Oleh Edry Faizal
Datuk Seri Abdul Hadi Awang di dalam tulisannya di Harakahdaily yang
bertajuk “Tolak parti yang menggugat agama dan perpaduan” menjatuhkan
hukum haram kepada sesiapa yang menyertai atau menyokong DAP.
Meskipun hujah Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan panjang lebar tidak
menyebut parti mana, namun jelas sekali sasaranya adalah DAP apabila
menyebut:
“Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah
melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii
manusia.”
Jika dahulu penyokong PAS tentu sudah terbiasa mendengar tuduhan
‘menghalang perjuangan Islam’, ‘memperjuangkan negara sekular’,
‘perkauman’ dan lain-lain ditujukan kepada UMNO. Namun kini dilihat
Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghalakan meriamnya ke arah DAP pula.
Semenjak dirinya menerajui PAS untuk berjinak-jinak dengan Dato’ Sri
Najib Razak dan UMNO.
Amanat Haji Hadi 2.0
Ini tidak lain merupakan Amanat Haji Hadi 2.0. Amanat Haji Hadi 1.0
pada tahun 1981 dengan radikalnya menjatuhkan hukum bahawa melawan UMNO
merupakan satu jihad dan sekiranya mati menentang UMNO, mati itu adalah
mati syahid. Tindakan itu diketahui umum telah membenihkan budaya
takfiri (kafir mengkafir) di kalangan penyokong PAS dan UMNO yang
berpanjangan.
Sekali lagi atas kepentingan politik, dalam keadaan PAS yang semakin
terdesak, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggunakan agama untuk
menjatuhkan hukuman haram bagi orang-orang Islam bersama dengan DAP atau
menyokong DAP. Terang lagi bersuluh Haji Hadi mahu menghidupkan semula
fatwa yang memupuk budaya saling bergaduh seperti yang telah diwujudkan
Amanat Haji Hadi 1.0.
Ironinya, di saat rencana Haji Hadi itu cuba menyeru kepada keamanan
dan harmoni, Haji Hadi tidak dapat meninggalkan tabiat radikalnya.
Benarlah kata peribahasa Melayu, asal ayam hendak ke lesung, asal itik
hendak ke pelimbahan. Tabiat yang susah mahu berubah.
Agama untuk kebaikan
Untuk memupuk keharmonian dalam negara, apa yang Haji Hadi perlu
lakukan memadai belajar daripada pengalaman lalu. Menginsafi bahawa
apabila hukum-hakam Islam bercampur-baur dengan permainan politik, maka
akan muncul pelbagai kerancuan, dan yang jadi mangsa adalah penyokong
dan rakyat Malaysia amnya
Lihat bagaimana Haji Hadi hari ini mampu melupakan Amanat lamanya,
dan kini duduk semeja bercanda dengan UMNO. Meskipun UMNO masih lagi
seperti yang dia katakan dahulu, “mengekalkan perlembagaan penjajah,
mengekalkan undang-undang kafir”. Entah ke mana hilang seruan radikal
jihadnya dulu.
Malah semakin hari semakin serupa dengan UMNO, dalam tulisannya, Haji
Hadi turut menggunakan isu 13 Mei sebagai alat menakut-nakutkan rakyat
Malaysia, modus operandi yang biasanya hanya digunakan oleh UMNO. Di
tangan ahli politik, hukum-hakam agama tidak lain hanya menjadi alat
untuk kepentingan politiknya.
Jika mahu Malaysia harmoni, elakkanlah mempergunakan nama dan firman
Tuhan untuk tujuan menimbulkan perseteruan di kalangan rakyat.
Elakkanlah mengeluarkan hukum sewenang-wenangnya mengikut selera politik
sendiri.
Malaysia tidak perlukan ‘penguasa taliban’ yang kerjanya mengharamkan
itu dan ini, mengkafirkan itu dan ini. Yang Malaysia perlukan adalah
seorang alim yang apa saja dituturkan menenangkan hati.
Biarlah agama memainkan peranan mewujudkan suasana baik dan
sejahtera, bukannya diletakkan di dalam tangan ahli politik untuk
mencetus permusuhan.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan