BERIKUT adalah temubual Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
bersama wartawan Berita Harian yang disiarkan dalam Akhbar Cetak Berita
Harian pada 20 Ogos 2017 (Ahad).
BERITA HARIAN: Bagaimana perkembangan kesihatan Datuk Seri ketika
ini. Adakah masih memerlukan rawatan intensif di IJN dan berapa lama
diberi cuti rehat oleh doktor?
DATO’ SERI: Alhamdulillah, kesihatan saya semakin baik. Doktor pun sudah
izinkan saya lakukan aktiviti ringan secara perlahan-lahan.
Bagaimanapun, saya masih memerlukan rawatan susulan dan masih diberi
cuti rehat sehingga pulih sepenuhnya.
BERITA HARIAN : Dalam tempoh terdekat ini, bagaimana Datuk Seri
menjalankan tugas rasmi terutama sebagai Presiden PAS, Ahli Parlimen
Marang dan Timbalan Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia?
DATO’ SERI : Saya banyak dibantu oleh setiausaha dan pegawai saya. Pada
masa sama, Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga kerap
kali datang berjumpa untuk merujuk beberapa perkara penting yang
memerlukan pandangan dan persetujuan saya.
Selain itu, saya boleh berkomunikasi melalui telefon untuk menghubungi
pimpinan PAS dan juga rakan antarabangsa. Kenyataan saya berkaitan isu
antarabangsa juga disiarkan di laman media sosial seperti Facebook
Kesatuan Ulama Islam Sedunia.
BERITA HARIAN: Ketika Datuk Tuan Ibrahim menjalankan tugas sebagai
Pemangku Presiden PAS, ada beberapa pihak mendakwa wujud pertelingkahan
pandangan dalam membuat keputusan antara Datuk Seri dan Tuan Ibrahim
termasuk keputusan menggugurkan Datuk Mustafa Ali daripada jawatan Ketua
Pengarah Pilihan Raya yang kemudiannya dilantik semula sebagai
Pengerusi Lembaga Penasihat PAS. Bagaimana Datuk Seri melihat perkara
ini?
DATO’ SERI: Semua itu dalam makluman dan persetujuan saya. Tiada isu
sebenarnya. Datuk Tuan Ibrahim merujuk kepada saya terlebih dahulu.
Datuk Mustafa Ali ialah sahabat baik saya sejak zaman Pemuda lagi. Kita
melantik beliau sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat PAS kerana
menghargai jasa dan pengalaman dalam jawatankuasa PAS, kita mahu
mendengar pandangan beliau. Lagi pula beliau tetap hadir program PAS dan
selalu berjumpa saya seperti biasa. Ini hanya mainan media dan saya
harap media jujur dalam membuat pemberitaan.
BERITA HARIAN: Sidang Parlimen sesi kali ini sudah berakhir dan
sebelum ini PAS optimis Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang
Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (RUU 355) akan dibahaskan pada persidangan
itu, namun ia tidak juga menjadi kenyataan. Bagaimana PAS menangani isu
ini?
DATO’ SERI: PAS sudah berjaya membawa ke peringkat membentangkan dan
menghuraikan usul serta disokong pindaan Akta 355 pada sesi lepas.
Sekarang terserah kepada Tan Sri Speaker untuk menyambung perbahasan dan
masih ada lagi perkara-perkara teknikal yang memerlukan masa bagi
menjayakan RUU 355 ini.
Pendirian kita jelas, kita tidak berputus asa dan berganjak dalam
perjuangan memartabatkan Mahkamah Syariah khususnya melalui pindaan Akta
355. Kita melihat RUU 355 ini menjangkaui sempadan politik semata-mata.
BERITA HARIAN: PAS kini sudah tidak bersama pakatan pembangkang yang
menggabungkan secara rasmi antara PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) selain beberapa parti termasuk
PSM. Bagaimana Datuk Seri melihat keraguan banyak pihak termasuk
penyokong akar umbi terhadap kekuatan PAS yang berada dalam Gagasan
Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN)?
DATO’ SERI: PAS ada kekuatan akar umbi sendiri yang tidak ada pada parti
pembangkang lain. Kita ada 195 kawasan dari 222 kerusi Parlimen dan
7,063 cawangan seluruh negara. Pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu,
kebanyakan jentera adalah jentera PAS yang membantu memenangkan calon
pakatan pembangkang daripada PKR dan DAP. Saya yakin Pakatan Harapan
(PH), gabungan PKR, DAP, Parti Amanah Negara dan PPBM adalah pakatan
rapuh yang tidak memberi keuntungan kepada Islam dan tidak berjaya
mendapat undi teras Melayu.
Kita sentiasa membuat kajian dalam menentukan kerjasama dengan mana-mana
pihak sejak 1950-an hingga hari ini dan kita boleh membuat keputusan
sendiri dan memilih mana yang paling baik.
Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan adalah satu-satunya gabungan yang unik
dan tidak pernah wujud dalam negara kita. Biasanya apabila menyebut
mengenai gabungan politik, maka akan berlaku gabungan antara parti-parti
politik sebagaimana PAS pernah bergabung dalam Barisan Nasional (BN),
Semangat 46, Barisan Alternatif dan Pakatan Rakyat. Kelainan yang ada
pada Gagasan Sejahtera adalah ia gabungan parti politik bersama
pertubuhan bukan kerajaan (NGO), tokoh masyarakat, tokoh akademik, bekas
pegawai tinggi kerajaan atau sesiapa saja yang berminat untuk bersama
Gagasan Sejahtera
BERITA HARIAN: Jika bersama pakatan pembangkang, PAS mampu menawan 21
kerusi Parlimen pada PRU-13, bagaimana jangkaan PAS secara realistik
untuk PRU-14 terutama selepas berhasrat untuk bertanding di 120 hingga
140 kerusi termasuk kerusi Permatang Pauh?
DATO’ SERI: Apabila saya menyebut PAS akan mencapai sasaran menang 40
kerusi, ia adalah satu sasaran yang realistik dan berpijak di bumi nyata
berdasarkan kajian yang kita buat di peringkat akar umbi melalui
analisis terperinci sehingga ke peringkat Unit Peti Undi (UPU).
Kekuatan jentera PAS di seluruh negara sedang bergerak aktif dengan
kerja pilihan raya dan bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan
pembubaran Parlimen dan pengisytiharan tarikh pilihan raya. Kekuatan PAS
tidak boleh diukur dengan keputusan pilihan raya semata-mata. Kekuatan
kita berdasarkan perkembangan ahli, kawasan dan cawangan. Mengambil kira
pengalaman, PAS pernah menurun kepada satu kerusi saja pada 1986,
pernah jatuh dua kerajaan negeri dan keadaan ini tidak pernah dialami
oleh parti lain, tetapi kita terus semakin kuat. Kita juga tidak buat
kajian atas meja saja tetapi kita buat kajian di lapangan.
Dengan pendekatan baharu Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang
kita gerakkan, sudah menampakkan hasil, kini PAS mudah didekati dan
disenangi oleh penjawat awam, NGO, agensi kerajaan dan tokoh masyarakat.
BERITA HARIAN: Tanpa kerjasama dengan gabungan parti pembangkang, PAS
dilihat hilang arah tuju dan bagaikan tidak berhasrat untuk menang
PRU-14. Apa sebenarnya matlamat dan hala tuju PAS dalam suasana politik
hari ini?
DATO’ SERI: Pertama, saya sudah menulis beberapa artikel dan juga dalam
ucapan dasar Muktamar PAS April lalu bertemakan “Sejahtera Bersama
Islam”, sudah menjelaskan bahawa hala tuju PAS dalam suasana politik
hari ini adalah mengajak rakyat untuk menyelamatkan negara bersama
Islam. Banyak parti politik bersemangat ke Putrajaya disebabkan teruja
dengan kerusi dan kedudukan yang dianggap sebagai peluang, ada juga yang
berlumba sehingga bersedia menjadi khadam kepada sesiapa saja termasuk
musuh Islam yang mahu menipu dan memporak-perandakan umat Islam, ada
juga yang marahkan salah laku dan perkara negatif sehingga sanggup
menempah kemusnahan yang lebih besar dan mudarat yang lebih parah
bahayanya.
PAS mahu ke Putrajaya dengan Islam menjadi asas penyelesaian segala
masalah yang berlaku. Adalah menjadi kewajipan sebenarnya untuk
melakukan perubahan ke arah islah bersama Islam yang memimpin dan Islam
yang dilaksanakan.
Kedua, hala tuju PAS sekarang adalah memperkasakan Gagasan Sejahtera
menuju PRU-14 bersama-sama IKATAN, NGO, tokoh masyarakat dan parti lain
yang akan menyertai kita.
Jadi melalui Gagasan Sejahtera yang dibentuk dengan dokongan rakyat dan
bukti bersihnya kerajaan Kelantan daripada salah laku dan rasuah, kita
tawarkan kepada rakyat pemerintahan yang amanah, adil dan saksama dengan
bersama-samanya Islam sebagai tonggak pemerintahan yang menjamin
keadilan untuk semua kaum dan bangsa.
BERITA HARIAN: Banyak pihak mengecam tindak-tanduk Datuk Seri yang
dilihat berbeza dengan kepemimpinan terdahulu termasuk bekas Mursyidul
Am, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga mewujudkan
golongan tidak berpuas hati dalam parti yang akhirnya keluar dan
membentuk parti serpihan. Adakah politik diamalkan kepemimpinan Datuk
Seri hari ini sesuai dengan kelangsungan PAS sebagai parti Islam di
negara ini?
DATO’ SERI: PAS ada dasar Islam yang menjadi tonggak kepada
perjuangannya. Pemimpin PAS bersilih ganti dari zaman berzaman. Yang
istiqamah akan kekal dan yang khianat akan tercampak keluar. Almarhum
Tuan Guru Nik Aziz meninggal dalam PAS dan istiqamah dengan dasar Islam
yang dipegang. Mereka yang tidak ikut jejak Tuan Guru hakikatnya
mengkhianati amanat Tuan Guru yang mengakhiri hidupnya dalam PAS.
Perubahan yang kita buat hari ini adalah selepas perbincangan dengan
Tuan Guru Nik Aziz sebelum beliau meninggal dunia. Mereka yang keluar
parti (membentuk parti serpihan) ini tidak tahu. Saya hanya menyambung
warisan perjuangan Islam bersama bahtera PAS yang ditinggalkan oleh
Almarhum.
BERITA HARIAN: Bagaimana Datuk Seri melihat kemampuan Parti Amanah
Negara, selaku parti serpihan PAS untuk berada di pentas politik, sekali
gus menggantikan PAS?
DATO’ SERI: Kewujudan Parti Amanah Negara tidak memberi sebarang kesan
kepada politik negara. Parti itu tidak boleh menggantikan PAS sebab
tidak mendapat sokongan Melayu seperti PAS, parti didukung oleh orang
Melayu dan diterima oleh orang bukan Islam. Mereka yang berada di
belakang penubuhan Parti Amanah Negara akan meninggalkan parti itu
apabila tujuan penubuhan itu kelihatan tidak tercapai.
BERITA HARIAN: Adakah masih wujud ruang untuk PAS kembali bekerjasama
dengan gabungan parti pembangkang ‘dipandu’ DAP menjelang PRU-14 atau
sebenarnya sudah berpatah arang berkerat rotan dengan gabungan itu?
DATO’ SERI: Kita sudah membuat keputusan, tiada kerjasama dengan DAP dan
parti yang bekerjasama dengan DAP. Keputusan kita jelas apabila melihat
sikap keras terhadap Islam yang dipamerkan oleh DAP dengan menghalang
hak umat Islam yang dijamin dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan
menghalang pelaksanaan undang-undang Islam kepada orang Islam saja.
Malangnya, DAP lantang menghalang kita untuk meminda Enakmen Kanun
Jenayah Syariah Kelantan dan Akta 355 yang hanya dikenakan ke atas orang
Islam saja.
Jadi saya lihat, kerjasama dengan DAP hanya merugikan Islam. DAP berjaya
mengumpulkan kumpulan Melayu dan NGO yang memberanikan diri untuk
menunjukkan sikap anti-Islam sehingga menyentuh perlembagaan tanpa
menghormati sensitiviti kaum. Kita mengharapkan supaya kalangan bukan
Islam menyedari bahawa DAP adalah penyebab kepada ketegangan hubungan
kaum dan mereka perlu berpindah dan tidak lagi menyokong DAP.
BERITA HARIAN: Apakah benar rundingan sedang berjalan antara PAS dan UMNO untuk menggarapkan ‘jalinan kerjasama’ untuk PRU-14?
DATO’ SERI: Tarikh pilihan raya belum ditetapkan. Oleh sebab itu, tiada
guna kita bincang mengenai pilihan raya. Apa yang dibincangkan terkini
adalah mengenai isu rakyat, di mana kita menyokong perkara yang positif
dan kita terus bersikap tegas, menegur dan mengkritik secara membina
dalam perkara yang negatif.
Hubungan PAS dengan UMNO tidak lebih daripada bekerjasama dalam perkara
kebaikan dan keutamaan rakyat. PAS tidak akan masuk UMNO. Itu jelas.
Dalam politik, kita tidak ulang strategi lama. Benda baik yang dibuat
oleh UMNO, kita sokong dan bagi kerjasama seperti RUU 355 dan isu
penindasan etnik Rohingya. Tetapi benda salah yang dibuat oleh UMNO,
kita tentang dan tak bersetuju seperti Perjanjian Perkongsian
Trans-Pasifik (TPPA), cukai barang dan perkhidmatan (GST), Program
Dwibahasa (DLP) dan Akta Membaharui Undang-Undang Perkahwinan dan
Perceraian 1976 (Akta 164).
Kenapa apabila PAS bekerjasama dengan UMNO atas dasar kerajaan dengan
kerajaan dituduh PAS mahu bergabung dengan UMNO? Bagaimana pula dengan
DAP yang bekerjasama dengan UMNO untuk Jambatan Pulau Pinang?
BERITA HARIAN: Apa pendirian PAS terhadap permuafakatan ini (PAS-UMNO), apa pula pandangan peribadi Datuk Seri?
DATO’ SERI: Pendirian saya sama dengan pendirian PAS dan Majlis Syura
Ulama. Bekerjasama atas konsep taawun dalam perkara kebaikan bukan
perkara kejahatan. Allah berfirman dalam Surah Al-Maidah ayat 2: “Dan
hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa
dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan
pencerobohan”.
BERITA HARIAN: Masyarakat Malaysia khususnya orang Melayu dan Islam
bagaikan di persimpangan jalan - sama ada memilih gabungan parti dominan
Melayu Islam (UMNO dan PAS) atau gabungan parti pembangkang yang
dikuasai dan dipandu DAP. Apa pandangan dan pendirian Datuk Seri?
DATO’ SERI: Saya menyeru orang Melayu-Islam untuk kembali kepada
penyelesaian Islam. Mulianya orang Melayu bukan bangsanya Melayu tapi
mulianya kerana bersama-sama Islam. Ini disebut oleh Saidina Umar
Al-Khattab:
“Sesungguhnya kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Ketika
kita mencari kemuliaan bukan dengan yang Allah telah muliakan kita
(Islam), maka Dia akan membuat kita hina.”
Islam sudah bertapak di Malaysia secara berdaulat, sehingga keseluruhan
kaum Melayu dan sebahagian besar penduduk asal menganut Islam dan
menjadi Melayu Muslim. Kedatangan penjajah barat mengubah landskap
negara menjadi masyarakat bersama kaum-kaum yang dipaksa datang sehingga
menjadi majmuk. Namun Islam tidak boleh dihapuskan walaupun dilemahkan
oleh penjajah dengan membuang undang-undang Islam dan penganut Islam
tetap menjadi kumpulan majoriti rakyat berbilang kaum dan agama.
Berasaskan pelaksanaan Islam dan sejarahnya, maka wajib ditegakkan
pemerintahannya dengan cara yang betul, bersama kepemimpinan negara
beragama Islam daripada bangsa Melayu. Pada masa sama, wajib berlaku
adil terhadap masyarakat majmuk berbagai agama dan kaum dan membabitkan
mereka dalam urusan politik pemerintahan dan kehidupan bermasyarakat
seperti ekonomi, pendidikan dan lain-lain.
Hanya Islam yang mempunyai roh perhitungan beribadat kepada Allah dalam
aspek pemerintahan dan ada perhitungan dosa dan pahala terhadap segala
tindakan kerajaan, dapat memimpin masyarakat majmuk dengan adil dan
berkebajikan terhadap semua.
Maka sokonglah parti yang benar-benar serius mempertahankan Islam dengan
segala halangan dan rintangan, moga-moga rakyat selamat dan sejahtera
bersama Islam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan