Penubuhan RCI Memali bakal buka rahsia lama Tun M - Shaiful Hazizy

KUALA LUMPUR: Cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat semula 'Peristiwa Memali' akan membuka misteri berhubung tragedi itu yang menjadi rahsia sehingga hari ini.

Ketua Pemuda UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata ia sekali gus merungkai fakta bercanggah, tidak pasti kebenaran selain diperdebatkan masyarakat.

"Kita menyokong diwujudkan RCI bagi menyiasat tragedi Memali pada 19 November 1985.

"Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu wajar bertanggungjawab sepenuhnya berhubung kejadian ini atas sebab-sebab yang kukuh," katanya

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaan kerajaan menubuhkan suruhanjaya itu untuk menyiasat peristiwa itu sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Peristiwa Memali di Baling menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap guru agama, Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

Dalam pada itu tegas Shaiful, wujud fakta bercanggah sama ada benar atau tidak Ibrahim Libya dan pengikutnya benar benar mewujudkan gerakan untuk menumbangkan kerajaan ala revolusi atau kumpulan berkenaan sekadar satu pengikut ajaran agama.

"Selain itu, pengakuan Tun Musa Hitam sendiri selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam negeri pada ketika itu yang menyatakan Tun Mahathir berada di dalam negara berbanding kenyataan yang disebarkan selama ini bahawa semasa kejadian Tun Mahathir dalam rangka lawatan kerja rasmi ke negara China.

"Tragedi ini juga melibatkan nyawa dengan seramai empat anggota keselamatan terlibat dan 14 warga kampung memali terbunuh.

"Jadi ia perlu digali hingga ke akar umbi siapa yang mengarahkan operasi ini? Kenapa perlu sehingga pertumpahan darah dan apakah tidak ada mekanisme lain melalui perundingan yang boleh dilaksanakan untuk mengelakkan pembunuhan?" soalnya.

Tegasnya lagi, misteri dan persoalan itu perlu dijawab dan dijelaskan Tun Mahathir terlebih dahulu kerana ia merupakan 'hutang nyawa'.

"Ia juga 'dosa berzaman' Tun Mahathir kepada warga Memali, rakyat Kedah khsususnya dan warga Malaysia amnya.

"Dengan merungkai persoalan ini secara jelas maka barulah Tun Mahathir dan terutamanya PPBM layak untuk bercakap soal menerajui Kedah.

"Hakikatnya Tun Mahathir masih berhutang penjelasan dengan rakyat Malaysia berhubung isu Memali," jelasnya.

Sebelum ini juga, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah menjelaskan, cadangan menubuhkan RCI untuk menyiasat semula 'Peristiwa Memali' bukan bertujuan menganiaya sesiapa.

Kata Ahmad Bashah, memang terdapat permintaan penubuhan RCI berkenaan daripada pelbagai pihak termasuk waris mangsa.













Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan