Kerja.

Oleh Arif Atan

"Bang, pejabat abang tu ada kerja kosong tak?" tanya gadis pekerja warung yang dikenali sebagai Nor kepada kawan saya yang selalu makan di situ malam tadi.

Rakan sekerja saya itu memang mesra alam dengan komuniti sekitar pejabat kami. Dia ringan mulut tak kira dengan lelaki perempuan daripada brader jual nasi lemak, akak jual waffle, pembantu kedai serbaneka sampai tukang gunting Bangladesh. Sembang gurau macam dah bertahun kenal. Patutlah ada 'ulama' Pas tu melabel orang Parti Amanah Negara (AMANAH) sebagai pendatang Bangladesh. ~ Opss. Tetibe. :)

Kembali pada Nor seorang wanita muda berumur sekitar 20-an tadi. Dia beritahu tempat kerjanya sekarang tak lama lagi nak tutup dah, jualan tak berapa bagus, nak jimat kos, nak buang ramai staf dan beralih kepada urus niaga di atas talian macam Lazada.

Nor di sebelah siang kerja di syarikat produk kosmetik antarabangsa terkenal yang selang beberapa unit saja dari pejabat kami.

Di sebelah malamnya, dia yang mempunyai 10 adik-beradik membantu perniagaan keluarganya di warung yang terletak di gugusan flat kos rendah dekat Kota Damansara ini.

Kebetulan sebelum Nor bersuara tentang kerja kosong, kawan sekerja yang muda 10 tahun dari saya dan lebih celik dunia gajet itu beritahu, ramai kawan yang ada ijazah UiTM sepertinya terpaksa guna sijil SPM untuk minta kerja jadi polis dan tentera.

Mereka sudah tidak tahan lama menganggur dan kalau kerja pun gaji rendah tanpa jaminan dan bimbang bila-bila masa saja syarikat akan buang atau ditutup selepas beberapa tahun bekerja.
Sifir hidup mereka yang sebaya 27 tahun itu menyimpulkan kalau kerja kerajaan, sumber pendapatan terjamin sebab tiada ancaman pemberhentian kerja bahkan ada duit pencen lagi.

Kata kawan sekerja saya yang juga mengusahakan bisnes online sebagai sumber pendapatan sampingan, tidak ramai kawan sepengajiannya cuba meneroka peluang menjadi usahawan di alam maya. Apa lagi berniaga secara konvensional kerana tak mampu dari segi kos.

Berbeza dengan seorang jirannya yang juga kawan Cina sekolahnya di Taiping. Habis bergraduan dari UM ikut kakaknya menyambung perniagaan warisan keluarga mereka.

Petang tadi pula seorang lagi rakan sekerja - lepasan Giat Mara dalam kursus kemahiran berkaitan fotografi beritahu, ada kawannya dalam bidang sama hanya kerja dengan Food Panda yang menghantar makanan dari restoran guna motor tu. Ramai lagi katanya, masih terus menganggur.

Katanya memang ya, nak cari kerja makan gaji dalam bidang fotografi sama ada swasta apa lagi kerajaan sekarang memang susah nak dapat.

Jadi, katanya lagi, kenalah teroka sendiri peluang kerja di media sosial dengan memanfaatkan asas kemahiran yang diterima. Dia pun buat kerja sampingan tangkap gambar pengantin untuk tampung hutang kereta dan sewa bilik.

Pendek kata, ramai anak muda hari ini terpaksa buat dua kerja. Bagi yang mahu ada jaminan hidup di hari tua, itu yang guna sijil SPM saja minta kerja di sektor perkhidmatan awam.

Itu antara cebisan pergelutan anak muda untuk meneruskan hidup ketika Perdana Menteri Najib Razak tak sudah-sudah berdendang sana sini kata ekonomi bagus dan hutang negara terurus.

Teringat beberapa minggu lalu, ketika sarapan hujung minggu di warung Bukit Beruntung - nun tempat 'jin bertendang' di Parlimen Hulu Selangor yang karat BN - sekumpulan remaja belasan tahun amat amat ramai - lebih 100 orang pagi-pagi dah dua tiga kali pusing main basikal lajak.

Harapnya mereka juga bersedia dengan cabaran peluang kerja untuk tempoh 10 tahun akan datang yang tentu lagi mencabar berbanding hari ini pun dah menggugat jiwa. Dan jika hari ini anak-anak bangsa berinovasi 'mencipta' gaya berbasikal meskipun mencolok mata generasi tua, mungkin ada antaranya nanti menjadi pencipta peranti/aplikasi atau perkakasan berteknologi tinggi pada masa depan. Kita doakan yang baik-baik buat mereka agar dapat menangani 'ancaman' revolusi kecerdasan buatan (AI).

Sebabnya, sektor kerja 30 tahun akan datang seperti yang kerajaan canangkan melalui Transformasi Nasional 2050 (TN50) itu tentu jauh lebih mencabar. Sekarang pun, bahana teknologi robotik sedang membadai dengan akibatnya akan melebarkan lagi sejauh-jauhnya jurang pendapatan.

Di Tokyo, robot sudah mula jadi penyambut tetamu di hotel. Di Amerika, robot sudah ada di dapur memasak burger berkali ganda lebih pantas daripada manusia. Bahkan, jawatan akauntan pun sedang diganti dengan perisian-perisian canggih.

Di Malaysia pula, 'robot' MO1 terus rakus bekerja menyedut berbilion duit negara dan selamba menutur wasatiyyah dan bersederhana. Sebahagian besar majikan yang beraja wang di hati juga terus rancak mengimport jutaan warga Bangladesh dan Nepal.

Mereka bekerja di sektor 3D yang 'kotor, bahaya, sukar' dari restoran 24 jam, pondok pengawal kondominium mewah sampai di ruang aircond sebagai juruwang di pasaraya dan kedai serbaneka 7E!
Selamat kita semua bekerja demi meneruskan hidup. Semoga kita dilimpahi rezeki yang berkat hendaknya. Amin.
Share on Google Plus

About Editor Akhbar Rakyat

    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan