Oleh Budiman Mohd Zohdi
SAYA masih remaja pada ketika itu. Saya dalam tingkatan tiga. Program
Semarak akan singgah di Sungai Besar. Ketika itu saya dan rakan-rakan
menginap di asrama sekolah. Kami diarah balik ke rumah kerana asrama
tempat kami menginap akan digunakan untuk program Semarak.
Kami diberitahu, Dr Mahathir Mohamad, perdana menteri akan datang ke Sungai Besar.
Tiba hari yang diperkatakan, orang ramai membanjiri padang sebuah kawasan yang dikenali Tonggak 10.
Di atas pentas kelihatan Muhammad Mohd Taib (ketika itu menteri besar
Selangor), Mohamad Rahmat (ketika itu menteri penerangan) dan Megat
Junid Megat Ayub.
Inilah kali pertama saya melihat pemimpin secara langsung dan lebih dekat.
Tugas saya pada hari itu mengedarkan nasi bungkus kepada yang hadir
di dua lokasi berlainan iaitu Parit 2 Barat dan Tonggak 10. Upahnya
tugasan seharian sekadar RM5. Cukuplah untuk makan minum saya ketika
itu.
Sebenarnya bukanlah menjadi rahsia lagi yang program Setia Bersama
Rakyat atau Semarak yang diilhamkan Dr Mahathir ketika beliau menjadi
perdana menteri, timbul hasil krisis kepercayaan rakyat terhadap dirinya
sendiri.
Rakyat masih ingat pertarungan politik hebat dalam Umno pada 1987.
Apabila Dr Mahathir dicabar pada tahun berkenaan yang terjadi
disebabkan krisis kepimpinan di dalam parti, beliau menyatakan separuh
daripada orang dalam parti tidak menyokongnya.
Mana kita boleh lupa yang beliau ketika itu hanya memperoleh 43 undi.
Oleh sebab itu Dr Mahathir terpaksa pergi kepada akar umbi untuk
memberitahu orang Umno yang “saya mendapat sokongan daripada rakyat.”.
Atas dasar itu, kempen Semarak menjelajah ke seluruh negara.
Semarak menurut Dr Mahathir, kononnya lebih kepada kempen meningkatkan semangat cintakan negara dalam kalangan rakyat.
Tetapi realitinya lebih kepada usaha untuk Dr Mahathir mengekal
status quo beliau dalam kerajaan dan parti serta “mengangkat” kembali
imej dan maruahnya ketika itu yang sedang tercalar.
Sebab itu, walaupun teruk diserang kiri dan kanan, Dr Mahathir terus
mendapat sokongan terutama dalam kalangan ahli Umno yang membulatkan
tekad terus setia padanya atas prinsip kesetiaan kepada pemimpin.
Dalam konteks ini, kesetiaan terhadap presiden kerana ia adalah
falsafah yang dipegang jutaan ahli Umno dari dulu hingga sekarang.
Najib Razak sendiri pernah mengulas mengenainya dalam perhimpunan
agung Umno tahun lalu.
Najib berkata, prinsip kesetiaan kepada pemimpin
dan falsafah wala’ yang sentiasa dipegang dirinya dan ahli Umno lain
selama ini antara sebab Umno mampu bertahan sehingga kini.
Malah, katanya, masih diingat bagaimana beliau terpaksa mengetepikan”
Tengku Razaleigh Hamzah sehingga rakan baiknya itu berkecil hati
semata-mata mahu menunjukkan kesetiaannya terhadap Dr Mahathir selaku
presiden parti pada pemilihan presiden Umno 1987.
“Dalam episod pertembungan antara Team A dan Team B, semasa pemilihan
presiden Umno pada 1987, sebagai yang saya sebutkan pada perhimpunan
agung tahun lalu, ketika itu siapa yang setia berada di belakang Dr
Mahathir kalau bukan kita, ahli-ahli Umno.
“Hinggakan Tengku Razaleigh ketika itu berkecil hati atas keputusan
saya dan pasukan berpihak kepada Dr Mahathir. Namun ketahuilah, saya
lakukan itu semata-mata berpegang atas prinsip wala’ dan tuntutan
kesetiaan kepada seorang presiden parti, walaupun secara peribadinya
saya sangat akrab dengan Tengku Razaleigh dan sehingga kini saya tetap
menghormati beliau sampai bila-bila.”
Najib turut mengimbas peristiwa apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1988 mengisytiharkan Umno sebagai pertubuhan haram.
“Siapa juga pada saat-saat genting dan mendebarkan tersebut, yang
berdiri teguh menyokong dan membantu Dr Mahathir selaku presiden,
sehingga Umno baharu secara rasmi diterima semula secara sah?
“Siapa lagi, siapa lagi, kalau bukan kita, orang Umno,” katanya.
Hari ini imej Najib tercalar diserang pembangkang atas pelbagai
tohmahan mereka. Saya bersama-sama jutaan ahli-ahli Umno lain
mengamalkan konsep setia ini ke atas Najib yang kini perdana menteri dan
presiden parti?
Adakah ini satu kesalahan?
Kenapa pula Dr Mahathir dan para sekutunya sangat marah bila jutaan
ahli parti memberi sokongan tidak berbelah bagi kepada presiden parti
mereka sendiri?
Dan bukankah Dr Mahathir juga mengajar kami perkara yang sama dalam
program Semarak yang dianjurkannya ketika di tampuk kuasa dulu?
Mengapa Dr Mahathir tidak memberi pandangan sinis kepada penyokong
yang membuta tuli ke atas ketua umum sebuah parti yang sudah diputuskan
bersalah ke atas kesalahan jenayah dan penyokongnya menganggap
pemimpinnya masih tidak bersalah?
Saya sendiri cukup menyanjung konsep wala’ ini kerana ia selari dengan tuntutan agama.
Wala’ daripada segi bahasa ialah penjaga, pemimpin, pelindung dan
penyerahan malah, ia juga membawa maksud dekat, kasih, mengikut, memberi
pertolongan dan perlindungan.
Menurut Timbalan Syeikh Universiti Al-Azhar Mesir, Prof Dr Abbas
Syuman, konsep itu juga akan menentukan sesebuah kerajaan dapat bertahan
lama dalam keadaan aman dan harmoni.
Menurutnya, sesebuah negara akan hancur akibat perpecahan jika
ahlinya gagal menunaikan tanggungjawab menzahirkan wala’ dan taat atau
kesetiaan kepada ketua, pemimpin dan negara.
“Kesetiaan merujuk kepada semangat sepasukan dalam suatu saf yang kukuh lagi padu tidak terpisah daripada pemimpin dan ketuanya.
“Ia menjadi tuntutan agama lebih-lebih lagi dalam budaya pandangan
dan tindakan politik berasaskan prinsip spekulasi dan andaian pada hari
ini,” katanya.
Boleh rujuk apa yang saya katakan itu dalam ucaptama Dr Abbas di
Seminar Antarabangsa Wasatiyyah 2017 Fiqh Wala’ dan Taat: Peranannya
Dalam Mensejahterakan Negara baru-baru ini.
Dr Abbas menambah: “Konsep wala’ yang diamalkan di dalam sesebuah
organisasi politik bermaksud kesetiaan seseorang kepada ketua, pemimpin,
imam atau seumpamanya dipupuk dengan nilai kasih sayang, kepatuhan,
sumpah setia, taat dan bai’ah yang wajib diberikan kepada pemimpin sah.”
Pada saat pemimpin kita ditohmah, salah kita mempertahankannya?
Sekurang-kurangnya Najib telus bila memperkatakan mengenai konsep
setia, dari bawah ke atas dan bukan seperti Dr Mahathir yang terpaksa
mengarahkan juak-juaknya dan agensi kerajaan yang ada untuk mengaburi
rakyat di sebalik “roadshow” Semarak dulu.
Kami tidak lupa Tun M. –
* Budiman Mohd Zohdi ialah ahli Parlimen Sungai Besar.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan