Oleh Anifah Aman
TEMA
UNGA ke-72 tahun ini “Memfokus kepada Rakyat: Berusaha Untuk Mencapai
Keamanan dan Kehidupan Yang Baik untuk Semua di Dunia yang Mampan”
adalah yang paling relevan dan tepat pada masanya. Semua negara kini
sedang bekerja secara kolektif dan individu untuk mencapai kesemua 17
Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030. Perjalanan ini bukan
sembarangan, tetapi penuh dengan cabaran.
Atas dasar ini, Malaysia sentiasa
memberi fokus kepada agenda pembangunan seperti yang dijanjikan.
Pembangunan mampan adalah merupakan pendekatan pembangunan Malaysia
sejak tahun 1970-an. Pada tahun 2009, kerajaan Malaysia melancarkan
Model Ekonomi Baru, yang mempunyai tiga matlamat baru: untuk mencapai
pendapatan tinggi, secara inklusif dan mampan. Usaha-usaha ini selari
dengan tiga komponen Agenda 2030 iaitu pertumbuhan ekonomi, keperluan
sosial dan perlindungan alam sekitar.
Pada awal minggu ini, Malaysia menyertai negara
anggota lain dalam menandatangani Triti Mengenai Pengharaman Senjata
Nuklear. Kami yakin bahawa kesan politik dan undang-undang terhadap
perjanjian ini akan mengarahkan komuniti antarabangsa secara kolektif
ke arah dunia bebas senjata nuklear.
Dalam
hal ini, Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya ujian-ujian peluru berpandu
nuklear yang dijalankan oleh Korea Utara (DPRK) yang boleh menjejaskan
usaha global dalam perlucutan senjata nuklear. Malaysia menyeru agar
DPRK menghentikan serta-merta ujian peluru berpandu nuklear ini dan
menamatkan program nuklear tersebut.
Malaysia
juga berpendapat bahawa dunia kini sedang menghadapi beberapa ancaman
keselamatan yang berpunca daripada migrasi secara haram dan jenayah
rentas sempadan. Antaranya adalah ancaman pengganas, pemerdagangan
manusia, pengedaran dadah, pengubahan wang secara haram dan jenayah
siber.
Malangnya, tatkala kita menumpukan
perhatian terhadap keamanan dan peningkatan kualiti hidup manusia
sejagat, masih terdapat kumpulan manusia yang sedang menghadapi
kesengsaraan hidup akibat jenayah kemanusiaan yang berleluasa.
Sejak
beberapa minggu lalu, kita telah menyaksikan berulangnya kejadian
keganasan yang dilakukan oleh kumpulan militia Rohingya yang terhimpit
akibat penindasan di wilayah Rakhine. Akibatnya, pihak bersenjata
Myanmar telah bertindak balas dengan melancarkan ‘operasi pembersihan’
secara besar-besaran. Operasi kejam ini telah meragut ribuan nyawa
orang awam dan menyebabkan seramai lebih 400,000 etnik Rohingya lari
meninggalkan rumah mereka. Kekejaman terhadap kumpulan etnik ini adalah
merupakan perkara yang dipandang amat berat oleh Malaysia dan
masyarakat antarabangsa. Kekejaman ini juga telah mengakibatkan satu
krisis kemanusiaan yang besar yang mewajibkan masyarakat dunia untuk
bertindak.
Sekiranya keadaan ini tidak
ditangani secara adil dan segera, kumpulan Rohingya ini akan cenderung
untuk menjadi sasaran direkrut oleh kumpulan ekstremis. Kekecewaan dan
kemarahan yang berpanjangan akan menjadi faktor pendorong kepada mereka
untuk memilih jalan keganasan.
Walaupun
kerajaan Myanmar telah berkali-kali berjanji untuk menangani isu ini,
insiden kekejaman baru-baru ini telah gagal meyakinkan kita bahawa
usaha-usaha tersebut adalah berkesan. Kerajaan Myanmar tidak dapat
tidak, adalah wajib untuk melindungi etnik Rohingya ini terus menjadi
mangsa kekejaman.
Oleh yang demikian, saya
menyeru kerajaan Myanmar untuk menamatkan operasi kekejaman,
menghentikan kemusnahan ke atas nyawa dan harta benda etnik Rohingya dan
membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa sebarang sekatan
serta-merta.
Saya ingin mengambil kesempatan
untuk memuji tindakan Bangladesh untuk menerima hampir setengah juta
pelarian Rohingya semenjak tiga minggu lalu. Perlindungan yang
diberikan kepada pelarian berjumlah sebesar ini sememangnya akan
membebankan mana-mana negara. Malaysia, di atas dasar kemanusiaan telah
turut membantu dengan menghantar bantuan ke Bangladesh pada 9 September
2017 yang lalu dan lebih banyak lagi akan menyusul.
Kegagalan
mencari penyelesaian secara kolektif terhadap isu Palestin tidak dapat
diterima.
Pendudukan Israel di Wilayah Palestin telah memasuki tahun
ke-50. Usaha untuk mencari penyelesaian yang adil dan kekal ke atas
persoalan Palestin perlu dipergiatkan. Malaysia menegaskan bahawa
sebarang tindakan oleh Israel, termasuk tindakan undang-undang, kuasa
atau pentadbiran ke atas Baitulmaqdis adalah menyalahi undang-undang.
Malaysia
amat kecewa dengan kemerosotan prospek pelaksanaan penyelesaian dua
negara secara damai akibat daripada aktiviti penempatan haram Israel
yang terus berleluasa. Pelaksanaan Resolusi 2334 yang diterimapakai oleh
Majlis Keselamatan PBB pada 23 Disember 2016 masih gagal menjadi
kenyataan. Dalam hal ini, Malaysia mengulangi sokongannya terhadap
kerja-kerja Committee on the Exercise of the Inalienable Rights of the
Palestinian People serta pendekatan proaktif bagi laporan suku tahunan
Setiausaha Agung PBB terhadap pelaksanaan resolusi tersebut. Malaysia
menggesa masyarakat antarabangsa khususnya negara-negara anggota untuk
mengekalkan prinsip yang teguh dalam usaha ini. Sekiranya resolusi ini
tidak dilaksanakan sepenuhnya, kita sebenarnya menghancurkan harapan
untuk mencapai penyelesaian dua negara.
Malaysia
akan terus menyokong kerja-kerja Badan Bantuan dan Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Sebelah Timur (UNRWA).
Nasib lima juta pelarian Palestin yang berdaftar tidak boleh diabaikan.
Memandangkan keadaan kewangan UNRWA yang lemah, kami menggesa komuniti
antarabangsa untuk mengukuhkan komitmennya dalam menyediakan bantuan
kewangan dan bantuan lain yang berkaitan dengan UNRWA.
Dalam
perjuangan kita menentang keganasan ekstremisme, Malaysia ingin
mengulangi ketetapan untuk menggunakan pendekatan kesederhanaan dalam
menyekat penyebaran ekstremisme dan radikalisasi.
Sehubungan
itu, Malaysia ingin menyatakan semula seruannya agar Pergerakan
Kesederhanaan Global yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Najib Razak
pada tahun 2010 iaitu memadamkan api kebencian dan membendung antara
lain pengaruh idea-idea ekstrem dan tidak bertoleransi, xenophobia dan
perkauman.
Adalah penting bagi masyarakat
berbilang kaum, agama dan budaya untuk bersatu dalam mencari aspirasi
damai dan meraikan kepelbagaian daripada terpengaruh dengan perangkap
ekstremis.
Oleh itu, Malaysia berharap dapat
membawa inisiatif Pergerakan Kesederhanaan Global ke Pertubuhan Bangsa
Bangsa Bersatu melalui Resolusi PBB pada sidang kali ini bagi
menenggelamkan suara-suara menyanjung ekstremisme yang menanam benih
kebencian dalam kalangan masyarakat kita.
Izinkan
saya memberi jaminan kepada anda sokongan dan komitmen berterusan
Malaysia kepada pelaksanaan agenda PBB dan kerja-kerja di bawah naungan
Perhimpunan Agung PBB.
Sekian, terima kasih.
Datuk Seri Anifah Aman
ialah Menteri Luar
0 comments:
Catat Ulasan