kerana kes tersebut masih dalam siasatan.
“Dakwaan mengatakan mereka dibayar RM50 itu masih lagi dalam siasatan dan polis tidak membuat sebarang pengesahan,” katanya

“Itu hanya pihak media yang melaporkan bukan kita melaporkan. Soal mereka diberi duit ke apa kita tidak nak sahkan lagi,” tambahnya.

Semalam, portal memetik sumber yang rapat dengan siasatan polis berkata trio berusia 17 hingga 19 tahun yang ditangkap polis Ahad lepas dibayar untuk menghadiri forum itu.

Mereka disyaki mencetuskan kekecohan di program itu dengan membaling suar dan objek lain ke arah pentas, ketika ucapan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut laporan itu, mereka sebahagian dari kumpulan yang berkumpul di Setiawangsa sebelum acara bermula. Terbaharu 7 lagi individu ditahan reman 4 hari sehingga 18 Ogos ini untuk siasatan.
“Pihak polis sedang sedaya upaya melakukan siasatan supaya pihak yang terlibat dikenakan hukuman yang sewajarnya.

“Terbaharu kita tahan 7 lagi individu dan akan direman sehingga 18 Ogos ini, malah sekiranya perlu membuat tangkapan baru, kita akan buat tangkapan baru,” katanya.

Semua suspek disiasat di bawah Seksyen 15(2)d Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 153 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan-Bahan Kakisan dan dan Letupan dan Senjata Berbahaya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan