Malaysia dari kaca mata Daim Zainuddin

Oleh Sheridan Mahavera 

SISTEM persekolahan yang goyang, rasuah dan ketidaksamaan adalah antara perkara yang mengancam negara, kata bekas menteri kewangan, Daim Zainuddin kepada sekumpulan anak muda dalam satu sesi pertemuan tertutup semalam.

Bekas menteri Kabinet itu juga menggesa peserta pertemuan, yang turut dihadiri oleh tokoh berpengaruh dalam Pakatan Harapan (PH), untuk mempertahankan prinsip-prinsip dalam Perlembagaan Persekutuan dan membaik pulih sistem keadilan negara.

Pertemuan tertutup dengan kumpulan pendesak Malaysia Baru itu, sebuah badan yang didirikan oleh Timbalan Ketua Pemuda PKR, Afif Bahardin, merupakan peluang untuk pemimpin generasi muda belajar daripada seorang pemimpin veteran yang pernah berkhidmat pada peringkat tinggi dalam kerajaan.

Daim berkhidmat sebagai menteri kewangan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad antara 1984 hingga 1991 dan kemudian antara 1999 hingga 2001.

Antara yang menyertai pertemuan semalam termasuk para pegawai pejabat Menteri Besar Selangor, seorang exco negeri Pulau Pinang dan beberapa anggota badan pemikir.

Pertemuan tertutup semalam dianjurkan ketika PH bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum tahun depan dengan sasaran menawan beberapa negeri lagi daripada Barisan Nasional (BN), dan jika boleh, Putrajaya.

Sumber yang menghadiri sesi dialog atas undangan itu memberitahu The Malaysian Insight, bekas pemimpin Umno itu turut membuat perbandingan antara generasinya dan pemikiran mereka dengan nilai-nilai generasi masa kini.

"Beliau berkata beliau datang dari era Malaysia lama, dan Malaysia baru memerlukan pemimpin baru dengan cara yang juga baru," kata Eekmal Ahmad yang menjadi moderator dialog.

Seorang lagi peserta berkata Daim menegaskan pemimpin masa depan mesti menjulang Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan hak-hak rakyat Malaysia dan merupakan asas masyarakat berbilang kaum.

"Beliau juga sangat bimbang dengan kerosakan dalam sistem pendidikan generasi muda membesar tanpa tahu yang rasuah itu salah," kata seorang peserta yang enggan identitinya didedahkan.

"Katanya, kita perlu membetulkan sistem pendidikan kerana ia satu pelaburan negara."

Daim memberi contoh Singapura yang sekolahnya mempunyai guru-guru serta kemudahan lebih baik berbanding yang ada di Malaysia.

Seorang lagi hadirin berkata kebanyakan jalan penyelesaian yang dicadangkan oleh Daim merupakan sebahagian daripada agenda reformasi PH.

Ini termasuk pengasingan kuasa yang jelas antara pelbagai cabang institusi negara — kehakiman, perundangan dan eksekutif.

"Ketua polis misalnya hendaklah bertanggungjawab kepada Parlimen dan dipilih oleh sebuah jawatankuasa sama seperti hakim."

Eekmal juga berkata Daim merasakan majoriti rakyat Malaysia tidak menerima manfaat daripada pertumbuhan ekonomi negara.

"Pertumbuhan negara tidak turun kepada masyarakat terbanyak kerana setiap orang merasakan banyak perkara semakin tidak mampu dimiliki."

Walaupun pilihan raya akan datang ini sukar, PH masih ada peluang, kata Daim, menurut seorang lagi sumber.

"Ini kerana mitos lama yang Melayu harus mengundi Umno untuk selamat sudah dipecahkan. Ini kerana Selangor sudah dua penggal diperintah oleh parti bukan Umno dan orang Melayu masih lagi berkembang maju."
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan