Oleh IRFAN FARUQI MOHAMAD FAIRUS
Pada 1 Mac 2018 lalu, YAB Dato’ Sri Najib Abdul Razak, Perdana
Menteri Malaysia,menerima serahan Kanvas Belia TN50 yang mengandungi
60,000 aspirasi rakyat untuk rakyat. Aspirasi hampir 2 juta rakyat,
khususnya anak muda yang terangkum dalam enam tema, merentas 16 bidang.
Pada 8 Mac 2018 pula, Pakatan Harapan (PH) pula melancarkan Buku
Harapan yang mengandungi manifestonya menjelang Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14); dengan lima teras utama, lima iltizam khusus, 60 janji dalam
masa lima tahun dan 10 janji dalam 100 hari, sekiranya memerintah.
Persamaan yang ketara antara kedua-duanya ialah fokus yang diberikan
kepada belia secara istimewa.
Kanvas Belia TN50 merupakan bukti komitmen
Perdana Menteri (PM) berkait secara tidak langsung dengan kenyataan
beliau pada 31 Januari 2018 di Kuala Selangor yang menyatakan bahawa
janji kerajaan Barisan Nasional (BN) adalah kenyataan bukan retorik.
Manakala PH dalam lima iltizam khusus meletakkan secara khusus satu
iltizam buat belia; mengasah bakat dan mencipta peluang untuk anak muda.
Kepentingan sangat nyata penting melihatkan kepada nada kedua-dua
belah pihak. Terlepasdaripada menentukan sama ada ini merupakan strategi
meraih undi; memandangkan belia mewakili mencecah 50 peratus populasi
Malaysia dan hampir 60 peratus pengundi menjelang PRU14, daripada 18.1
juta pengundi sah menjelang PRU14.
Dalam pada itu masih ada 2.43 juta belia yang tidak berdaftar sebagai
pengundi; ini menwakil dua pertiga daripada 3.7 juta rakyat Malaysia
yang tidak berdaftar sebagai pengundi menurut Merdeka Centre. Tambahan
pula, menurut kajian yang dikeluarkan oleh Institut Darul Ehsan (IDE)
mendedahkan lebih 60 peratus belia yang masih tidak membuat keputusan
mengenai parti mana yang akan diundi.
Mahu atau tidak penyertaan belia dalam pelbagai sektor sangat penting
demi memastikan pembangunan dan perkembangan negara yang positif; di
dalam sektor ekonomi, teknologi, inovasi dan politik. Walaupun, posisi
belia itu tidak tinggi atau signifikan tapi penyertaan belia sangat
mengesankan secara keseluruhan; lesu belia, lumpuh negara.
Oleh yang demikian, sikap belia terhadap janji-janji yang dibuat oleh
parti-parti politik melalui manifesto mereka mesti diluruskan.
Ketahuilah dan yakinlah bahawa dalam arena demokrasi ini, kedudukan
belia lebih daripada sekadar meminta faedah daripada parti politik
bertanding. Belia seharusnya menjadi teraju Pilihan Raya Umum kali ini.
Maka apa yang boleh belia kerjakan menjelang PRU14, pertama, adalah
pilih manifesto terbaik. Keghairahan kita dengan tawaran-tawaran yang
dijanjikan oleh parti mesti disikapi dengan tenang dan matang. Maksud
manifesto terbaik terangkum di dalam Pemasyhuran Kemerdekaan yang dibaca
Tunku Abdul Rahman pada 1957, ““…akan kekal menjadi sebuah negara demokrasi yang merdeka dan berdaulat serta berdasarkan kepada
kebebasan dan keadilan dan sentiasa menjaga dan mengutamakan
kesejahteraan dan kesentosaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan
diantara segala bangsa.”
Untuk itu, belia mesti rujuk Laporan Ketua Audit Negara dan
laporan-laporan kewangan untuk melihat kecekapan perbelanjaan kerajaan
Persekutuan dan negeri-negeri. Rujuk laporan-laporan daripada
agensi-agensi Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan laporan-laporan
Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) mengenai kedudukan
Malaysia dalam pelbagai hal di taraf antarabangsa. Daripada
laporan-laporan itu, belia seharusnya dapat menggarap idea umum mengenai
apa yang Malaysia perlukan untuk 5 tahun akan datang.
Kedua, belia perlu mendesak manifesto terbaik untuk masyarakat
minoriti; kumpulan yang tidak mempunyai suara dominan. Belia tidak wajar
sekadar memberi perhatian kepada manfaat sendiri; biasiswa, insentif
kewangan dan peluang pekerjaan. Belia dengan tenaga dan semangatnya
seharusnya mewakili golongan yang tidak kedengaran rintihan dan suara
mereka; masyarakat orang asli, luar bandar, miskin bandar, dan
segolongan kecil yang ketinggalan dalam arus perdana.
Ambil semangat Gwangju 1980 and Jakarta 1998, semangat belia
mendepani roh demokrasi negara.
Kental dan tegas memperjuang keadilan
dan menegakkan kebenaran. Bukan ciri keganasan dan kekerasan yang kita
ambil. Sebaliknya, semangat berani bersuara ketika tidak dibenarkan
untuk bersuara. Apatah lagi, Malaysia merupakan negara dengan ditangga
ketiga demokrasi terbaik antara negara-negara ASEAN menurut Economist
Intelligence Unit (EIU).
Belia tidak perlukan keganasan untuk menyuarakan pendapat, sebaliknya menggunakan segala ruang demokrasi yang ada sebaiknya.
Ketiga, belia mesti memilih lapangan untuk menyumbang kepada negara
melalui demokrasi ini. Sumbangan melalui dalam parti atau luar parti
bukan persoalan, yang penting ialah menyumbang. Belia yang tidak
menyumbang langsung merupakan suatu kegagalan yang sangat menghampakan.
Tambahan pula, hanya kerana penyertaan dalam parti atau tidak
menyertai parti, tidak menjadikan seseorang itu lebih baik atau kurang
berbanding yang lain.
Bagi belia yang menyertai parti politik, pastikan aspirasi anak muda
tidak digoyahkan dengan tuntutan bersifat politik semata-mata. Juga,
anggotailah jentera parti untuk berkempen dan bertemu dengan rakyat;
pastikan jentera digerakkan dengan hemah, ramah, berakhlak dan tidak
provokatif.
Bagi belia yang memilih untuk menyumbang di luar parti, Malaysia
memerlukan kita untuk memberikan cadangan dan analisa mengenai keperluan
semasa dan mendesak negara.
Sumbanglah kepada proses pilihan raya dan demokrasi ini dengan
memberikan input-input serta sintesis data-data yang sewajarnya
diketahui oleh masyarakat umum; muda-tua, bandar-luar bandar.
Belia harus menginsafi nasib rakyat negara-negara seperti Korea
Utara, Chad, dan Congo yang dikategorikan sebagai negara autoritarian
melalui Indeks Demokrasi 2017 oleh EIU.
Berbanding Malaysia yang secara relatif mempunyai ruang dan mekanisme
demokrasi yang berfungsi dengan baik. Maka, belia mesti manfaatkan
ruang ini untuk mempertahan kebebasan sedia ada dan menambahbaik
kebebasan ini.
Kesimpulannya, belia umpama keting, negara ibarat tubuh. Keting itu
kecil bahagiannya pada tubuh, tapi kalau tidak kerana keting tidak akan
berdiri tubuh itu. Seruan kepada belia adalah untuk mendongak wajah,
berdiri dengan gagah dan megah. PRU14 bukan pilihan raya yang mempermain
dan mempercatur masa depan belia dan negara. Pilihanraya kali ini,
mendesak belia untuk berpartisipasi aktif dalam proses demokrasi dan
semua proses pilihanraya.
Bangkit belia untuk negara. Hidup biar berjasa.
* Penulis adlah Exco Penerangan dan Penyelidikan, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) Sesi 2017/2018.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan