PETALING JAYA: PKR mesti “bertaubat nasuha” dulu sebelum berhasrat
menjalin kerjasama dengan PAS, kerana keangkuhan dan fitnah berterusan
terhadap parti Islam, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Datuk Khairuddin
Aman Razali hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail hari ini berkata partinya masih terbuka kepada kerjasama
dengan PAS dalam soal penentuan kerusi pada pilihan raya umum akan
datang, hampir 3 bulan selepas parti Islam itu memutuskan kerjasama.
PKR, dan gabungannya, Pakatan Harapan berhasrat memastikan
pertandingan 1 lawan 1 menentang Barisan Nasional, namun PAS sebelum ini
pernah membayangkan pertandingan 3 penjuru di kerusi yang ditandingi
pembangkang.
“Macam mana nak bekerjasama jika pimpinan PKR berterusan menyerang
PAS dengan pelbagai tuduhan termasuk fitnah PAS menerima dedak Umno?”
kata Khairuddin
Beliau berkata PKR menghulurkan kerjasama kerana merasakan kedudukan
mereka, khususnya di Selangor, yang ditadbir bersama PAS tergugat.
“Ini hanyalah cubaan PKR menagih simpati PAS,” jawab Khairuddin.
“Sebelum ini mereka sombong dan berlagak seolah merekalah parti terkuat
di dunia.”
PAS memiliki 13 kerusi DUN di Selangor, bersama dengan PKR (13), DAP
(14) dan Amanah (2) untuk membentuk sebuah kerajaan gabungan. Kerusi DUN
Bukit Antarabangsa, yang diduduki Timbalan Presiden PKR Datuk Seri
Azmin Ali, berkongsi kawasan Parlimen Ampang dengan Adun Lembah Jaya
Khasim Abdul Aziz dari PAS. Kerusi Parlimen Gombak turut mempunyai
seorang Adun PAS, Hasbullah Mohd Ridzwan di DUN Gombak Setia.
Sementara kerusi Parlimen Permatang Pauh, yang diduduki Presiden PKR
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mempunyai seorang Adun PAS, Salleh
Man di DUN Permatang Pasir.
“Ahli dan pimpinan PAS tidak sesekali akan dipatuk ular 2 kali dalam hubungan dengan PKR,” kata Khairuddin.
“Mereka menyokong ahli Parlimen PAS melompat ke parti mereka ketika
sedang bertahaluf. Mereka berpakat dengan mereka yang mengkhianati PAS
ketika bertahaluf. Di mana semangat setiakawan?”
Beliau dipercayai merujuk kepada Ahli Parlimen Tumpat Kamaruddin
Jaafar, yang menyertai PKR pada 11 September 2015. Kemasukan itu
menyusuli tindakan keluar parti pemimpin veteran PAS seperti Ahmad
Awang, Mohamad Sabu, Khalid Samad, Salahuddin Ayub, Dzulkefly Ahmad,
Mujahid Yusuf Rawa dan Raja Kamarul Bahrin untuk membentuk Amanah.
PAS, pada Mei tahun ini secara rasmi menamatkan semua hubungan dan
kerjasama dengan PKR, apabila majlis syura parti itu memutuskan langkah
itu perlu untuk pertahankan agenda Islam parti itu.
Majlis itu menuduh PKR melanggar syarat kerjasama dengan PAS, apabila
gagal menyokong agenda Islam parti itu, dan bekerjasama melawan PAS
pada pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan