KUALA LUMPUR: Menteri-Menteri Luar negara Australia, Belgium,
Malaysia, Ukraine dan Belanda yang membentuk Pasukan Penyiasatan Bersama
(JIT), akan menandatangani dokumen berkaitan kes pesawat Boeing 777
MH17 di New York minggu depan.
Duta Besar Ukraine ke Malaysia Olexander Nechytaylo berkata majlis
menandatangani dokumen yang mentakrifkan langkah dan tindakan terperinci
semua negara itu akan diadakan di luar Persidangan Agung Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-72.
“Negara-negara terlibat komited mengambil langkah berkesan dan untuk
menyiasat. Ukraine dengan pasukan JIT masih bekerjasama rapat dan
dokumen itu akan menyatakan secara mendalam dan ia adalah satu daripada
pelbagai saluran lain yang sedang diusahakan,” kata Nechytaylo kepada
Bernama pada temu bual di ibu pejabat agensi berita baru ini.
Pesawat penerbangan Malaysia Airlines dari Amsterdam ke Kuala Lumpur
terhempas di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, mengorbankan semua 298
penumpang.
Penyiasat antarabangsa dipetik berkata, pesawat berkenaan ditembak jatuh oleh peluru berpandu BUK Rusia.
Siasatan diketuai Belanda yang rakyatnya paling ramai terkorban,
menumpukan kira-kira 100 orang disyaki “berperanan aktif” dalam insiden
itu, namun sehingga kini penyiasat tidak mendedahkan identiti suspek.
Mengulas lanjut, Nechytaylo berkata, dokumen berkenaan sebagai
susulan usaha Ukraine membawa pelaku ke muka pengadilan dan tuntutan
mahkamah terhadap Rusia yang difailkan awal tahun ini.
Dalam kes difailkan 16 Januari lepas, MH17 yang ditembak jatuh
dijadikan sebahagian prosiding oleh Ukraine di Mahkamah Keadilan
Antarabangsa (ICJ).
Beliau menambah, langkah itu bagi mempertanggungjawabkan Rusia
terhadap tindakan keganasan dan diskriminasi dalam pencerobohannya ke
atas Ukraine.
“Ia memang satu proses panjang dan pastinya mengambil masa. Cabaran
dihadapi sekarang, kita perlu mengumpul bukti kukuh yang akan diterima
di mahkamah.
“Bukan mudah untuk mendapatkan sabitan apatah lagi bangkai pesawat
paling banyak ditemui bukan di bawah kawalan kerajaan Ukraine,” kata
Nechytaylo merangkap duta besar Ukraine ke Filipina.
Tambah beliau, Ukraine dan Belanda akan menandatangani satu
memorandum pertukaran maklumat berkaitan nahas yang akan membantu
negaranya dalam tuntutan mahkamah ke atas Rusia.
Sebagaimana dilaporkan Agensi Berita Ukraine baru ini, pertukaran
maklumat itu membayangkan pendakwaan suspek adalah untuk kesemua 298
mangsa terkorban dalam nahas berkenaan, sekaligus memberi hak sama rata
kepada waris mangsa mengikuti proses perundangan di Belanda.
Pada Julai, pegawai Belanda mengumumkan perbicaraan terhadap suspek
yang ditahan berhubung insiden itu akan diadakan di Belanda, berdasarkan
keputusan secara kolektif negara terlibat.
Malaysia melalui Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai
mengalukan keputusan itu, mengatakan pendakwaan di Belanda akan
memastikan “kebertanggungjawaban piawaian antarabangsa dipatuhi”.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan