Oleh ZIKRI ABDULLAH
Kelulusan kawasan balak seluas 5,500 ekar kepada tiga buah syarikat
yang dimiliki orang yang sama didedahkan sebagai modus operandi untuk
membiayai pembelian tapak Wisma Tok Guru.
Pengerusi Pakatan Harapan Kelantan, Datuk Husam Musa berkata, beliau
dimaklumkan secara jauh bahawa salah seorang ADUN Kelantan telah
mengutip sejumlah wang daripada pengarah syarikat yang terlibat.
Sebahagian wang inilah telah digunakan untuk membayar tapak tanah
Wisma Tok Guru, katanya di majlis dialog di Lakloh Kuala Krai malam
tadi.
Beliau mempersoalkan apakah asas 5,500 ekar hutan Kuala Pahi diluluskan kepada tiga syarikat yang dimiliki oleh orang yang sama.
“Khazanah hutan dan tanah untuk perladangan baharu negeri Kelantan semakin pupus.
“Kelulusan baharu sepatutnya dibuat secara tender terbuka yang telus
demi meningkatkan hasil negeri untuk faedah rakyat Kelantan.
“Juga dengan cara memilih syarikat yang layak dengan kemampuan
kewangan yang tidak diragui bagi mengelakkan kroni dan Ali Baba
mengambil kesempatan mengaut kekayaan dengan mudah atas harta rakyat,”
katanya.
Lebih penting lagi menurutnya, hutan dan tanah yang semakin
berkurangan di negeri itu patut diutamakan kepada rakyat jelata untuk
dibangunkan demi meningkatkan ekonomi.
“Isu yang saya akan bangkitkan kali ini ialah kelulusan hutan tanah
kerajaan untuk perladangan sawit seluas 5,566 ekar di Mukim Kuala Pahi,
Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai kepada tiga syarikat yang
dimiliki oleh orang yang sama.
“Ia diluluskan oleh kerajaan melalui Akademi Yakin yang belum
diketahui terma-termanya, kecuali satu iaitu ‘Sayugia juga dimaklumkan
kelulusan ini khusus kepada BE sahaja dan tidak boleh ditawarkan kepada
pihak ketiga sebelum perjanjian ditandatangani dengan pihak Akademi
Yakin’.
“Akademi Yakin dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Besar, Datuk Haji Mohd Amar Bin Abdullah.
Menurutnya, syarat ini terkandung dalam surat Pengurus Operasi Akademi Yakin bertarikh 3 Oktober 2016.
“Berdasarkan syarat ini, boleh difahami, selepas perjanjian
ditandatangani, syarikat-syarikat ini bebas menjual kawasan yang
diluluskan kepada pihak ketiga,” katanya.
Kata Husam, adalah agak pelik, satu daripada syarikat ini hanya
ditubuhkan pada 5 Ogos 2016 dan sembilan hari kemudian iaitu pada 14
Ogos, syarikat terus memohon untuk berusaha sama dengan Akademi Yakin.
“Pada 25 September 2016 iaitu 42 hari selepas permohonan itu dibuat,
Jawatankuasa Teknikal Pelaburan Akademi Yakin Bil 3/206 telah secara
dasar meluluskan permohonan ini.
“Semakan data-data di Suruhanjaya Syarikat menunjukkan syarikat ini
tidak mempunyai apa-apa kenyataan kewangan bagi membuktikan mereka
mempunyai kemampuan kewangan memajukan ladang berkenaan.
“Bahkan tercatit, bentuk perniagaan sebagai ‘dormant’ atau syarikat yang tidak aktif sahaja.
“Satu syarikat lagi, penyata kewangannya menunjukkan kerugian selepas
cukai bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM 3.7 juta. Syarikat ketiga yang
dimiliki oleh orang yang sama ini pula hanya ditubuhkan pada 16 Mei
2016.
“Juga tidak mencatatkan apa-apa mengenai kewangan termasuk kemampuan kewangan,” katanya.
Beliau yakin kelulusan ini telah dirancang oleh orang politik sebelum permohonan dibuat.
“Adalah meragukan bagaimana syarikat yang baru ditubuhkan sehari dua
sebelum permohonan dibuat, dengan mudah mendapat kelulusan sebegini
besar jika ia tidak diatur dengan persetujuan pihak berkuasa terlebih
dahulu.
“Dengan latar belakang syarikat yang tidak mempunyai pengalaman
perladangan mahupun kedudukan kewangan yang kuat mampu mendapat
kelulusan yang besar sebegini, ia menimbulkan tanda tanya mengenai niat
sebenar kelulusan ini dibuat,” katanya.
Beliau menimbulkan persoalan kenapa kelulusan 5,566 ekar ini
dipecahkan kepada tiga syarikat walaupun pemiliknya adalah orang yang
sama.
“Syarikat A : 1,478 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017.
“Syarikat B : 2,000 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017.
” Syarikat C : 2,088 ekar. Surat Akademi Yakin untuk bayaran deposit bertarikh 22 Mei 2017,” katanya.
Tambah beliau, semakan peta Google yang dibuat menunjukkan kawasan
5,500 ekar Mukim Kuala Pahi, Daerah Batu Mengkebang, Jajahan Kuala Krai
ini mempunyai kepadatan hutan yang tinggi.
“Berapa nilai balak-balak yang ada di sini?
“Bolehkah Kerajaan Pas Kelantan berlaku telus?
“Amalan biasa, syarikat yang berjaya mendapat kelulusan ladang akan
diberi izin untuk menebang dan menjual balak-balak yang ada dalam
kawasan mereka.
“Jadi, orang ini akan mendapat dua kali durian runtuh.
“Kali pertama, mereka menjadi kaya raya dengan balak-balak yang ada
dalam kawasan mereka dan mereka mungkin terus menjual balak dan tanah
ladang yang mereka perolehi,” katanya.
Husam juga berkata kawasan hutan yang diluluskan ini adalah termasuk
dan berdekatan dengan kawasan perkelahan dengan jeram atau air terjun
yang cantik.
“Air Terjun Lata Berangin termasuk dalam kawasan yang diluluskan dan berdekatan pula dengan Hutan Lipur Lata Tembakah.
“Adakah kesan ekologi kepada tarikan semula jadi ini diambil kira?” soal Husam.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan