Timbalan menteri mahu publisiti doa tepi jalan berlubang

Ketua Bahagian Bersatu Kota Melaka, Nor Afendi Ahmad menyifatkan aksi Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah yang duduk menadah tangan di tepi jalan berlubang kelmarin hanya menagih publisiti.

Menurutnya, Ahli Parlimen Tangga Batu berkenaan sebenarnya mempunyai kuasa lebih tinggi untuk mengambil tindakan menyelesaikan masalah di Jalan Bukit Berlian itu.

“Ini satu pembohongan, satu lakonan drama swasta yang ditunjukkan oleh seorang ahli parlimen Umno nak publisiti semata-mata.

“Kalau kita jadi wakil rakyat dan timbalan menteri, apa bodohnya kita tidak boleh pergi majlis MBMB (Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah) atau Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), jumpalah Datuk Bandar.

“Setahu saya, timbalan menteri jauh lebih tinggi kuasanya daripada datuk bandar. Tapi timbalan menteri berdoa di tepi lubang,” bidasnya dalam Ceramah Pakatan Harapan Melaka di Alai anjuran AMANAH Kota Melaka malam tadi.

Kelmarin, Abu Bakar memuat naik tiga foto di Facebook miliknya dengan catatan, “10.40 pagi, saya berdoa pagi ini, adalah Datuk Bandar ke? Pegawai Daerah ke? Ahli Majlis ker? datang melihat lubang di Jalan Bukit Berlian yang makin membesar dan menggunakan kuasa mutlak yang ada untuk menampal jalan ini, sebelum ada warga Tangga Batu yang patah kaki atau tercedera. Ya Allah makbulkan permohonan hamba mu ini amin.”

Timbalan Ketua Umno Bahagian Tangga Batu itu kemudiannya memberitahu semua lubang di jalan berlubang yang berlarutan sejak sebulan itu sudah ditampal dan diturap hanya dalam tempoh kurang 12 jam selepas gambar tersebut dimuat naik.

Bagaimanapun, gambar bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkenaan yang tular di media sosial menerima cemuhan termasuk sindiran yang mengaitkan pilihan raya semakin dekat selain saranan melakukan sembahyang hajat di lokasi jalan berlubang itu.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan