Satu lagi bahasa diplomasi untuk menyedapkan telinga muncul lagi baru-baru ini iaitu ‘PH Kekal Utuh’ dalam suasana perang dingin sudah mula berlaku antara PKR dengan DAP dan Amanah akibat perbezaan pandangan mengenai calon PM.
Dalam sejarah politik Malaysia, tidak pernah ada parti tunggal yang mampu menjadi pembangkang apatah lagi kerajaan yang berjaya. Jadi imaginasi-imaginasi ingin keluar atau berdiri sendirian daripada gabungan, patut segera dihentikan kerana ianya sia-sia belaka.
Realiti baharu juga harus kita terima bahawa baik Tun Dr Mahathir Mohamad mahupun Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka semakin tidak popular di kalangan rakyat khususnya generasi muda.
Anwar sudah diberi peluang mengetuai pimpinan sejak 2008 dan 2013, tetapi masih gagal menjadi Perdana Menteri dan menjadi kerajaan.
Begitu juga dengan Dr Mahathir, beliau juga sudah diberi peluang dan diangkat oleh PH termasuk Anwar untuk menjadi PM kali kedua tetapi tidak berjaya mengekalkan PH sebagai kerajaan walau sepenggal, malah transisi kuasa kepada Anwar juga gagal.
Ini bukan salah Dr Mahathir atau Anwar, tetapi salah kita semua. Kita tidak berupaya melepaskan kedua-dua tokoh ini dalam persaingan politik kita.
Kita gagal membina naratif baharu hingga kita tersepit dalam masalah kepimpinan yang tidak berkesudahan.
Kita bercita-cita mahu menyediakan barisan pemimpin pelapis negara pada masa hadapan.
Tetapi selepas 20 tahun sejak reformasi 1998, kita masih tidak berani melepaskan Dr Mahathir dan Anwar malah, sebaliknya kedua-dua tokoh ini kita gunakan sebagai ‘ayam sabung’ untuk menumbangkan kerajaan kleptokrasi.
Maka, terpaksalah kita akur dengan pengajaran paling besar daripada kegagalan ini bahawa kita harus menanggung dan menerima kekalahan.
* Mahdzir Ibrahim adalah pembaca ProjekMM.
0 comments:
Catat Ulasan