Anak muda Melayu terus bersikap sarkastik

Oleh Arif Atan

Sampai bila anak muda Melayu terus bersikap sarkastik hilang fokus singkirkan mudarat paling besar?

Petang itu,saya sengaja berada dalam kerumunan orang ramai ini dan tidak berada di pentas bersama rakan media lain kerana ingin memerhati sendiri reaksi peserta yang hadir.

Selain kita disapa dan kita juga menyapa, dapat dilihat pelbagai aksi rakyat yang hadir. Semua kaum ada termasuk komuniti Orang Asal yang sebelum ini hidup mereka serba-serbi ditindas.

Tua, muda semua ada. Kekuatan inilah satu isyarat yang pasti digeruni BN dan sekutunya.
Ada yang datang berkereta dari Kubang Kerian, Kelantan. Tiba di Kuala Lumpur Subuh Sabtu, 14 hari bulan, habis himpunan mereka terus balik.

Warga emas berkerusi roda pun tekun mengikuti ceramah. Saya perhatikan salah seorang daripada yang berkerusi roda itu seorang tua berkopiah, berbaju Melayu dan berkain pelekat yang ditemani isterinya yang setia mengikuti ceramah dari jam 9 sehingga tepat pukul 11 malam.

"Ah Moi" depan saya pula dengan rakannya semangat sungguh berdiri sama berikrar. Beliau dan kaum Tionghoa lain juga memberi tepukan gemuruh kepada Tun Mahathir.

Terbukti orang Cina tidaklah membenci unsur keMelayuan apabila merekalah juga bersorak memberi tepukan gemuruh pada persembahan zapin dan joget. Usai Pak Samad membacakan puisi "Hidup Bersama", mereka yang duduk cepat-cepat bingkas berdiri sambil memberi tepukan tanda hormat kepada sosok Sasterawan Negara itu.

Khalayak Melayu juga tidak kurang ramainya. Hanya tidak seperti himpunan Fastaqim 2.0 yang penyokong Pas cuba banding dan gahkan. Mereka di Padang Timur ini tidak dominan membawa anak-anak kecil bersama, duduk pun tepi padang, bawah pokok.

Di Waktu sembahyang Maghrib, kalau dibekalkan lebih banyak tikar dan dibentang jauh ke depan lagi, boleh mencecah separuh keluasan padang.

Ramai juga orang Melayu bentang kain pelekat termasuk sembahyang di trek padang bahkan di aras atas gedung beli-belah Armcorp Mall yang terletak bertentangan Padang Timur ini.

 Petang tu, ramai orang Melayu lebih selesa mengikuti ceramah di tepi-tepi padang dan bawah pokok.

 Nampak muka macam 'orang Pas'. Tekaan saya agak tepat sebab ada yang menyapa saya lalu bertanya, "Eh, Harakah pun datang cover?" soalnya yang saya pasti bukan sarkastik.

Dia yang katanya kenal saya tapi nama sudah lupa, mengaku dengan separuh berbisik dia masih ahli Pas. Bila saya tanya sudah berapa lama tidak baca Harakah? Dia jawab, ada dekat dua tahun. "Oh, dua tahun dah saya ucap selamat tinggal pada Harakah".

Dia senyum. Saya pun senyum sambil kami berjabat tangan. Saya mahu ambil gambarnya yang datang dengan ahli keluarga. Dia minta maaf menolak sebab tidak mahu jiran sekampung dan saudara-maranya mengutuk dia masuk AMANAH. 

Tapi dia kata, senyap-senyap dia akan pangkah AMANAH kalau ada calon Pas yang dianggapnya menyibuk!

Berjalan lagi sekitar tempat duduk bertangga tidak jauh dari pentas itu, saya sengaja duduk di sebelah seorang yang berkopiah yang saya duga mesti ahli Pas.

Sekali lagi tekaan saya tepat. Pada masa sama, dia penjawat awam di Kementerian Pendidikan. Itu sebab dia dan ramai lagi ahli Pas, katanya, enggan berada di tengah padang.

Tapi undi akan tetap pada AMANAH atau calon Pakatan Harapan lain, akuinya. Mereka tidak mahu bazir undi kepada Pas lagi. Dalam hati mereka, Pakatan Harapan yang akan diundi.

Enggan secara terbuka menolak Pas atas faktor keluarga dan masyarakat yang mereka diami masih kuat dicengkam Pas. Jadi, mereka takut untuk mengisytiharkan diri menyokong AMANAH dan Pakatan Harapan.

Himpunan tanpa membawa pelajar tahfiz serta kerahan/paksaan kerajaan negeri Selangor dan Pulau Pinang ini dianggap berjaya dengan mengumpulkan rakyat pelbagai kaum.

Ketika sedang menuju ke stesen LRT Taman Jaya, saya menegur penjual minuman yang sedang menolak troli.

Katanya, "Alhamdulillah. Banyak laku tapi tadi orang majlis (penguatkuasa) mula-mula sekat kami masuk," adunya sambil diiyakan kawan di sebelahnya yang turut menolak troli berisi minuman tin itu.

Sekumpulan wanita muda India pula sedang ditemubual pemberita yang saya duga dari media milik Umno. Nampak agak berhati-hati seorang daripadanya menjawab soalan pemberita yang sedang 'menjolok' perakam suara itu.

Melihatkan sosok Mahathir pada usia 93 tahun serta Pak Samad yang uzur dengan terbatuk-batuk di hujung bacaan puisinya tetapi masih lagi bercakap tentang masa depan anak cucu dan negara, saya kita generasi muda Melayu perlu kembali rasional daripada masih menghukum, menolak Pakatan Harapan atas alasan wujudnya sosok Mahathir.

Melihatkan pakcik berkerusi roda itu yang tekun mengikuti ceramah dengan sesekali menyeka matanya sama ada dia mengantuk atau cuba menahan air matanya, saya kira anak muda Melayu harus bersikap adil untuk tidak terlalu sarkastik memperlekeh Pakatan Harapan sebaliknya sama-sama menampung dan memperbaiki apa yang kurang mengikut kapasiti masing-masing.

Pemerintahan Umno-BN sedia ada sudah terlalu teruk. Korupsi sudah mencapai tahap kleptokrasi lantaran rantaian korupsi yang mengakar selama 60 tahun.

Ya. Pakatan Harapan bukan suci tetapi kegagalan kita terutama anak muda untuk bertanggungjawab mendaftar sebagai pemilih seterusnya keluar mengundi adalah dosa kepada bangsa dan tanah air yang pasti sukar diampuni generasi akan datang.

Alasan letih dan pukul rata BN, Pakatan semua sama teruk dan tak guna, tidak lebih datang daripada kegagalan berfikir secara fokus untuk menyingkirkan mudarat paling besar.

Anak muda Melayu yang konon menganggap BN, Pakatan sama saja tapi tidak mendaftar sebagai pemilih atau sudah daftar tidak mahu keluar mengundi dengan alasan "letih, bosan politik kotor" harus celik bahawa majoriti anak-anak muda Tionghoa tidak pernah bosan atau malas untuk berubah kepada pemerintahan yang lebih baik.

Seorang belia Cina yang mulanya senyum kepada saya, bila ditanya ada jaminankah Pakatan kalau jadi kerajaan akan bersih dan adil seperti dijanjikan, dia jawab mudah:

"Kalau dia lima tahun (diberi mandat) rasuah, kita kasi tukarlah. Apa sebab mahu simpan? Bila kita setiap kali election tukar itu yang pegang Putrajaya, dua-dua akan cuba buat yang terbaiklah"
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan