Bersih kecam SPR atas inkuiri ‘tidak adil’

Oleh Soo Wern Jun
 
SHAH ALAM: Bersih 2.0 hari ini mempersoal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas pengurusan inkuiri awam mengenai cadangan persempadanan semula yang “tidak profesional” dan “tidak adil”.
Inkuiri awam yang dijadual bermula 26 hingga 28 Februari membangkitkan keraguan jika terdapat masa yang cukup untuk bantahan.

Bercakap kepada FMT, Timbalan Pengerusi Bersih Shahrul Aman Mohd Saari menyoal mengapa SPR tergesa-gesa menjalankan proses itu sedangkan pihaknya harus memeriksa bantahan untuk membuat keputusan adil.

“Terdapat beberapa perkara SPR tidak mengurus baik walaupun sebelum bermulanya inkuiri itu.
“SPR tidak memberitahu pembantah sama ada bantahan mereka diterima dan sama ada mereka harus hadir pada inkuiri.

“Kami sudah menerima maklum balas yang sesetengah daripada mereka menerima notis pada saat akhir dan kami tidak mampu hadir inkuiri tersebut kerana mereka tidak dapat memohon cuti kerja tepat pada masa,” kata Shahrul di Hotel Concorde, Shah Alam di mana inkuiri itu dijalankan hari ini.

Beliau juga mempersoal “motif” SPR yang menjalankan inkuiri itu berdasarkan parti politik, bukan berdasarkan kawasan pilihan raya.

“Mereka sepatutnya menjalankan inkuiri berdasarkan kawasan pilihan raya agar semua kerusi boleh hadir pada waktu sama untu menyuarakan bantahan mereka terhadap persempadanan semula yang boleh menjejaskan kawasan mereka.

“Mengapa SPR memutuskan untuk menjalankan inkuiri dengan mengasingkan parti politik?”

Katanya, Bersih hanya mendapat tahu inkuiri bagi Umno sudah dijalankan semalam, dengan hanya 7 orang hadir sepanjang hari.

“Berbanding hari ini, terdapat 32 pembantah dari 5 kawasan iaitu Ampang, Gombak, Kuala Selangor, Pandan dan Kuala Langat.

“Bagaimanakah mereka akan menyiapkan inkuiri tepat pada waktunya?” katanya sambil menambah, setakat 12.30 tengahari, SPR hanya berjaya menguruskan 7 orang.

“Mengapa letak terlalu ramai pembantah dalam sehari, sedangkan semalam hanya terdapat 7 orang sepanjang hari?”

Shahrul menambah, SPR, menurut Perlembagaan Persekutuan, tidak perlu mengadakan lebih daripada 2 inkuiri dan boleh menyerahkan keputusan kepada perdana menteri.

“Selepas pendengaran ke-2, perdana menteri boleh mengemukakan cadangan persempadanan semula itu ke Parlimen di mana ia boleh diluluskan dengan mojoriti mudah, tanpa mengira apa yang ingin disuarakan rakyat.

“Jika itu berlaku, apa tujuan inkuiri? Adakah untuk memastikan keadilan dilaksanakan atau hanya untuk menunjukkan mereka menjalankan kerja?”

Wakil rakyat PKR di Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata inkuiri itu diadakan seolah-olah ianya komunikasi sehala.

“Tiada taklimat awal tentang bagaimana inkuiri itu akan dijalankan.

“Apa yang mereka lakukan hanyalah memanggil pembantah, diikuti oleh bacaan ikrar, dan pembantah kemudian dibenarkan lebih kurang 30 minit untuk bercakap.

“Tiada soalan diutarakan atau maklum balas diberikan oleh 7 panel yang mendengar bantahan itu.
“Ia seolah-olah anda bercakap dengan dinding. Adakah ini cara inkuiri dijalankan?” soalnya.

Timbalan pengerusi PKR Selangor itu sebelum ini pernah menyuarakan, semua kawasan di Selangor akan terjejas oleh persempadanan semula itu.

“Ia menjejaskan tanggungjawab saya sebagai wakil rakyat, dan lebih-lebih lagi, ia mengelirukan pengundi.

“Sejak 2013 sehingga hari ini, kami sudah mendaftarkan 10,000 pengundi baharu bawah seluruh kerusi parlimen itu.

“Jika persempadanan semula itu diluluskan, kami akan kehilangan 14,000 pengundi. Daripada 93,000 pengundi, kami hanya peroleh 79,000 pengundi.”

Awal bulan ini, lebih 30,000 tandatangan membantah cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor diserahkan kepada SPR.

Secara keseluruhan, 200 bantahan dibuat terhadap cara persempadanan semula dijalankan di Selangor. Satu bantahan memerlukan minimum 100 tandatangan.

Menurut ahli Parlimen Pakatan Harapan, dalam cadangan persempadanan semula ke-2, kerusi Parlimen seperti Gombak, Ampang, Pandan, Kuala Selangor dan Tanjong Karang paling terjejas.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan