Oleh
HAYAR HASSAN
Mutakhir ini, kelihatannya Pakatan Harapan(PH) lebih bersedia dan lebih bersemangat untuk menghadapi PRU ke 14. Terbaru dengan perlantikan jawatan-jawatan Pengerusi PH untuk semua negeri memberikan signal kepada pengundi dan semua rakyat Negara tercinta ini bahawa PH mampu dan cukup bersedia untuk mencipta sejarah baru bagi Malaysia selepas PRU ke 14 ! Dalam bahasa mudah PH sebenarnya cukup mampu mengambil alih tampok pemerintahan Putrajaya seandainya majoriti pengundi-pengundi memberikan mandat kepada PH.
Terbaru, PH memperlihatkan bahawa pimpinan PH benar-benar dapat merealisasikan konsep kepimpinan secara konsensus, walau pun ianya suatu yang baru. Saya amat teruja apabila pimpinan PH dapat menghayati dan menterjemahkan kesepakatan mereka dalam membuat keputusan terhadap teraju pimpinan PH peringkat negeri. Percaya lah bahawa ini adalah satu lagi kejutan buat UMNO/BN ! Lazimnya dalam BN, hampir semua Pengerusi BN negeri akan dipegang oleh pemimpin UMNO, menepati konsep kepimpinan Abang Long.
Dengan berbekalkan formula 4-4-3-3, perlantikan Pengerusi PH Negeri telah dapat dibuat dengan cukup baik dan melegakan semua parti-parti komponen dalam PH. Pastinya semua ahli-ahli parti dalam PH akan berpuas hati. Semua parti-parti dalam PH jelas mendapat layanan yang hampir adil dan sama rata. Itulah suatu perkara yang baru dan unik yang ingin saya huraikan.
Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM@BERSATU) dan Parti Keadilan Rakyat(PKR) telah masing-masing diberikan mandat untuk menerajui PH untuk empat buah buah negeri. Parti Amanah Negara(Amanah) dan Democratic Action Parti(DAP) pula masing-masing diberikan mandat untuk menerajui tiga buah negeri. Oleh yang demikian, pintu telah tertutup rapat buat PAS untuk bergabung atau pun bekerjasama dengan PH !
Dengan struktur yang ada PH boleh terus menumpukan perhatian terhadap persedian menghadapi PRU ke 14 ! Untuk waktu ini, lupakan lah sahaja PAS. Masakan PAS mahu lagi bergabung dalam PH. Mereka telah lama menyatakan bahawa kalau mahu PAS bergabung dengan lain-lain parti-parti pembangkang, PAS hendaklah lebih dominan, lebih disanjungi dan tidak boleh dikritik. Lain-lain parti perlu mengikut telunjuk PAS yang sudah cukup matang dan lama dalam berpolitik di Malaysia. Seperti UMNO, PAS juga cukup teruja untuk terus menjadi Abang Long !
Satu lagi perkara yang cukup menarik untuk diperbincangkan adalah kesediaan PPBM@BERSATU menerima jawatan Pengerusi PH untuk negeri-negeri yang dikatakan menjadi kubu kuat UMNO/BN, walau pun PPBM@BERSATU adalah parti yang termuda sekali dari sudut usia penubuhannya dengan parti-parti lain! Kesediaan Tun Dr Mahathir Mohamad dan lain-lain pemimpin dalam PPBM@BERSATU untuk mengambil tugas-tugas berat itu adalah suatu yang cukup baik dan wajar kita sanjungi. Apa pun yang pastinya , semua pimpinan dalam PH akan bekerja dalam satu pasukan yang cukup mantap, berbekalkan rasa hormat menghormati dan bahu membahu antara satu dengan lain.
Jelas sekali bahawa PH mahu Amanah mengambil alih peranan PAS sewaktu Pakatan Rakyat menyertai PRU ke 13 dahulu. Amanah yang menawarkan konsep perjuangan Islam Rahmatan Lilalamin pastinya akan lebih menumpukan gerakkerja dan fokus terhadap memenangi lebih banyak kerusi-kerusi Parlimen dan DUN di Kelantan, Terengganu dan Melaka.
Melihat kepada perkembangan terbaru yang amat positif ini dalam PH, sewajarnya YAB Dato’Seri Azmin Ali, Pengerusi PH Selangor dan Pengarah Pilihanraya PH di peringkat pusat melupakan sahaja percubaan politiknya(manoeuvre) untuk mengintai-ngintai peluang membawa bersama PAS dalam PH bagi mengelakkan pertandingan tiga penjuru.
Kebimbangan beberapa kerat pemimpin PKR untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru adalah kurang wajar. Kebimbangan mereka itu boleh diertikan bahawa pengaruh PAS masih kuat dan PH lemah. Wal hal, apa yang sedang berlaku di sekeliling kita dalam konteks politik pilihanraya, pengaruh PAS sudah menurun dengan drastik sekali.
Orang ramai semacam ingin menjauhkan diri daripada program-program PAS. Terbaru, diberitakan bahawa program ceramah PAS yang diadakan di Parlimen Pandan Kuala Lumpur gagal menarik kehadiran ramai, walau pun YB TG Dato’ Seri Hj Hadi Awang adalah salah seorang daripada penceramahnya ! Akhbar HARAKAH juga amat kurang dilanggani oleh pembaca-pembaca.
Disamping itu kenyataan-kenyataan akhbar yang dibuat oleh beberapa kerat pemimpin PAS agak kurang menarik, tiada tawaran-tawaran baru dan hujung-hujungnya hanya menyerlahkan sikap sombong dan besar kepala mereka. Dalam usaha memancing dan meraih undi pilihanraya, sikap sombong dan merasakan diri kita sahaja yang betul adalah suatu fenomena yang lapok dan mengjengkelkan. Mana ada manusia yang sihat akalnya suka kepada sikap besar kepala orang yang ingin merayu undi !
Akhirnya, saya berpendapat PH waktu ini telah berada pada landasan yang tepat dan betul dengan melupakan idea untuk terus merayu kepada PAS supaya turut bersama dalam gabungan PH.
Kita berharap YAB Dato’ Seri Azmin Ali dapat kembali fokus untuk mangatur strategi-strategi untuk memenangi PRU ke 14 nanti. Khabarnya PRU ke 14 itu akan diadakan pada bulan Oktober 2017.
Marilah kita mempersiapkan diri untuk menghadapi pertandingan tiga penjuru dalam PRU ke 14 itu nanti. Seandainya kita terus bekerja dengan kuat dan bersungguh-sungguh, UMNO/BN boleh dikalahkan .
Sudah tiba masanya YAB Dato’ Seri Azmin Ali menggunakan kebijaksanaan dan sentuhan politiknya untuk membuka pintu kepada Exco-Exco PAS keluar daripada Kerajaan Negeri Selangor. Penyokong dan pendukung PH telah memberikan masa yang agak lama kepadanya membuat keputusan itu.
Ketegasan dan kebijaksanaanYAB Dato’ Seri Azmin Ali sememangnya ditunggu dan dinanti-nantikan. Insya Allah Kerajaan Negeri Selangor PH tidak akan tergugat dan terkubur kalau ketiga-tiga Exco PAS itu diberikan kata dua. Mungkin mereka akhirnya akan keluar daripa PAS.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan