PETALING JAYA: Amanah memutuskan akan memberi tumpuan kepada kejayaan
Pakatan Harapan (PH), walaupun gagal dalam percubaannya supaya gabungan
itu memberikan lebih banyak kerusi Parlimen untuk ditandingi pada
pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata walaupun beliau,
pemimpin dan ahli parti mengharapkan bilangan kerusi lebih banyak,
kejayaan PH di peringkat kebangsaan adalah fokus utama.
“Dan kita masih mempunyai kerusi negeri untuk dimenangi,” katanya sambil menambah rundingan sedang berjalan.
“Kami akan menunggu keputusan yang akan diumumkan menjelang akhir bulan ini.”
Salahuddin yang juga naib presiden PH, berkata Amanah amat prihatin
dengan ketiadaan kerusi yang diperuntukkan kepada mereka di Wilayah
Persekutuan.
Daripada 12 kerusi parlimen di kawasan itu, 5 diperuntukkan
masing-masing kepada DAP dan PKR, manakala 2 lagi diberikan kepada PPBM.
“Kita akan membincangkannya dengan pemimpin PH yang lain. Tetapi ia
akan dilakukan melalui saluran yang betul dan dalam semangat PH sebagai
gabungan,” kata Salahuddin.
Gabungan itu mengumumkan PPBM akan bertanding di 52 kerusi, diikuti oleh PKR 51, DAP 35 dan Amanah 27.
Malam tadi, Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya
sedia berunding dengan Amanah untuk memberikan parti serpihan PAS itu
lebih banyak kerusi.
Sebelum ini, beberapa pemimpin Amanah di Johor kecewa kerana parti itu hanya diperuntukkan 2 kerusi di negeri itu.
Salahuddin yang mengetuai jentera pilihan raya PH di Johor, berkata
rundingan untuk lebih banyak kerusi parlimen berbanding 2 yang
diperuntukkan kepada Amanah di negeri itu tidak menghasilkan keputusan.
“Tiada apa-apa keputusan dan perbincangan ditangguhkan ke tarikh yang
belum diputuskan. Tetapi saya tidak fikir akan ada sebarang perubahan.
“Kami menginginkan angka itu, tetapi untuk menjadi lebih praktikal,
kita harus melihat kekuatan kita, bilangan calon yang boleh menang dan
kekuatan kita di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Tertinggi PPBM, Tariq Ismail, berkata
apabila PH berhasrat bertanding dalam PRU di bawah satu logo, “secara
teknikal, peruntukan kerusi tidak penting.”
“Apabila ia mahu bertanding, diharapkan ia akan menjadi satu logo, BN
lawan PH. Jadi, ia hanya mengenai calon yang diletakkan dan bukannya
individu yang berasal dari parti mana,” kata Tariq yang disebut-sebut
bakal diletakkan sebagai calon di Sri Gading, Johor.
“Walaupun jelas terdapat beberapa perselisihan, kita perlu bergerak
dan memberi tumpuan untuk memenangi PRU sebagai gabungan,” katanya
“Kita mahu memenangi Parlimen dan menjadi kerajaan seterusnya. Selebihnya adalah pilihan kedua,” tambah Tariq.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan