Pemuda Amanah : Pelakar Zaman , Pencetus Azam , Penerus Iltizam

Oleh Ridzwan Abu Bakar

1. Untuk kali ke 2, atas nama Pemuda AMANAH akan berkonvensyen tahunan pada 5 hb Ogos 2017 di Garden Hotel, Batu Pahat, Johor Darul Takzim. Selamat berkonvensyen dan semoga para Pemuda AMANAH dianugerahkan ar Rusyd - petunjuk yang mapan dan idea yang membumi - sepanjang konvensyen tersebut, Insya-Allah.

2. Pada setiap zaman ada 'lelaki-rijal'nya, yang akan melakar dan mencorak zaman tersebut sesuai problem zaman yang dihadapi oleh mereka. ' Problem' zaman ini sudah tentu berbeza dengan problem generasi pendahulu kita. Pemuda 'dulu dulu' tak pernah ada ruang untuk menyumbang idea melakar zaman mereka kerana mereka disibukkan dengan tugas untuk meniupkan api kesedaran perjuangan untuk generasi kala itu. Apapun, pemuda zaman itu - dari pelbagai ideologi dan alur pemikiran - telah memberi untuk zaman mereka dan pemuda kini mewarisi zaman ini untuk dilakar pula oleh pemuda semasa. 

3. Sudah tertulis bahawa taqdir pemuda zaman ini akan berdepan dengan seorang kleptokrat, seorang yang menenggek atas nama Perdana Menteri tetapi bertindak sebagai 'perampok kehormat' yang membawa negara ini kearah 'negara gagal'. Kalaulah Pemuda AMANAH tidak bergabung tenaga dan menawarkan tenaga 'lakaran' zaman ini kepada massa, nescaya masa depan Malaysia akan berada dalam keadaan yang amat malap. Ayuh pemuda bangunlah untuk kita bersama melakar zaman yang indah untuk didiami oleh generasi akan datang pula.

4. Rakyat Malaysia kebanyakannya mahukan perubahan, namun mereka perlukan azam yang tinggi. 60 tahun hanya berada di bawah satu rejim yang sama, yang terus berubah dan diberi sentuhan inovasi adalah 'gaya' pemerintah dari masa ke semasa untuk menekan rakyat. Tugas untuk mengadun antara sikap rakyat yang 'mahukan' perubahan dan 'membina' keazaman dan keberanian untuk berubah adalah tugas besar untuk digalas oleh para pemuda. Konvensyen Pemuda AMANAH hendaklah menjadi platform untuk melakarkan keazaman rakyat demi Malaysia yang harmoni dan layak untuk diwariskan.

5. "Malaysia yang akan kita wariskan kepada anak cucu kita adalah Malaysia yang damai suasananya, amanah pentadbirnya, sejahtera rakyatnya, membangun buminya, terpelihara alamnya, santun manusianya, sama rasa hasil mahsulnya, sama rata rakyatnya di hadapan pengadilan, ramah dan rahmah dalam interaksi warganya, pendek kata Malaysia yang diimpikan adalah Malaysia yang lebih baik dari hari ini". Inilah iltizam pejuang dahulu, mereka 'menebas' belantara untuk iltizam ini.

Pemuda AMANAH perlu meneruskan Iltizam ini dengan olahan strategi semasa untuk membina Malaysia masa depan.

6. Semoga Konvensyen Pemuda AMANAH tidak hanya menjadi acara tahunan, medan untuk hanya bertemu rakan dan ruang untuk hanya mengulang sejarah gemilang atau kebobrokan generasi sebelum ini. Konvensyen Pemuda hendaklah dijadikan sebagai pertemuan melakar zaman, mencetus azam dan meneruskan iltizam.

SELAMAT BERKONVENSYEN

Ridzwan Abu Bakar
Speaker
Pemuda AMANAH Nasional
Share on Google Plus

About Voice Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan