Oleh
Amran Ahmad Nor
Pada Pilihan Raya Umum ke-13, BN bertembung dengan Pakatan Rakyat
yang terdiri daripada tiga parti politik - PKR, PAS dan DAP dengan
teraju utama, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menguasai 52 peratus undi
rakyat Malaysia.
Dalam masa beberapa bulan lagi, BN akan bertembung pula dengan
Pakatan Harapan (HARAPAN) yang dianggotai empat parti politik yakni
BERSATU, PKR, AMANAH dan DAP dengan teraju utama Tun Dr Mahathir Mohamad
dalam PRU14.
Bezanya pada PRU kali ini, pakatan pembangkang tidak disertai oleh
PAS setelah Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama lima panglima 'tembikai'
parti Islam itu memutuskan untuk tidak sertai HARAPAN pada PRU14.
Bagaimanapun,
'kehilangan' PAS dalam pakatan pembangkang telah digantikan dengan
BERSATU dan AMANAH. Maknanya, hilang satu, dapat ganti dua.
Dengan perkembangan semasa itu, rakyat tertanya-tanya potensi
pembangkang untuk mengambil alih Putrajaya setelah PAS tidak mahu
bersepakat dalam pakatan pembangkang seperti yang ditunjukkan pada
PRU13.
Kalau menurut kajian Institut Darul Ehsan (IDE), HARAPAN jika
bersepakat dengan PAS boleh menang besar sehingga menguasai tujuh negeri
iaitu Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kedah, Perak, Pahang dan
Melaka.
'Pengebom berani mati'
Namun, PAS tetap tidak mahu untuk bekerjasama atas apa jua alasan, dan bagi PAS ia tidak mengapa atau 'takpa' kata orang utara.
Takpa - kerana PAS diramal mengalami banyak kekalahan dan gagal untuk
mempertahankan 21 kawasan daripada 73 kerusi yang ditandinginya pada
PRU13.
Menurut congakan Ketua Anggota Parlimen DAP, Lim Kit Siang, PAS
sanggup membiarkan calon-calon parti itu menjadi 'pengebom berani mati'
dengan harapan dapat memenangkan BN dalam pertembungan tiga penjuru.
Takpa
- kerana jika dibandingkan aura Mahathir dan Abdul Hadi yang pernah
menuturkan amanat beliau pada 1981, boleh dikatakan Mahathir lebih
hebat.
Walaupun dikatakan pakatan pembangkang tidak lagi mendapat undi PAS,
namun aura Mahathir masih mampu untuk menawan undi ahli-ahli Umno untuk
mengundi HARAPAN.
Logiknya bernas, atas sebab Mahathir mempunyai pengalaman dan
kepakaran tersendiri dalam menumbangkan ramai perdana menteri - terbaru
Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi PRU12.
Teori RAHMAN
Jika diimbas kembali teori RAHMAN yang menyebut bahawa Datuk Seri
Najib Razak adalah perdana menteri terakhir dari Umno, kita juga harus
ingat bahawa Mahathir jugalah individu yang membunuh karier politik
Tunku Abdul Rahman.
Pada PRU14, Mahathir tanpa paksaan mana-mana pihak sudi untuk
menyertai pakatan pembangkang untuk menumbangkan Najib sekali gus
mengakhiri pemerintahan BN selama berdekad-dekad lamanya.
Jadi, kali ini, Mahathir juga akan menamatkan teori tersebut yang
benar-benar terjadi selepas hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang
disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri selepas Mahathir, tidak
kesampaian.
Seakan
menuruti teori RAHMAN, Mahathir mengangkat seorang lagi pemimpin Umno
yang namanya bermula dengan huruf A iaitu Abdullah selepas menyingkirkan
Anwar.
Abdullah pula, seakan-akan 'terasuk' untuk mengikuti teori tersebut,
bertindak menyerahkan jawatan nombor satu negara itu pada pemimpin Umno
yang namanya bermula dengan huruf N iaitu Najib.
Sama ada mahu percaya atau tidak, teori RAHMAN telah menjadi nyata
dan jika ia terus berlaku, nama perdana menteri terakhir dari Umno akan
bermula dengan huruf N. Semua orang tahu siapa beliau.
Justeru, Mahathir mungkin menjadi individu yang melengkapkan teori
RAHMAN kerana beliau jugalah individu yang menumbangkan kerjaya politik
bapa kemerdekaan tersebut.
Amanat Dr M
Faktor atau amanat Mahathir, menjelang PRU14 agar tumbangkan Najib
dan BN bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan. Antara amanat
Mahathir yang dinyatakan dalam bentuk sajak sebelum ini ialah :
Aku tidak perlu apa-apa kekayaan
Aku mengerti umurku yang tua
menunggu masa bertemu Ilahi
Aku boleh selesa diam tidak bersuara
Supaya dijulang dan diangkat oleh mereka
Sepanjang nafas dan usia
Tetapi aku harus bersuara di akhir hayat
Tanpa meminta apa-apa untuk diriku
Malah tidak mengapa aku dihina dan dicerca
Semuanya kerana mataku melihat kemusnahan
oleh pemimpin di puncak kuasa
Yang rakus dan boros tidak terhalang
Menabur rasuah dan membeli orang
Pada mata tuaku
Aku melihat hutang berbilion
yang akan dibayar oleh cucu dan cicit rakyat
Aku melihat wang dipinjam hari ini
seperti tiada lagi hari esok
Semuanya
untuk membeli segala undi
untuk membeli segala kuasa
Pada senja hayatku
Aku melihat apa yang dibina berdekad lama
Dimusnahkan dengan wang
yang bukan miliknya
Dia menghidangkan wang haram untuk semua memujanya
Dia menjanjikan bulan dan bintang kepada semua tanpa mengira harga yang perlu dibayar
oleh cucu cicit kita setelah dia tiada lagi bernafas
Segala wang haram
Disamun, dirompak dan dipinjam secara halus
Untuk dibayar oleh rakyat
Wang haram diselerakkan untuk suap dedak mereka yang tiada lagi nilai dan hormat diri
Mereka menjual negara
Mereka menjual diri
Mereka menjual maruah
Mereka menjual agama
Aku tidak dapat melakukan semua
Namun pada yang muda kusematkan harap
Untuk membetulkan Malaysia
Dengan bersama, BERSATU, berganding
Supaya ia tidak tenggelam
Dengan tangan kotor
Dan harganya dibayar
Oleh cucu dan cicit kita
Selain itu, Mahathir juga pernah berkata :
"Kita setia kalau parti itu jalankan tugasnya dengan baik, Umno tidak
lagi dipimpin oleh pemimpin yang berwibawa, dipimpin oleh pemimpin yang
dikenali oleh seluruh dunia.
"Umno kini tidak lagi perjuangkan rakyat, hanya perjuangkan Najib.
"Kalau nak lawan Umno, kena lawan dari segi semangat kerana semangat ini tak boleh dijual beli.
"Kalau kita sayang negara kita, kita sayang masa depan anak cucu
kita, kita mesti kuat semangat untuk lawan Umno, kuat semangat untuk
selamatkan negara kita, saya dah tua, esok lusa mati dah...", kata
Mahathir.
Dengan
jangkaan berlakunya peralihan 10 peratus undi Melayu dan 5 peratus undi
bukan Melayu daripada BN kepada HARAPAN, Malaysia mampu mengalami
tsunami Melayu pada PRU14.
Ini kerana, pengundi berbangsa Melayu termasuk dalam kalangan ahli-ahli Umno akan memberikan sokongan kepada Mahathir.
Penyokong PAS sebelum ini yang tetap menyokong Abdul Hadi tetapi
mempercayai pelakuan Najib dalam skandal 1MDB mungkin tidak akan keluar
mengundi.
Trend undi Cina, India
Para pengundi berbangsa Cina dan India pula akan terus memberikan
undi mereka kepada HARAPAN atas sebab terlalu bencikan isu 1MDB,
pendedahan Jabatan Keadilan (DOJ) selepas ini selain menghargai rekod
pentadbiran Pulau Pinang dan Selangor selepas 2008.
Bak kata Kit Siang baru-baru ini, jika gandingan 3M iaitu Mahathir,
Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz tidak mampu mencetuskan
tsunami Melayu pada PRU14, maka tiada sesiapa lagi yang boleh
melakukannya.
Apapun, sama ada BN mahupun HARAPAN, kedua-dua gabungan sedang
bersiap dengan 'peluru' masing-masing untuk dihamburkan pada PRU14, sama
ada tsunami Melayu buat parti Najib atau pakatan Mahathir.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan