Sebagai seorang warganegara yang mendukung hak bersuara dan hak untuk
berbeza pendapat, saya secara peribadi tidak menyokong penganjuran
Better Beer Festival 2017 yang dijadualkan di sebuah kawasan hipster
kelas menengah di Kuala Lumpur dengan promosi besar-besaran.
Apatah lagi bagi saya seorang Muslim, gandingan istilah 'pesta' dan 'arak' memberi konotasi yang negatif.
Pun begitu, dalam sebuah negara demokrasi, kita tidak boleh sama
sekali menyekat pandangan-pandangan samada pro atau kontra dalam isu
ini.
Namun ia perlu disantuni dengan penuh berhemah.
Isu seperti ini perlu ditangani menerusi ruang diskusi yang rasional,
tidak emosi dan menghormati kepercayaan serta kepelbagaian budaya di
negara kita.
Lebih utama, ia tidak wajar dijadikan alat untuk menunjukkan 'siapa
lebih juara', tetapi perlu dilihat dari pelbagai aspek yang memerlukan
pendekatan profesional termasuk dari kacamata undang-undang tempatan dan
sebagainya.
Saya berpendapat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur juga perlu mengadakan
sesi perbincangan dan penerangan sebelum mengambil sebarang tindakan.
Jika kita gagal mengamalkan toleransi, kita akan turut gagal memupuk perpaduan.
Lebih malang jika pihak berkuasa tempatan yang dibiayai wang cukai
rakyat pelbagai agama dan bangsa dilihat berat sebelah dan gagal
menjalankan tugas mengambil kira kepentingan pelbagai pihak secara
rasional dan profesional.
Sebarang bentuk tindakan memanipulasi isu ini untuk menjolok
sensitiviti di kalangan rakyat bagi mencapai kepentingan tertentu samada
oleh individu mahupun mana-mana parti politik adalah tidak wajar sama
sekali dan perlu dihentikan segera.
Setelah 60 tahun merdeka, saya amat yakin dengan kerukunan rakyat
berbilang latar di negara ini yang boleh hidup harmoni serta saling
menghormati.
Asalkan tiada yang berniat buruk dan sengaja menyemai kebencian, keharmonian ini pasti dapat dikekalkan tanpa sebarang prejudis.
SHEIKH OMAR ALI adalah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan