Oleh Salman Saleh
Pengerusi BN Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir semasa melancarkan
manifesto atau ‘Akujanji’ BN Negeri Perak yang ‘bocor’ pada 22 April
2013 sempena pilihan raya umum ke-13 (PRU 13), telah menjanjikan
sekurang-kurangnya 35,000 buah Rumah Mampu Milik (RMM) akan dibina dalam
tempoh lima tahun.
Beliau juga menjanjikan untuk mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan di
Perak. Bagi menunjukkan prestasinya, Dr Zambry menjelaskan bahawa
bermula 12 Mei 2009 hingga tarikh PRU13, sejumlah 55,000 peluang
pekerjaan telah diwujudkan dengan 17,000 daripadanya adalah melalui
Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA).
Pecahan jumlah 35,000 unit RMM tersebut adalah berdasarkan ‘Akujanji’
ke arah setinggan sifar dengan 20,000 unit perumahan rakyat akan dibina
kerajaan negeri manakala 15,000 RMM lagi akan dibina melalui Syarikat
Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
Pada 16 April 2016, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita,
Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak
Datuk Rusnah Kassim mendakwa BN Perak sebenarnya sudah berjaya melepasi
sasaran awal jumlah pembinaan rumah mampu milik termasuk rumah kos
rendah.
Sejak Jun 2013 hingga Mac 2016, sebanyak 3,552 unit rumah kos rendah
telah dibina oleh SPNB, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak
(MAIAMPk), Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) dan Program
Perumahan Rakyat (PPR).
Di antara Jun 2013 hingga Januari 2016, Kerajaan Negeri Perak
mendakwa telah membina rumah mampu milik, termasuk rumah kos rendah
sebanyak 25,679 unit dan sedang membina 14,958 unit lagi yang dijangka
siap pada tahun 2017.
Paduka Seri Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ketika
menyampaikan titah dalam majlis pengisytiharan Daerah Muallim sebagai
daerah baharu pada 11 Januari 2016 telah membangkitkan isu harga rumah
yang tinggi sehingga rakyat tidak mampu membelinya.
Kerajaan Negeri Perak pada 6 Oktober 2016 telah melancarkan Lembaga
Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) yang berperanan untuk menjaga dan
mengurus perumahan di negeri ini khususnya perumahan awam dan rumah
mampu milik khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan
sederhana.
Semasa membentangkan Bajet 2018 Negeri Perak pada 22 November 2017,
Dr Zambry memaklumkan RM62 juta telah diperuntukkan kepada LPHP iaitu
untuk belanja pembangunan sebanyak RM56 juta dan belanja pengurusan
sebanyak RM6 juta dengan memfokuskan kepada isu perumahan yang dilihat
begitu genting.
Yang lebih menarik, pada 15 Februari 2018, Bank Negara Malaysia telah
menerbitkan laporan bertajuk “Rumah Mampu Milik: Cabaran Dan
Penyelesaian” itu mengejutkan banyak pihak.
Laporan itu menjelaskan harga rumah di Malaysia dikategorikan sebagai
“sangat tidak mampu milik”, menyebabkan jumlah kediaman tidak terjual
meningkat kepada 146,497 unit pada suku kedua 2017 dan di antara 2013
dan Oktober 2017. Hanya 255,341 RMM telah siap dibina.
Dua perkara yang menarik di dalam ‘Akujanji’ BN Perak tersebut iaitu
atas tajuk ‘Rumah Mampu Milik’ dan ‘Peluang Pekerjaan’ yang dilihat
tidak seimbang. Dalam erti kata lain, jika seorang anak muda sudah
mempunyai pekerjaan dan mendirikan rumah tangga, sudah tentu beliau juga
inginkan rumahnya sendiri.
Kini timbul persoalan, adakah berlaku lambakan rumah yang sudah siap
dibina dan kenapakah rumah-rumah tersebut tidak dibeli selepas ianya
dibina oleh kerajaan negeri khususnya atau pemaju hartanah di Perak?
Kerajaan Negeri Perak wajar menjelaskan berapakah jumlah rumah yang
telah dibina dan terjual sehingga kini.
Sebagai contoh projek perumahan PR1MA dengan dua kategori yang telah
dilaksanakan di Perak iaitu rumah teres sebanyak 5,630 unit dan apartmen
sebanyak 2,335 unit dengan jumlah keseluruhannya sebanyak 7,965 unit.
Persoalannya sudah berapa unitkah terjual ketika ini?
Berdasarkan pecahan jumlah projek mengikut daerah, perumahan jenis
teres yang dibina di Sitiawan berjumlah 1,268 unit, Bagan Serai (1,248
unit), Kamunting (525 unit), Sungai Raia (376 unit), Sungai Siput (957
unit), Kampar (609 unit) dan Tapah (647 unit).
Pecahan projek jenis apartmen yang dibina pula ialah di Falim dengan
616 unit, Kampung Paloh (456 unit), Bandar Meru Raya (1,011 unit) dan
Fair Park (252 unit).
Berdasarkan penelitian yang dibuat, apartmen di Bandar Meru Raya
sehingga kini hanya terjual sebanyak 10 peratus. Harga jualan yang
tinggi menyebabkan rakyat kurang berminat dan tidak berkemampuan untuk
membeli, begitulah juga yang terjadi kepada jualan rumah teres di
sekitarnya.
Jika peluang pekerjaan di Perak begitu tinggi pasarannya, sudah tentu
juga pasaran perumahan akan lebih meningkat dan tidak mencukupi.
Kerajaan Negeri Perak melalui LPHP perlu mengkaji kehendak pembeli
sebelum sesuatu projek perumahan tersebut dilaksanakan dan ianya perlu
sesuai dengan harga pasaran.
Disebabkan lambakan rumah yang terlalu mahal walaupun RMM inilah
antara punca ramai pihak di luar sana tidak berkemampuan membelinya.
Selain itu, nilai mata wang kita yang jatuh serta gaji yang rendah
menyebabkan kuasa beli rakyat rendah.
Keseimbangan kehendak pembeli dan harga rumah yang berpatutan seperti
mana titah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah perlu menjadi objektif utama
LPHP kerana jika tiada pembeli bagaimana lambakan projek perumahan yang
bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’ boleh memanfaatkan rakyat?
Penulis ialah Setiausaha AMANAH Negeri Perak.
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Langgan:
Catat Ulasan
(
Atom
)
0 comments:
Catat Ulasan