Kit Siang: Saya tak pernah dapat 1 sen daripada Robert Kuok

PETALING JAYA: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menafikan beliau pernah menerima wang daripada Tan Sri Robert Kuok, termasuk melalui orang tengah seperti saudara hartawan itu.

Ahli Parlimen Gelang Patah itu mendakwa “jentera berita palsu” Barisan Nasional (BN) berusaha merosakkan nama baiknya menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Berita palsu terkini ialah saya terima sejumlah besar sumbangan daripada taikun Robert Kuok melalui anak saudaranya, James Kuok,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas berucap di satu himpunan DAP di Batu Pahat hari ini.

Beliau berkata, ini adalah dakwaan terbaru terhadapnya selepas beliau dituduh menerima berbilion ringgit daripada pihak Israel dan RM1 bilion daripada bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini pengerusi PPBM.

“Penipuan, berita palsu dan maklumat palsu akan menjadi senjata penting Umno/Barisan Nasional pada PRU14.”

Ketua Parlimen DAP itu berkata, penubuhan jawatankuasa khas untuk mengkaji undang-undang baru bagi membendung berita palsu tiada kredibiliti.

Beliau mendakwa jawatankuasa itu yang diketuai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dijadikan senjata berita palsu terhadap Pakatan Harapan dan orang awam.
Pada 7 Februari lalu, Azalina dilaporkan berkata, pembangkang dibenarkan memberi pandangan berhubung jawatankuasa itu dan kerajaan akan menemui semua pihak berkepentingan termasuk ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

“Bagaimanapun, mereka tidak boleh mempunyai niat buruk apabila mahu membincangkan apa yang dicadangkan jawatankuasa khas itu atau ketika meminta perkembangan terkini.

“Lihatlah Gelang Patah. Sebelum kita boleh bermula, beliau sudah menuduh kerajaan mempunyai niat buruk dan kita cuba menyerang pembangkang.

“Masalah dengan pembangkang adalah mereka akan membantah segala-galanya.”
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan