Allama Iqbal masuk PPBM

Oleh Faisal Tehrani 

 Apabila saya mendapat panggilan telefon daripada Allama Iqbal, dengan hasrat untuk menyertai PPBM, saya tidak dapat memadam rasa terkejut.

Motokar saya berhenti di hadapan Warta, pasar raya popular di Bangi yang sering menjadi tumpuan warga asing.

Allama Iqbal sudah menunggu di situ. Tentu ada yang menyangka lelaki tersebut seorang Pakistani tua sesat di Bangi. Mungkin dipandang hina sebagai pekerja asing.

Hampir tidak ada yang mengetahui inilah lelaki yang mengarang “The Reconstruction of Religious Thought in Islam”. Inilah lelaki yang lahir di tengah masyarakat Sunni sebagai insan menghidupkan agama ketika kolonialisme merata, sementara di dunia belahan Syiah menganggapnya sebagai pemikir besar dengan jolokan Iqbal Lahori.

Allama Iqbal masuk ke dalam motokar.

“Ke mana?”

“Ibu pejabat PPBM.”

Biar betul, getus hati saya. Allama Iqbal menyatakan 3 strategi yang disebut sebagai kekuatan ampuh untuk melawan sebab-musabab kemerosotan dalam sesebuah bangsa.

Pertama, membentuk “individu berkeperibadian” yang berdaya “menyatakan erti hidup yang sesungguhnya”. Kedua, individu ini akan “membuka cara-cara baru yang membuat kita melihat”.


Apakah yang hendak dilihat oleh kita; maka ketiga, kita dituntut melihat “lingkungan yang ada bukan sebagai sesuatu yang suci kudus dan tidak dapat dipertikai, melainkan masih perlu dibaiki”.

Di dalam perjalanan yang tersekat-sekat oleh kemacetan lalu lintas, saya bertanya polos. Apakah Allama Iqbal masih percaya bahawa manusia dan Tuhan itu adalah “co-creator di dunia” ini?

Seperti yang diduga, Iqbal mengetahui apa yang bergelora di dalam hati saya. “Malam ciptaan Tuhan tiada guna tanpa pelita buatan manusia.”

Justeru, Iqbal masih meyakini bahawa “membela yang benar” dan “menegakkan keadilan” adalah tugas khalifah. Bahawa matlamat akhir ego bukan untuk melihat sesuatu, tetapi untuk menjadi sesuatu.

Iqbal tidak membiarkan soalan “mengapa” tergantung dalam benak saya. Allama Iqbal bersuara lembut, “Zal, sejarah adalah pergerakan progresif. Ketahuilah alam semesta ciptaan Tuhan ini punyai sifat teleologis atau kesempurnaan (tujuan akhir). Maka dari awal penciptaan manusia, sejak Adam, kita melihat manusia makin sempurna…makin mencipta, kian menuju kesempurnaan. Manusia ditakdirkan menempuh satu demi satu tahap, sejalan dengan penambahan ciptaan baru Tuhan.
“Justeru, dalam pergerakan menuju tujuan penciptaan iaitu kesempurnaan itu, penciptaan itu sendiri memiliki sifat dinamis.”

Saya mencelah, “Inilah yang dikatakan, dalam proses ini, Allah ‘setiap hari selalu sibuk’ yakni terus menerus menambah ciptaan baru ke dalamnya. Jadi, sejarah adalah hari-hari Allah. Inilah puncanya masa atau waktu itu menjadi sesuatu yang suci, sesuatu yang sacral.”

“Sejarah adalah tanda-tanda Tuhan.” Iqbal mengiyakan.

Kenderaan membanyak di susur keluar Sungai Besi. Apakah akan ada satu sidang media mengumumkan penyertaan Allama Iqbal, penyair besar Pakistan ke dalam PPBM?

Iqbal menyambung, “Untuk bersama dalam proses penciptaan itu, kita diundang Tuhan untuk melakukan ijtihad. Agar dapat terus menerus menambah ciptaan baru. Jadi ijtihad bukan usaha mengubah menyeleweng atau melencongkan ajaran Islam seperti yang gagal difahami kaum tradisionalis tetapi merupakan inti kekhalifahan manusia”.

Saya hampir bertempik, “Wah itulah yang dimaksudkan dengan manusia itu ‘co-creator’ bersama-sama Tuhan, bahawa inilah kemitraan manusia dengan Allah.

“Jadi ijtihad itu adalah sokoguru atau tiang seri kepada gerakan dalam Islam.” Iqbal melangsungkan.

Tetapi apakah kena-mengenanya dengan menyertai PPBM?

“Justeru Zal, rasio adalah alat untuk mendapatkan kebenaran.”

Saya mengangguk, selama ini, selama saya membaca “The Reconstruction of Religious Thought in Islam”, itulah yang saya perolehi. Bahawa Iqbal bukan seperti Al-Ghazali. Intuisi adalah lanjutan rasio. Rasio membawa kepada kebenaran. Dalam banyak keadaan rasio dibantu ijtihad. Dalam kepala teringat kata “khirad” yang biasa diguna Iqbal. Khirad atau akal, salah satu komposisi yang membentuk manusia.

Allama Iqbal melempar pandangan ke luar. “Keberadaan seseorang insan itu dinilai dari kualiti amal kita, mutu kemitraan kita dengan Tuhan.”

Fahamlah saya mengapa intelektualisme Iqbal sering dituduh liberal, padahal ia dinamistik dan aktivistik sekaligus.

Iqbal mempercayai tradisi sebagai faktor kestabilan. Akan tetapi, tradisi yang dimaksudkan oleh Iqbal bukanlah tradisi dalam bentuk amalan yang diturunkan dari satu generasi ke satu generasi.

Sebaliknya ia melihat tradisi sebagai keperibadian atau jatidiri sesuatu bangsa, atau negara yang membezakannya dengan negara dan bangsa lain.

Tradisi menurut Iqbal harus dikukuhkan, dibaiki, disegarkan dan jangan dibiar terhakis.
Saya membayangkan kaum Salafi yang sedang menggerogoti tradisi yang dimaksudkan Iqbal.

Kami tiba di Petaling Jaya. Saya memberitahu Allama Iqbal saya akan menunggunya di dalam motokar, “bermain-main telefon pintar”.

Saya ingin bertanya, mengapa PPBM, tetapi dalam kepala berlari bait puisi Iqbal, “perjuangan tanpa hasil lebih baik dari membatu tak melakukan apa-apa”.

Aku sempat membelek puisi Iqbal berjudul “Politik Dewasa Ini” terjemahan penyair besar Indonesia, Abdul Hadi W.M., antara bait yang menggugah:

Aku telah tersesat jauh dari pintu Ka’bah
Bila kubacakan salawat menyebut nama Mustafa
Seluruh diriku tercabik pedih kerana malu
Cinta berkata: O budak umat lain
Dadamu seperti kuil penuh arca berhala
Selama kau tak memiliki rona Muhammad
Jangan cemarkan namanya dengan selawatmu.

Tup-tup terngiang di cuping telinga, “Hari raya manusia merdeka adalah kejayaan negara dan agama; hari raya budak-budak sekadar himpunan kaum Muslimin.”

Apakah yang Iqbal perihalkan kepada Wan Saiful Wan Jan saat ini? Apakah Iqbal melabun mengenai bagaimana kaum oportunis Umaiyyah perlu mencari alasan atas perbuatan jahat mereka di Karbala, dan untuk memastikan dapat menuai buah ranum pengkhianatan Muawiyyah.

Untuk itu mereka menyandarkan dosa jijik tersebut kepada Tuhan. Iqbal dalam merujuk Hasan Ba’ara mengatakan “Umaiyyah membunuh orang Islam dan mengaitkan kejahatan tersebut dengan Tuhan; mereka adalah penipu”.

Mengapa PPBM? Saya tahu kritikan Iqbal terhadap kapitalisme dan imperialisme adalah kerana kedua-duanya mengakibatkan kenestapaan manusia, sementara sosialisme dan komunisme hanya menyerukan kesetaraan untuk perut dan bukannya jiwa.

Kira-kira setengah jam kemudian Allama Iqbal muncul kembali tergesa-gesa.

“Ayuh… ayuh gerak. Bergerak terus. Segera.”

Dalam keadaan musykil tertanya-tanya aku menghidupkan enjin kereta.
“Kamu tidak beritahu aku yang Maszlee Malik dan juga Abu Hafiz Sallehudin masuk PPBM.”

Saya terdiam. Motokar melesat pergi.

Iqbal menggumam, tetapi kedengaran mengatakan, “Hidup yang tidak dikaji, bukanlah hidup.”
Saya memandu terus. Sebelum menurunkan Iqbal di pinggir Jalan Reko, Almarhum mengatakan, “Saidina Ali mengatakan begini, ‘Aku hairan pada orang yang mencari-cari kerana kehilangan sesuatu namun tidak memperhatikan untuk menemukan dirinya yang hilang’.”

Saya menitiskan air mata. Gugup, gamam, kejutan dan keharuan semua bercampur-baur.

Karangan ini diadaptasi secara longgar dari buku Luce Claude Maitre, Introduction to the Thought of Iqbal, dan artikel Muhammad Uthman El-Muhammady, “Iqbal and the Malay World”, Intellectual Discourse 10 (2): 155-169.

Faisal Tehrani adalah nama pena Dr Mohd Faizal Musa dan penulis 7 buku yang diharamkan kerajaan Malaysia.
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan