BN kena usaha keras menangi undi Cina

Oleh

SATU kaji selidik terbaru mengenai persepsi anak muda mendedahkan rasa tidak puas hati masih menebal dalam kalangan pengundi muda etnik Cina terhadap kerajaan, sekaligus menyukarkan Barisan Nasional (BN) dalam usaha meyakinkan dan meraih undi kumpulan itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.

Kajian Merdeka Center itu mendapati anak muda Cina mencatatkan peratusan tidak puas hati tertinggi terhadap enam soalan kajian mengenai prestasi kerajaan yang memerintah.

Pengarahnya, Ibrahim Sufian berkata pengundi muda Cina menilai politik berdasarkan prestasi kerjaan sekaligus meningkatkan perasaan tidak berpuas hati dalam kalangan mereka.

Mereka menduduki tangga teratas iaitu sebanyak 78%, dalam soal tidak puas hati dengan kerajaan, berbanding 65% bagi anak muda India dan Melayu 64%.

Dalam aspek hala tuju negara pula, 67% anak muda Cina merasakan kerajaan sekarang berada di landasan yang salah, mengatasi anak muda etnik India (60%) dan Melayu (54%).

Kaji selidik ini melibatkan 604 responden di seluruh negara merangkumi 68% anak muda Melayu, 23% Cina dan 9% India, dari 165 kawasan Parlimen di Semenanjung Malaysia, termasuk kira-kira 40% yang belum mendaftar mengundi.

Mereka berumur antara 21 hingga 30 tahun.

Dalam kaji selidik itu juga, hampir 8 daripada 10 anak muda Cina yang terlibat tidak berpuas hati dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan tahap keselamatan, berbanding anak muda India (47%) dan Melayu (32%).

Aspek lain yang dirasakan mereka masih belum ditangani dengan baik oleh kerajaan adalah mengekalkan kedamaian etnik. 60% anak muda Cina tidak berpuas hati manakala anak muda India 35% dan Melayu 26%.

Mengenai usaha mengurangkan rasuah, 84% anak muda Cina kecewa dengan usaha kerajaan membanteras rasuah berbanding 67% anak muda India dan Melayu 65%.

Manakala, dalam aspek pembangunan infrastruktur pula, 45% anak muda Cina merasakan ia masih tidak memadai manakala anak muda India 25% dan Melayu 17%.

Lima isu utama yang menjadi kebimbangan anak muda Cina berdasarkan turutan ialah inflasi, rasuah, jenayah, ketidakstabilan politik dan hubungan kaum yang memburuk. Antara isu yang mereka tidak peduli termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dakwaan integriti Perdana Menteri Najib Razak, pengangkutan awam dan paling tidak mereka peduli, pelaksanaan hudud
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan