19 keluarga dipindahkan selepas banjir melanda P Pinang

GEORGE TOWN: Seramai 40 orang daripada 19 keluarga dari Teluk Kumbar dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Perda berikutan banjir kilat sejak awal pagi tadi.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banji Chow Kon Yeow berkata hampir 100 kawasan di Pulau Pinang ditenggelami air sejak 5.00 pagi tadi dan setakat ini hanya sebuah pusat pemindahan dibuka.

“Banjir kilat ini berlaku akibat hujan lebat disebabkan oleh fenomena musim perantaraan monsun dan kesemua 100 kawasan yang terjejas berlaku dalam 47 kawasan hotspot yang dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran,” katanya kepada pemberita hari ini.

Katanya, jumlah air hujan turun selama lebih 4 jam dengan purata 100mm sejak awal pagi tadi dan air laut pasang dengan ketinggian 2.1 meter menyebabkan kelima-lima daerah di negeri ini dilanda banjir.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Phee Boon Poh berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berikutan bencana banjir dan hanya menerima laporan kejadian tanah runtuh di Jalan Empangan Air Itam dan Jalan Tun Sardon.

Sementara itu, di bahagian seberang hampir semua lokasi rendah dilanda banjir kilat antaranya Mak Mandin, Raja Uda, Seberang Jaya, Bukit Mertajam, Permatang Pauh, Perai dan Bukit Tengah serta beberapa sekolah di sekitar Butterworth.

Tinjauan Bernama mendapati lebih 200 rumah di kawasan terjejas banjir dinaiki air antara 0.5 meter hingga 1 meter namun sehingga 1.00 tengah hari tadi tiada pusat pemindahan banjir dibuka kerana orang ramai memilih untuk berada di rumah mereka.

Seorang mangsa banjir, Mohd Razak Awang, 45, berkata rumahnya di Permatang Rawa mula dinaiki air bermula 5.00 pagi selepas hujan lebat sejak awal pagi tadi dan beliau terpaksa mengambil cuti kerana bimbang banjir semakin teruk.

“Tiga anak saya yang bersekolah darjah 5 hingga tingkatan 4 juga tidak ke sekolah hari ini kerana kasut dan barangan untuk ke sekolah mereka juga habis basah terkena banjir kilat.
“Saya hanya sedar air telah masuk ke dalam rumah selepas isteri kejutkan daripada tidur, masa itu air sudah paras betis. Kami tidak sempat selamatkan apa-apa kerana air masuk begitu cepat,” katanya.
Sehingga 2.00 petang ini, hujan masih turun di sekitar Seberang Perai dan penduduk terlibat banjir juga dilihat mengambil langkah berjaga-jaga serta bersedia untuk dipindahkan jika keadaan semakin teruk.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahya yang ditemui dalam satu majlis di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Permatang Pauh berkata seramai 45 penduduk daripada 15 keluarga di Bukit Kechil, Balik Pulau terpaksa dipindahkan ke Surau Haji Hashim di kawasan itu.

Ahli Parlimen Balik Pulau berkata selain Bukit Kechil, beberapa kawasan lain di Parlimen itu turut dilanda banjir antaranya Sungai Pinang, Balik Pulau, Teluk Kumbar dan Teluk Bahang serta hampir 100 rumah dinaiki air.

“Semasa dalam perjalanan dari Balik Pulau ke UiTM Permatang Pauh pagi ini, saya turut tersangkut dalam kesesakan lebih sejam kerana banjir kilat serta kemalangan, malah di kawasan bukit untuk ke Paya Terubong air dari bukit di situ mencurah-curah.

“Ia bukan air bersih sebaliknya air tanah merah, kejadian banjir kilat itu juga dipercayai akibat banyak pokok-pokok di kawasan bukit telah ditebang untuk pembangunan. Saya harap kerajaan Pulau Pinang beri perhatian kerana banyak tebang pokok boleh akibatkan banjir di mana-mana,” katanya.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan