Oleh
Foto Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital
menjadi tular di media sosial sebagaimana lawatan Najib ke IJN selepas
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjalani pembedahan.
Sudah pasti Najib dan Zahid sudah membuat perhitungan sebaik-baiknya
sebelum membuat keputusan untuk menziarahi Anwar di hospital sebegitu
dekat dengan pilihan raya umum ke 14.
Ziarah Najib dan Zahid kali ini menimbulkan satu perasaan yang
mendamaikan seolah-olah seperti suasana di Hari Raya. Dua pihak yang
bertelagah berdamai menghulurkan salam maaf zahir dan batin.
Kepada mereka yang tidak mengikuti politik secara dekat, foto Najib
dan Zahid melawat Anwar bersama pasangan mereka akan dilihat sebagai
sesuatu yang damai dan “sweet”.
Foto itu turut memberikan gambaran di minda rakyat bahawa suhu
permusuhan di antara mereka sudah menurun. Mereka hanyalah saingan di
medan politik, dan bukannya musuh.
Mereka di Pakatan Harapan yang sebelum ini menyelar ungkapan “UG”
ketika Najib melawat Hadi, kini terkedu lidah untuk menghuraikan ziarah
Najib dan Zahid ini.
PAS yang sedang hebat mempromosikan “Budaya Politik Matang dan
Sejahtera” kini memberitahu para penyokong Pakatan Harapan (PH) bahawa
ziarah Najib dan Zahid ke Anwar adalah contoh budaya matang yang mereka
maksudkan selama ini.
Seperti mana PAS yang sudah bertegas mereka tetap akan melawan Umno
di PRU ke-14, PH juga tetap melawan BN meskipun Najib dan Zahid
menziarahi Anwar. Segalanya seri.
Cuma ziarah Najib dan Zahid mungkin menimbulkan satu teori konspirasi di dalam Umno-BN.
Antara persoalan yang pasti timbul ialah, apakah perlunya Zahid
melawat Anwar sehari selepas Najib selaku PM melawat Anwar? Bukankah itu
sudah berlebihan penghormatan yang diberikan kepada Anwar?
Apakah ada persaingan antara Najib dan Zahid di sebalik takbir
meskipun kedua-dua pimpinan saling memuji antara satu sama lain di depan
media?
Suhu politik
Memandangkan ziarah Najib dan Zahid ke atas Anwar menimbulkan aura
yang sebegitu positif bagi politik negara, apakah Najib dan Zahid akan
menimbangkan ziarah ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad pula selaku bekas PM
yang sudah melepasi umur 90 tahun?
Lawatan muhibah ini pasti akan menarik perhatian rakyat yang kini keletihan politik.
Pertama, ini boleh menurunkan suhu politik negara. Kedua, ini boleh
mengubah cara berpolitik hari ini yang berdasarkan cacian, makian,
sindiran dan fitnah sekiranya pendamaian ini menjadi tular di kalangan
rakyat. Usahlah kita nafi bahawa berita politik hari ini didominasi
cacian antara Dr Mahathir dan Najib.
Ziarah Najib ke atas Dr Mahathir tidak akan dapat menghentikan azamnya untuk menjatuhkan beliau.
Akan tetapi, ziarah ini mungkin dapat mengubah persaingan tersebut
daripada politik dendam kepada persaingan siapa yang lebih berjiwa besar
sebagai pimpinan negara. Persaingan sebegini adalah lebih baik untuk
negara berbanding dengan apa yang ada hari ini.
Diharap budaya saling bermaafan menjelang pilihan raya ini dapat
dikekalkan supaya rakyat dan para ahli politik dapat memberi fokus
kepada isu-isu yang lebih penting sebagai modal untuk memancing undi
daripada mengharapkan undi melalui politik kebencian semata-mata.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan