Oleh Rozhan Othman
PAS merupakan antara parti politik Malaysia dengan sejarah yang lama.
Ia adalah sebuah parti yang berpengalaman. Tidaklah janggal jika kita
lihat pengalaman PAS sebagai suatu yang memberi banyak pengajaran.
Barangkali kita boleh menjadikan PAS sebagai qudwah dan mengambil
iktibar.
PAS ditubuhkan selepas golongan agama dalam Umno tidak berpuas hati
dan keluar meninggalkan Umno pada 1951. Mereka melihat Tunku Abdul
Rahman tidak memberi ruang kepada golongan agama memainkan peranan.
PAS telah bertanding dalam pilihan raya umum selepas itu dan berjaya
memenangi satu kerusi. Sejak itu, PAS menjadi saingan utama kepada Umno.
PAS lebih kuat di Pantai Timur dan pernah menubuhkan kerajaan di
Kelantan, Terengganu dan Kedah. Ia hanya berkuasa lama di Kelantan. PAS
tidak berjaya mengekalkan pemerintahannya di Kedah dan Terengganu
melebihi satu penggal.
PAS pernah memerintah Terengganu pada 1959, dan kekal hanya selama 2
tahun, selepas tumbang apabila beberapa Adun PAS berpaling tadah dan
menyertai Umno.
Walaupun PAS kuat bersengketa dengan Umno, ia bersetuju menyertai BN pada 1973. Namun, penyertaan PAS dalam BN tidak kekal lama.
Selepas krisis dalaman kerajaan Kelantan pada 1978, PAS keluar dari
BN. Pada pilihan raya negeri selepas itu, PAS tewas dan BN mengambil
alih Kelantan.
Hubungan PAS-Umno ibarat hubungan wanita yang mengalami sindrom
isteri didera (battered wife syndrome). Walau didera, si wanita masih
ingin kekal dengan pasangan yang menderanya.
Walaupun PAS menyertai BN dan kerajaan persekutuan pada 1973, ini
tidak menghalang Umno dari berusaha menjatuhkan PAS di Kelantan.
Hubungan PAS-Umno hari ini pun sama juga. Walau pun PAS sedang
berasmara dengan Umno, ia tidak menghalang Umno dari mengatur serangan
untuk memusnahkan PAS di Kelantan. Inilah agaknya yang dikatakan cinta
monyet.
Pada 1987, persengketaan dalam Umno menyaksikan golongan digelar
sebagai Team B keluar menubuhkan Semangat 46. Parti baru ini kemudiannya
berjaya menjalinkan kerjasama dengan PAS dan ini menghasilkan kejayaan
kepada PAS yang mengambil alih kerajaan negeri Kelantan pada PRU 1990.
Selepas PRU ke-13, PAS mula menunjukkan kecenderungan untuk
mendampingi Umno. Sebenarnya, proses ini bermula sejak PRU ke-12 lagi.
Ketika itu, beberapa pemimpin PAS telah mengadakan rundingan dengan Umno
mengenai penubuhan kerajaan negeri Selangor.
Namun, ia tidak menghasilkan sebarang persetujuan. Yang pasti, PAS
telah bersedia membelakangkan rakan-rakan lain dalam Pakatan Rakyat
sejak ketika itu lagi.
Satu perkara yang menarik ialah tindakan yang diambil Pakatan Harapan
(PH) sejak 2015 mula menyerupai tindak-tanduk PAS. Jika PAS mula
mendampingi seterunya Umno, PH telah mula mendampingi seterunya Tun Dr
Mahathir Mohamad. Seolah-olah PH mengikut qudwah PAS.
Bezanya, pendekatan PH dilakukan secara telus dan setelah
dibincangkan di kalangan kepimpinan parti komponen. Keputusan PAS
mendampingi Umno pula merupakan satu keputusan yang diseludup masuk oleh
golongan yang hari ini digelar “lebai tembikai” (hijau di luar tetapi
berwarna merah di dalam).
Tindak-tanduk yang diambil oleh mereka ini sejak PRU ke-13 tidak
pernah dibincangkan mahu pun diputuskan secara rasmi dalam PAS sendiri.
Dalam hal ini, PH berbeza dari PAS.
Ada pengulas mengatakan apabila PH memutuskan untuk menjadikan Dr
Mahathir sebagai calon perdana menterinya, ia tidaklah berbeza dengan
keputusan beberapa pemimpin PAS menginginkan Tengku Razaleigh Hamzah
sebagai calon perana menteri pada 2013.
Bezanya, keputusan PH diputuskan secara telus bersama pemimpin parti
komponen selepas satu proses perbincangan. Keputusan PAS menginginkan
Tengku Razaleigh sebagai perdana menteri sebaliknya telah diseludup
masuk oleh segolongan pemimpin PAS.
Jika dilihat secara kasar, PAS seharusnya berbangga kerana
tindak-tanduk PH seolah-olah mengikuti tindak-tanduk PAS. Adalah aneh
jika PAS mengecam PH kerana berbaik dengan Dr Mahathir sedangkan ia
berbaik dengan parti yang pernah dikafirkannya.
Demikian juga, tidak ada sebab PAS harus mengkritik PH kerana memilih
Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sedangkan ia inginkan Tengku
Razaleigh sebelum itu. Lagi pun Dr Mahathir sebahagian dari PH;
Razaleigh adalah orang luar yang berwala’ kepada Umno.
Demikian juga, PAS tidak boleh marah kerana ada golongan yang keluar
PAS dan menubuhkan Amanah kerana tidak berpuas hati dengan perkembangan
dalam parti itu. PAS sendiri ditubuhkan oleh golongan agama yang keluar
meninggalkan Umno kerana tidak berpuas hati dengan Umno.
Kita perlu lihat bahawa di sebalik persamaan-persamaan ini, terdapat
perbezaan yang besar di antara PAS dan PH. Proses pembuatan keputusan
dalam PH melalui proses syura yang melibatkan pemimpin semua parti. Ia
telah dibahaskan dan diputuskan selepas perbincangan yang berpanjangan.
Dalam politik, memang lumrah untuk berlaku infleksi. Parti akan
mengubah pendirian dan pendekatan. Keputusan politik lazimnya merupakan
ijtihad. Pemimpin PH bukan orang suci atau rahib. Oleh itu, kepimpinan
parti PH tidak memaksakan keputusan mereka melalui tuntuan wala’ atau
melalui kecaman.
Proses pembuatan keputusan dilakukan secara demokratik dan
berdasarkan pertimbangan strategik. Mereka tidak mempergunakan agama
untuk mendakwa hanya keputusan mereka yang mengikut sunnah. Inilah
perbezaan di antara parti yang bersifat demokratik dan parti teokratik.
Rakyat perlu memilih sama ada inginkan Malaysia yang demokratik atau
Malaysia yang teokratik.
Sekiranya sebelum ini kita dipimpin oleh
pemerintahan autokratik yang menunggang perjuangan bangsa, inginkah kita
dipimpin oleh pemerintahan autokratik yang menunggang agama?
Qudwah yang kita lihat sudah jelas.
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
Syabas Sdr Rozhan Othman, suatu tulisan dan kupasan yang cukup ilmiah serta tepat dengan situasi semasa.
BalasPadam