Pas-Umno buli, mangsakan rakyat dan Pakatan Harapan

Oleh DATUK MAHFUZ OMAR

Menjadi kebiasaan apabila Pas dijadikan mangsa politik belasahan Umno dan media arus perdana* dengan berbagai kecaman,hentaman,cemuhan dan kutukan yang bersifat cerita rekaan dengan niat menakutkan masyarakat khususnya pengundi supaya tidak menyokong dan mengundi PAS.

Gejala yang tidak bertamadun ini terjadi setiap kali kedudukan Umno tempang, sangat lemah dan berdepan dengan krisis kepercayaan rakyat serta krisis dalaman Umno, maka ketika itu Pas akan menjadi mangsa buli politik kotor Umno-BN.

Setelah negara merdeka, pemikiran rakyat ‘diracun’ dengan politik sempit ke tahap menakutkan rakyat agar tidak memberi undi untuk pembangkang supaya negara tidak berlaku huru hara dan negara akan terpinggir dari arus pembangunan sekiranya mengundi pembangkang pada pilihan raya.
Rakyat ditakutkan dengan sebarang percubaan menyokong dan memilih pembangkang terutamanya Pas pada pilihan raya.

Wujudnya konsep Keselamatan dan Pembanggunan (Kesban) dan tertubuhnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) selepas peristiwa 13 Mei 1969, maka doktrin menakutkan minda rakyat bahawa orang Melayu akan hilang kuasa jika berpecah rancak diperkata sehingga terbentuknya kerajaan campuran Perikatan bersama Pas dan disusuli penyertaan Pas dalam komponen BN.

Selepas Pas ‘ditendang’ keluar dari BN, api politik perkauman mula marak menyala setiap kali Persidangan Agung Umno dan menjelang pilihan raya umum serta di waktu Umno-BN berhadapan dengan krisis kepercayaan rakyat terhadapnya.

Pemimpin Umno-BN serta media arus perdana ‘berkompang’ menuduh Pas mempunyai hubungan sulit pintu belakang dengan DAP.Orang Melayu juga mula ditakutkan dengan isu kononnya jika undi Pas bermakna undi DAP dan orang Cina akan berkuasa.

Pas juga pernah dicop sebagai pemecah belah perpaduan umat Islam dan bangsa Melayu.Kerisauan di minda rakyat hasil doktrin tersebut berterusan setelah Pas secara terang terangan menjalinkan kerjasamapolitik (Tahaluf Siasi) dengan DAP didalam Pakatan Rakyat (PR) sehingga Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Pemimpin,ahli dan penyokong Pas sentiasa bertungkus lumus menafikan tuduhan serta taktik jahat Umno terhadap Pas kononya menjadi ‘barua’ DAP. Tok Guru Presiden Pas Datuk Seri Abd Hadi Awang berkali kali menepis serangan taktik jahat Umno dan media arus perdana dengan mempertahankan hubungan kerjasama Pas-Dap dengan menyatakan “tiada apa yang membahaya dan menggugat masa depan Islam dan Melayu dengan kerjasama politik (Tahaluf Siasi) Pas-Dap dalam Pakatan Rakyat”.

Kini tiada lagi kedengaran suara kecaman dan kutukan dari pemimpin Umno-BN atau media arus perdana membuli Pas dan tiada lagi suara lantang Pas terhadap segala kepincangan urus tadbir oleh kleptokrat Umno seperti kelantangan di zaman Presiden Pas Almarhum Yusuf Rawa dan Allahyarham Fadzil Nor.
Apa yang kedengaran kini suara ingin bersama dengan Umno-BN selepas PRU14 dan Pas memulakan langkah tersebut sekarang dengan konsep ta’awun bersama Umno.

Menghadapi PRU14 kelak,Pas mengambil jalan bersendirian dan hanya bersama parti politik yang tiada pengaruh atas nama Gagasan Sejahtera dengan slogan ‘Matang dan Sejahtera’.

Dikala Pas mengamalkan politik matang dan sejahtera, Pas tidak kekok mengambil pendirian seperti Umno terhadap Pas satu ketika dahulu dengan membawa pendekatan ‘menyemai khurafat’ diminda rakyat terutamanya Melayu Islam terhadap DAP.

Pas-Umno dibantu media arus perdana ‘berpimpin tangan’ menyerang Pakatan Harapan (PH) kononnya di kuasai DAP dan berbagai tohmahan dan andaian kononnya Melayu hilang kuasa kerana DAP akan berkuasa sekiranya PH menang PRU14 nanti dan DAP akan kuasai kerajaan Malaysia.
Begitu juga tuduhan terhadap Parti PKR, AMANAH dan PPBM yang dilabel menjadi ‘barua’ DAP.

Dulu Pas dan rakyat khususnya orang Melayu menjadi mangsa Buli Politik jahat Umno dan kini Pas-Umno ‘seiringan berpimpin tangan’ memangsa dan membuli PH dan rakyat khususnya orang Melayu di waktu kedua-dua parti sedang dilanda krisis kepercayaan dalaman dan luaran secara terang atau senyap dengan *menjadikan PH seperti bayangan yang menakutkan dan menggerunkan orang Melayu Islam terhadap DAP,tohmahan terhadap PKR menentang agenda Islam, AMANAH pemecah belah umat Islam dan PPBM parti penyangak.

Sikap dan tingkah laku Pas ibarat drama cerita dongeng politik lama di waktu Pas menjadi mangsa Umno yang kembali di persada politik PRU14 dengan diberi wajah baru dan lakonan yang Islamik.

Kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang menyatakan Pas hanya ada dua pilihan selepas PRU14 akan datang,sama ada kekal sebagai pembangkang atau membentuk kerajaan campuran bersama Umno-BN sekiranya memenangi 40 kerusi parlimen seperti yang disasarkan oleh Tok Guru Presiden Pas.

Kenyataan ini cukup sebagai pembayang maksud hasrat Pas untuk mengekalkan kerajaan Umno Najib selepas PRU14 ini.

Suasana seperti politik selepas 13 Mei 1969 sedang di marak kembali.Rakyat melihat Pas-Umno sudah bersekedudukan, hanya menanti hari persandingan.

Kesediaan Pas sebagai ‘king maker’ untuk berunding dengan Umno-BN bagi membentuk kerajaan selepas PRU14* atas nama menyelamatkan kerajaan Melayu Islam menyerlahkan lagi hubungan intim Pas bersama Umno.

Apakah rakyat mahu melihat Najib Razak dan Umno-BN kekal berkuasa dengan dibantu oleh Pas?
Rakyat khususnya bangsa Melayu tidak perlu buang masa untuk hidup di bawah pentadbiran kerajaan baru Najib Razak,Umno-BN dan Pas selepas PRU14 kelak.

Menjadi tanggung jawab rakyat seluruhnya bagi membebaskan dan membersihkan Malaysia tercinta ini dari pemerentahan kleptokrat.

*Penulis adalah Ahli Parlimen Pokok Sena.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan