HARAPAN negeri boleh berpakat guna satu logo

Oleh Hambali Abdul Latiff

Jika gagal bertanding menggunakan logo sama, apa pilihan yang untuk semua parti komponen Pakatan Harapan (HARAPAN)?

Apakah dengan kegagalan mendaftar HARAPAN secara rasmi maka tiada cara lain untuk membolehkan pengundi mengecam parti itu selain BN dan PAS?

Dengan jangkaan pilihan raya umum (PRU) kali ini banyak berlaku pertembungan tiga penjuru, sewajarnya tiga logo sahaja tercetak di atas kertas undi – sama ada untuk kerusi parlimen atau juga dewan undangan negeri (DUN).

Persepsi pembangkang sekarang ialah, Putrajaya diyakini memang sengaja mahu logo HARAPAN tidak dapat digunakan untuk PRU ke-14 nanti.

Mereka bimbang ia menjadi logo yang ‘meletup’ dan mempengaruhi pengundi.

Jika dibiarkan tidak berdaftar, parti-parti dalam HARAPAN – PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) – terpaksalah menggunakan logo masing-masing.

Keadaan itu biasanya boleh membingungkan pengundi dan sekali gus memberi kelebihan kepada BN.

Rakyat wajib dapat maklumat

Apa akan berlaku jika di sebuah kerusi parlimen AMANAH bertanding menggunakan logonya, manakala bagi DUN parti lain dalam HARAPAN diletakkan bertanding bagi kerusi berasingan?

Menggunakan logo masing-masing akan mengelirukan rakyat yang kurang pengetahuan mengenai logo parti-parti yang menyertai HARAPAN untuk PRU ke-14 nanti.

Inilah yang pemimpin BN mahukan. Keadaan tentu lebih menyukarkan sesetengah pengundi jika saingan di sesuatu kerusi itu turut melibatkan calon bebas yang menggunakan logo berbeza-beza.

Dengan andaian HARAPAN tidak dapat bertanding menggunakan logo rasmi, rakyat seharusnya tahu akan empat parti komponen gabungan di dalamnya. Ini yang wajib diterangkan kepada rakyat.

Semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan parti komponen HARAPAN mungkin tidak dapat bertanding di bawah logo yang sama, sebaliknya menggunakan logo masing-masing pada PRU ke-14 ini.

Malah, Pengerusi HARAPAN itu mengakui, jika HARAPAN bertanding menggunakan logo masing-masing, rakyat akan keliru.

"Sebab itu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak enggan mendaftarkan HARAPAN," dakwa bekas perdana menteri itu pada program JELAJAH HARAPAN di Alor Gajah, Melaka, malam tadi.

HARAPAN menghantar permohonan pendaftaran kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) pertengahan tahun lalu dan pemimpin gabungan pembangkang terbabit - termasuk Dr Mahathir - sebelum ini mendakwa pihak yang berkenaan berulang kali sengaja melambat-lambatkan proses itu.

Dalam kedudukan sebegini, sewajarnya parti komponen dari sekarang wajar memikirkan untuk berpakat menggunakan satu atau dua logo sahaja untuk memudahkan pengundi.

Mudahkan logistik, mobilisasi

Cara ini bukan baru kerana di Terengganu, pada PRU 1999 ada calon PKR menggunakan logo PAS.
Mungkin bagi Pulau Pinang tidak sukar untuk menggunakan logo DAP walaupun ada calon dari PKR, AMANAH atau BERSATU bertanding.

Sementara di negeri yang kuat pengaruh PKR, gunakanlah logo parti berkenaan.
Di Johor dan Kedah, rasanya logo ‘Bunga Raya’ (BERSATU) boleh digunakan untuk calon parti HARAPAN yang bertanding di negeri berkenaan.

Di Kelantan, Terengganu, Melaka, Perlis, Pahang dan Negeri Sembilan, rundingan mengenai penggunaan logo pasti boleh dijalankan dalam suasana akrab dan persefahaman tinggi demi mencari kemenangan.

Memanglah akan ada polemik kecil mengenai perkara ini tetapi adalah lebih baik dan berkesan untuk meyakinkan pengundi memilih satu logo berbanding lambang yang pelbagai di lokasi sama.
Majlis Presiden HARAPAN boleh membincangan isu ini apabila selesai pembahagian kerusi dijalankan bagi seluruh negeri.

Difahamkan, ada tujuh negeri belum selesai pembahagian kerusi kerana melibatkan tuntutan bertindih sesama komponen HARAPAN.

Dengan meminimumkan penggunaan logo akan memudahkan pengundi mengingati simbol apa yang mereka perlu pangkah - bukannya logo A untuk parlimen dan logo B dan C bagi tiga atau empat DUN dalam kawasan sama.
Kaedah ini juga akan memudahkan kerja-kerja logistik dan mobilisasi jika dijalankan dengan bijak dan teratur.
Malah, cara ini akan menguji semangat kerjasama sebenar parti dan pekerja dalam HARAPAN yang ketika ini dilihat masih rapuh.

HAMBALI ABDUL LATIFF ketua penerangan Pakatan Harapan Terengganu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan