Oleh Zin Mahmud
Dengan kemasukan semula Tan Sri Muhammad Muhd Taib ke dalam Umno,
kini Pakatan Harapan (PH) hanya ada 2 ahli “Team Wawasan”, iaitu Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sementara Barisan Nasional (BN) mempunyai 4, iaitu Datuk Seri Najib
Razak, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Seri Siti Zaharah Sulaiman
dan Muhammad, atau Mat Taib.
Bagi mereka yang sudah lupa dengan Team Wawasan, perlu disebut bahawa
pasukan politik itu sudah tidak ada. Ia hanya terdapat dalam sejarah
kontemporari Umno.
Team Wawasan ditubuhkan pada 1993 menjelang pemilihan Umno. Ketika
itu Anwar dalam proses bertanding jawatan timbalan presiden Umno
sekaligus mencabar Tun Ghafar Baba.
Serentak itu, beliau menubuhkan pasukan politik dalaman Umno yang
terdiri daripada calon jawatan tinggi parti iaitu naib presiden termasuk
ketua Pemuda dan ketua Wanita.
Tujuan penubuhan Team Wawasan ini ialah untuk menggembleng penyokong
masing-masing bagi memberikan kemenangan calon yang menyertainya,
sekaligus menjadikan Anwar sebagai timbalan presiden Umno. Melihat Anwar
meraih pencalonan yang membolehkan beliau menang, Ghafar menarik diri
daripada pertandingan itu. Maka Anwar menang jawatan itu sebelum
pertandingan.
Team Wawasan sapu bersih
Nama Team Wawasan mengambil sempena Wawasan 2020 yang digagaskan Tun Dr Mahathir Mohamad, ketika itu presiden Umno.
Dari satu segi, ia menggambarkan hasrat pasukan politik itu mendokong
wawasan Dr Mahathir. Namun beliau dikatakan tidak senang dengan
penubuhan pasukan itu walaupun tidak menghalang manuver politik Anwar
itu.
Selepas pemilihan itu, nama Team Wawasan tidak disebut lagi,
berkemungkinan untuk memelihara perpaduan parti. Anggota Team Wawasan
yang lain masuk bertanding sebagai pasukan dan menyapu bersih semua
jawatan yang dipertandingkan.
Mat Taib ketika itu menteri besar Selangor, Najib pula menteri
pertahanan dan Muhyiddin, menteri besar Johor. Mereja menang jawatan
naib presiden, mengalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Tan Sri Sanusi
Junid.
Sementara Rahim menang jawatan Ketua Pemuda dan Siti Zaharah mengalahkan Tan Sri Rafidah Aziz bagi jawatan Ketua Wanita.
Team Wawasan ini tidak bertahan lama kerana pada 1994, Rahim terpaksa
melepaskan jawatan Ketua Menteri dan Ketua Pemuda. Bagi kalangan
pemerhati politik ketika itu, usaha menjatuhkan beliau dilakukan oleh
“orang Anwar” dengan beranggapan Rahim adalah “orang Mahathir”.
Tempat beliau digantikan Datuk Seri Mohd Zin Ghani sebagai ketua
menteri Melaka dan Datuk Seri Nazri Aziz sebagai pemangku Ketua Pemuda.
Dalam pemilihan Pemuda Umno tahun 1996, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
menang jawatan ketua. Beliau dianggap “orang Anwar.” Pemerhati politik
ketika itu melihat kejatuhan Rahim membawa kepada beliau turut
menyumbang kepada usaha menjatuhkan Anwar kemudiannya, apabila timbul
isu penerbitan buku “50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi Perdana
Menteri” pada tahun 1998.
Namun begitu, sebelum pergolakan itu berlaku, Mat Taib menjadi tokoh
kedua Team Wawasan yang tumbang. Beliau terpaksa melepaskan jawatan MB
Selangor pada 1997, digantikan Dr Khir Toyo.
Tumbangnya tokoh Team Wawasan
Akhirnya tokoh Team Wawasan paling utama, Anwar, yang tumbang.
Sebelum itu, beliau berusaha menentang presiden Umno, Dr Mahathir. Usaha
bermula dalam Perhimpunan Agung Umno pada 1998. Menurut rancangannya,
ia bermula dengan ucapan Zahid. Tidak lama selepas itu, Anwar dipecat,
dipenjarakan dan mempunyai parti sendiri iaitu Parti Keadilan Nasional.
Ahli Team Wawasan yang muncul sebagai pemimpin utama Umno selepas
ketiadaan Anwar ialah Najib, Mat Taib dan Muhyiddin. Dalam pemilihan
tahun 2000, ketiga-tiga pemimpin itu kekal sebagai naib presiden. Zahid
menjadi salah seorang ahli Majlis Tertinggi tetapi Siti Zaharah kalah
pada Rafidah.
Apabila Dr Mahathir melepaskan jawatan pada 2003, Abdullah menjadi
perdana menteri dan Najib sebagai timbalannya. Dalam pemilihan Umno
2004, Muhyiddin kekal naib presiden tetapi undi beliau adalah kurang
daripada 2 calon lain yang menang iaitu Tan Sri Isa Samad dan Tan Sri
Ali Rustam. Zahid kekal sebagai ahli Majlis Tertinggi. Mat Taib
terkeluar daripada menjadi naib presiden.
Apabila Barisan Alternatif dan DAP menafikan majoriti 2/3 BN pada
pilihan raya umum ke-12 pada 2008, Abdullah berundur dan Najib menjadi
perdana menteri. Dalam pemilihan parti 2009, Muhyiddin mengalahkan Mat
Taib bagi jawatan timbalan presiden. Naib presiden pula ialah Zahid,
Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Apdal.
Lompat 2 parti
Dalam pilihan raya umum 2013, Pakatan Rakyat dapat mengekalkan
kedudukannya dengan menafikan majoriti 2/3 kepada BN walaupun terlepas
negeri Kedah dan Perak.
Selepas pilihan raya itu, Mat Taib mengisytiharkan keluar Umno dan menyertai PAS, salah sebuah parti Pakatan Rakyat.
Ketika itu, saya hairan mengapa Mat Taib tidak menyertai PKR yang
merupakan parti bekas Umno. Namun begitu ada pemerhati politik sempat
menyebut kemungkinan ada agenda Anwar untuk menghidupkan Team Wawasan
pada pihak Pakatan Rakyat. Tetapi Team Wawasan hanya nostalgia para
pengikut Anwar yang menghimbau kenangan ketika mereka berada di puncak
kuasa ketika dalam Umno itu.
Apabila berlaku krisis dalaman PAS, Mat Taib kelihatan lebih banyak
bersama dengan golongan progresif yang kemudiannya membentuk Gabungan
Harapan Baru. Golongan ini mahukan PAS terus bekerjasama dengan DAP
dalam Pakatan Rakyat.
Tetapi apabila PAS berpecah pada 2015 dengan pendokong Harapan Baru
menubuhkan Amanah, didapati Mat Taib tidak bersama mereka. Walaupun
beliau meninggalkan PAS juga, tetapi Mat Taib tidak menyertai Amanah,
sebaliknya menyertai PKR. Seorang lagi bekas ahli politik Umno yang
menyertai PAS, kemudian kelihatan berada dalam golongan progresif tetapi
akhirnya menyertai PKR, dan bukan Amanah, ialah Datuk Kamaruddin
Jaafar.
Mat Taib tidak muncul dalam barisan pemimpin PKR, begitu juga ketika
Pakatan Harapan (PH) dilancarkan pada 2015 selepas Amanah ditubuhkan.
Ketika PPBM ditubuhkan dan menyertai PH, beliau juga tidak kelihatan dan
kedengaran.
Penyertaan PPBM ke dalam Pakatan Harapan membawa bersama presidennya,
Muhyiddin yang juga merupakan anggota Team Wawasan. Mat Taib tidak
kelihatan memberi sebarang sumbangan atau bantuan kepada PH. Tetapi
beliau ada menyatakan sokongan kepada Dr Mahathir dan PPBM.
Kembali berpengalaman?
Semalam, sebelum pengumuman Najib mengenai kemasukan semula Mat Taib
ke dalam Umno, sudah beredar spekulasi di kalangan netizen media sosial.
Apa yang disebut ialah kemasukan bekas MB Selangor. Maka dispekulasikan
bahawa bekas MB Selangor mestilah dimaksudkan sama ada Tan Sri Khalid
Ibrahim atau Mat Taib, atau kedua-duanya. Juga dispekulasikan Shafie
turut kembali kepada Umno.
Apakah agaknya peranan Mat Taib dalam BN menjelang pilihan raya ke-14
ini? Mungkin beliau pasif seperti ketika dalam PKR dan PAS. Tetapi
kalau beliau memainkan peranan, maka tumpuannya dapat dijangka adalah
terhadap Selangor.
Sebagai bekas MB dan bekas pengerusi Umno Selangor, dan berpengalaman
sebagai anggota PAS, Mat Taib boleh memberi sumbangan kepada usaha Umno
untuk merampas kembali Selangor.
Kali ini ada peluang besar untuk BN memenangi Selangor kerana akan
berlaku pertandingan 3 penjuru: PH, BN dan PAS. Mungkin kedudukan DAP
tidak tergugat tetapi MCA, Gerakan dan MIC tidak akan duduk diam. PKR
pula ada perselisihan dalaman mengenai kerjasama dengan PAS.
Bekas MB PKR, Khalid juga mungkin tidak duduk diam. Beliau boleh
bersama PAS atau Umno.
Sementara Amanah yang gagal memenangi pilihan
raya kecil Sungai Besar dahulu belum mantap untuk bertapak bagi
mendahului PAS. Selangor pula bukanlah negeri utama bagi PPBM.
Kerjasama Umno dan PAS adalah suatu kemungkinan. Dalam pilihan raya
2008, ada kalangan PAS yang bersedia berunding dengan Umno dan
seterusnya boleh menggagalkan penubuhan kerajaan Barisan Alternatif dan
DAP.
Tetapi mungkin juga Mat Taib akan membawa beberapa orang PKR kembali ke dalam Umno.
Mungkin juga sememangnya dari awal lagi iaitu ketika Mat Taib
menyertai PAS, beliau sudah lama merancang untuk membawa Selangor
kembali kepada BN. Mungkin dari awal penggugurannya dari Kabinet adalah
untuk misi ini. Duduk bersama PAS, berbaik dengan Amanah dan kemudian
memasuki PKR dan kemudian kembali kepada BN berbekalkan aset strategik
bagi merampas Selangor.
Pemimpin Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengalu-alukan kembalinya
Mat Taib dan akan berbincang mengenai peranan beliau dalam jentera
parti.
Semuanya berjalan lancar bagi Najib. Beliau pernah berjaya merampas
kembali Perak dan Kedah, sekarang ini ialah giliran Selangor.
Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan