Oleh N Faizal Ghazali
Bau sayur, ikan, beras dan kuih-muih yang bersatu dalam Pasar Siti
Khadijah masih sama seperti selalu. Ia adalah bau yang mesra pada deria
peraih, peniaga dan rakyat.
Sibuk peniaga di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, geger ayam itik lembu
kerbau atau bola di kedai kopi, sesak di jalan stadium dan keluar-masuk
orang dari Golok ke Rantau Panjang atau sebaliknya juga tidak banyak
berubah.
Namun, landskap politik negeri Cik Siti Wan Kembang ada hiruk-pikuk
tersendiri mengiring rutin golongan marhaen yang masih mewarnai
sebahagian penduduknya.
Perkembangan terkini negeri ini adalah dalam fasa peralihan pascapemergian bekas menteri besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Tanggal 12 Februari 2015 pastinya meninggalkan kesan mendalam buat rakyat Kelantan yang kehilangan seorang murabi tercinta.
Tokoh
yang menabur segala kudrat untuk Kelantan dengan begitu banyak ilmu
agama dicurahkan pada setiap kesempatan yang ada, dan berwawasan menjaga
pertadbiran negeri. Sentuhan itu tiada galang gantinya.
Walaupun PAS berjaya mengekalkan pentadbirannya di Kelantan pada
pilihan raya umum (PRU) lalu, menjelang detik mengundi akan datang
situasinya bakal berbeza.
Perkembangan politik Malaysia khususnya mutakhir ini tidak dapat
memisahkan Kelantan daripada menerima tempias sama ada dalam skala
suam-suam kuku, hangat pijar atau sejuk membeku sekalipun.
Mata dan telinga pemerhati tidak akan terlepas pandang untuk
menjadikan Kelantan sebagai kayu ukur, khususnya sebagai satu-satunya
negeri yang berjaya mempertahan pemerintahan PAS.
PAS adalah buah hati majoriti anak jati tanah serendah sekebun bunga
ini yang dibuktikan saban pilihan raya sejak lebih 20 tahun lalu.
Dan kini, waktu untuk menguji ketahanan PAS sebagai pemerintah negeri
yang bersih daripada kedai mesin judi, rumah urut, jualan arak di kedai
serbaneka, dan pelbagai lagi punca penyakit sosial kembali lagi.
Bukan segala-gala unsur itu tidak ada secara mutlak, tetapi wujudnya
terlindung, atau dalam bahasa mudah aktiviti tidak sihat itu tidak
berlaku secara terbuka.
PAS Kelantan sentiasa kuat
Kita sedia maklum, PAS secara umumnya kini bersendirian selepas
keluar dari Pakatan Rakyat dan tidak menyertai Pakatan Harapan
(HARAPAN). Dan wujudnya perpecahan dengan tertubuh Parti Amanah Negara
(AMANAH) sedikit sebanyak memberi kesan kepada parti itu sendiri.
Di Kelantan, PAS dilihat sudah tentu mahu mengekalkan penguasaan
mereka walau apa jua situasi yang berlaku di peringkat nasional.
Mustahil untuk parti itu melepas 'anak butir' mereka pada PRU ke-14
kelak.
PAS Kelantan masih kuat walaupun sedikit sebanyak terkesan dengan kewujudan AMANAH khususnya.
Sayangnya,
jika dilihat momentum pentadbiran PAS selepas PRU ke-13 lalu, tiada
pencapaian yang besar dan boleh dibanggakan dalam aspek pembangunan
ekonomi, infrastruktur awam, sosial dan seumpamanya.
Atau mungkinkah Kelantan menerima projek-projek pelaburan impak tinggi yang tidak didedah secara umum?
PAS secara holistik mentadbir Kelantan dengan meneruskan rangka sedia
ada yang ditinggalkan daripada hasil tangan Nik Abdul Aziz.
Tidak dapat dipastikan setakat sebab-musababnya. Mungkinkah mereka
kekeringan idea? Atau kering kantung selain mengharap belas ihsan
kerajaan persekutuan dan syarikat-syarikat swasta yang pastinya
mengutamakan keuntungan.
Kenyataan itu mungkin dipandang sebagai 'bias' yang boleh disangkal, namun hakikatnya sukar ditolak.
Dalam politik PAS, mereka yakin parti itu akan tetap bertakhta di
hati pengundi Kelantan yang sentiasa mahukan sentuhan syurgawi, dan
menolak pelampau duniawi.
Bagi PAS di situlah kekuatan mereka yang berjaya dipupuk secara tradisi.
Sentuhan halus AMANAH
Sementara itu, parti AMANAH yang lahir daripada serpihan PAS menjadikan Kelantan sebagai tumpuan utama mereka.
Setakat ini keberadaan dan pengaruh AMANAH di Kelantan masih kabur.
Terlalu awal untuk memberi jangkaan mudah betapa mereka dapat menawan
hati pengundi negeri ini.
Bukan tidak ada, tetapi ia terlalu subjektif. Lawan terkuat kepada
PAS Kelantan masih lagi Umno. AMANAH hanya hal kecil yang mungkin tidak
perlu terlalu berada dalam khayalan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi
Awang itu.
Namun, PAS sendiri perlu ingat bahawa AMANAH akan bergerak sebagai
entiti dalam HARAPAN. Justeru, pengundi mungkin tidak menilai AMANAH
semata-mata sebaliknya membuka mata terhadap gabungan HARAPAN itu
sendiri.
PAS tidak boleh terlalu sedap duduk di tempat sekarang kerana AMANAH
bakal menjadi ancaman dan membuka peluang kepada Umno untuk meraih
kelebihan undi jika berlaku pertandingan tiga penjuru.
Tidak mustahil keadaan itu berlaku jika pecahan undi antara PAS dan AMANAH atau mana-mana parti kompenan HARAPAN terlalu ketara.
Cap bunga yang melankolik
Dalam wacana kedai kopi rakyat kebanyakan di negeri ini, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah paling tidak popular.
Di kalangan penyokong PAS dan Umno, BERSATU digelar sebagai 'parti cap bunga' yang pengaruhnya belum mengancam.
Ramai orang bercakap mengenai pendirian politik Pengerusi BERSATU,
Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi tidak banyak yang menyentuh BERSATU itu
sendiri.
Sama seperti AMANAH, nasib BERSATU dicanang musuh sebagai tempat bersila orang-orang kecewa atau berkepentingan peribadi.
Kekuatan BERSATU di Kelantan juga tidak jelas, pengaruhnya subjektif
dan dampaknya hanya boleh dilihat bertenaga melalui HARAPAN.
Mereka diyakini akan memberi tumpuan terhadap kawasan-kawasan yang dimenangi Umno dengan majoriti tipis dalam PRU lalu.
Bagaimanapun, gerak kerja BERSATU agak melankolik dengan kekuatan
jentera yang terhad. Mereka pastinya bersandar pada pengaruh HARAPAN dan
Dr Mahathir selaku pengerusi parti.
PKR Kelantan tersepit
"JKR (Jabatan Kerja Raya) lebih kuat berbanding PKR Kelantan" - itu
antara ayat gurauan yang keluar dari mulut sesetengah peminat politik
tempatan apabila ditanya kesediaan parti itu menjelang PRU ke-14.
Isu perundingan antara PKR dan PAS di Kelantan yang hangat
diperbincangkan kini memperlihatkan betapa PKR mencari jalan lebih
selamat.
Sekiranya ada persetujuan antara kedua-dua parti itu kemungkinan
besar PAS akan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding tanpa
pertembungan tiga penjuru.
PKR Kelantan dilihat tersepit dengan kemelut dalaman parti di
peringkat pusat. Putusnya tahaluf siyasi antara PKR dan PAS nampaknya
belum benar-benar berlaku apabila masih ada sesetengah pimpinan parti
itu yang berpendirian untuk masih bergantung pada PAS.
Namun, PKR Kelantan pastinya mahu kekalkan kerusi yang dimenangi
mereka pada PRU lalu sama ada melalui pembahagian kerusi antara kompenan
HARAPAN atau kaedah perundingan dengan PAS.
Secara keseluruhannya, Kelantan dilihat bakal menempuh satu arus
politik baru selepas terkuburnya Pakatan Rakyat dan PAS memilih jalan
membentuk Gagasan Sejahtera.
PAS bakal menghadapi cabaran hebat. Jika usaha mengekalkan
pentadbiran Kelantan pun dirasakan sudah mencabar, bagaimana pula usaha
mereka untuk memperluaskan pengaruh di negeri-negeri lain agaknya.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan