Oleh Wan Rohimi Wan Daud
RENTETAN daripada penahanan Tan Sri Isa Samad oleh
SPRM berkenaan kes pembelian sebuah hotel 4 bintang di Kensington,
London yang melebihi harga pasaran, PAS merasakan sudah sampai masanya
satu Suruhanjaya Siasatan Diraja ditubuhkan untuk menyiasat serta
mengaudit FELDA dan anak syarikatnya ke atas segala transaksi perniagaan
yang berlaku terutamanya ketika Tan Sri Isa Samad berjawatan Pengerusi
FELDA.
Jelas di ketahui umum, FELDA, Felda Global Ventures (FGV) dan
anak-anak syarikat FELDA ketika diterajui Tan Sri Isa Samad banyak
menimbulkan keraguan umum terutamanya di dalam beberapa transaksi
perniagaan dan pelaburan seperti menceburi pelaburan hartanah luar
negara seperti pembelian hotel 4 bintang di Kensington, London,
pembabitan menternak ikan sturgeon dan beberapa transaksi lagi hingga
menggamit SPRM untuk melakukan siasatan dan seterusnya penangkapan ke
atas mereka yang di syaki melakukan salah laku dan pecah amanah.
Itu tidak termasuk lagi pertelagahan Tan Sri Isa Samad dengan bekas
CEO FGV Datuk Zakaria Arshad dalam kes Delima Oil hingga memaksa
campurtangan Kerajaan serta penyenaraian FGV di Bursa Malaysia ketika
mana ramai yang tidak setuju akibat khuatir akan menjejaskan peneroka
dan FELDA itu sendiri. Jika dilihat keseluruhan kemelut yang berlaku,
ternyata keseluruhan episod sedih di dalam FELDA mahupun FGV berlaku
ketika Tan Sri Isa Samad menjawat jawatan Pengerusi di dalam FELDA dan
organisasinya.
PAS khuatir jika masih terdapat lagi masalah atau kes sebegini lagi
di dalam FELDA, FGV dan anak syarikat lain di dalam FELDA, maka
sewajarnya Kerajaan dengan sikap telus, jujur dan berintegriti bersetuju
dengan cadangan PAS supaya ditubuhkan Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja
untuk mengaudit dan menyiasat segenap inci di dalam FELDA, FGV dan
keseluruhan anak syarikat FELDA untuk memastikan cabang Kerajaan ini
benar-benar bersih dari segala salah laku dan beroperasi menepati segala
“Standard Operating Procedure“ yang telah ditetapkan.
Sepatutnya wang dari kantung FELDA digunakan untuk masa depan
peneroka, memajukan peneroka, membantu peneroka dan genarasi seterusnya
serta menambah baik keadaan ekonomi peneroka serta penghidupan mereka.
Segala keuntungan FELDA seharusnya dijadikan pelaburan untuk masa depan
FELDA itu sendiri dan peneroka, memajukan perniagaan terutamanya
perniagaan teras dan produk-produk ekonomi sektor hiliran yang berkait
dengan perniagaan FELDA serta pelaburan yang tidak berisiko tinggi yang
belum tentu dapat menguntungkan FELDA terutamanya peneroka.
Kita tidak mahu dikejutkan lagi dengan perkhabaran duka terutamanya
kepada peneroka berkaitan FELDA mahupun FGV. Setiap kes salah laku yang
membabitkan FELDA mahupun FGV seolah-olah mengkhainati atau pun berbuat
khianat terhadap peneroka. Seharusnya menjadi tanggungjawab FELDA
mahupun FGV serta anak-anak syarikat di dalam FELDA membantu peneroka
dalam segala aspek, memajukan peneroka secara tidak langsung
meningkatkan ekonomi di kawasan FELDA dan sekitarnya, namun yang berlaku
adalah sebaliknya.
PAS menyambut baik usaha Pengerusi FELDA Tan Sri Shahrir Samad untuk
“membersihkan” FELDA serta menambah baik perjalanan syarikat mahupun
operasi FELDA serta FGV. PAS berharap Tan Sri Shahrir Samad ambil peka
dengan rintihan dan keluhan peneroka serta membela nasib mereka. Namun,
tindakan tegas harus diambil kepada yang bersalah serta mengkhianati
peneroka.
Tindakan membersih FELDA, FGV dan anak-anak syarikat FELDA
haruslah dilakukan hingga ke akar umbi dan cara yang terbaik, tubuhkan
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang dianggotai oleh orang-orang yang jujur,
komited serta tahu selok belok FELDA serta faham rintihan peneroka.
Cukuplah apa yang berlaku, rakyat terutamanya peneroka tidak mahu
dikhianati lagi.
Tanpa Peneroka, Tiadalah FELDA
Sejahtera Bersama Islam
Wan Rohimi Wan Daud
Pengerusi Lujnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar, Perumahan Dan Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan